"Usahlah dihaira

Tulisan ini tidak mahu memfokuskan kepada sikap manusia yang suka mengumpul kekayaan tanpa mengeluarkan zakat dan sedekah. Tidak juga tentang cara manusia berpakaian yang jelas menongkah arus dengan ajaran agama. Tidak juga kepada kegagalan pihak berkuasa membasmi rumah-rumah urut, VCD lucah dan seumpamanya. Tulisan ini hanya berfokus kepada hubungan dan keimanan manusia kepada Allah, Tuhan yang berkata jadi maka jadilah. Pernahkah kita terfikir tentang kemungkinan, ya sekadar kemungkinan bahawa jenayah akan terus memeranakan manusia sebagai ‘pengajaran’ Allah kepada manusia yang membakulsampahkan undang-undang dan peraturan hidup yang telah ditetapkannya.
Apabila Allah memberi jalan keselamatan kepada manusia, manusia memilih lorong yang yang dibina sendiri. Yang peliknya lorong yang dibina itu atas bumi milik Allah. Jenis manusia tidak malu; muka ditampal dengan najis. Menumpang di bumi ‘orang’ tapi buat macam rumah sendiri. Manusia pernah memperli hudud dan mempertikaikan hukum Allah. Manusia merasakan bahawa hudud itu kejam dan lebih kejam daripada perbuatan bunuh, zina dan buang bayi. Nah rasakanlah penangan yang kurang kejam itu. Mana pernah penguasa dan rakyat berfikir untuk mencuba hudud dilaksanakan di dalam negara. Yang mereka fikir ialah pemakaian cawat besi, kempen ‘Kami Prihatin’ dan hukuman mandatori hasil fikiran dan ilmu sendiri. Sedangkan ilmu manusia itu umpama setitik air di jari nisbah kepada air lautan luas. Tetapi air setitik itulah yang dibangga-banggakan dan diagung-agungkan sehingga tidak memerlukan lagi garis panduan dan petunjuk Allah.
Hari ini Allah memberi jawapan kepada ‘kebijaksanaan’ manusia. Kerahlah seluruh cerdik pandai dari seluruh pelosok dunia untuk mencari jalan bagi membasmi jenayah. Teringatkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 23 – 24 yang mencabar manusia membina satu surah sekiranya mereka mampu menandingi al-Quran, ternyata manusia tidak mampu menciptanya.

Begitulah juga dengan usaha untuk mengatasi jenayah ini, carilah dan kumpulkanlah manusia yang paling bijak dalam kalangan kamu, nescaya kamu akan gagal. Sehingga hari ini manakah kejayaan manusia mengatasi jenayah? Manakah golongan anti-hudud; tunjukkan kejayaan kalian untuk dikongsi bersama oleh manusia seluruh alam.. Jenayah akan terus meningkat sebagai balasan atas keangkuhan, kedegilan dan sebagai hukuman Allah kepada manusia. Allah ingin merasakan penderitaan kepada manusia yang kufur dan syirik sebelum derita kekal abadi disempurnakannya di akhirat kelak.
0 comments:
Post a Comment