Kursus Matrikulasi Merugikan Orang Melayu


"

MATRIKULASI sebenarnya merugikan orang Melayu lantaran ramai yang menempuh tempoh pengajian selama satu hingga dua tahun yang dianggap sia-sia kerana akhirnya tidak berjaya mendapat tempat dalam kursus yang dikehendaki. Majikan ketika ini lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai kemahiran khusus serta lebih fokus



*******************************

Bazir masa dua tahun jika gagal ikuti kursus diminati


Berita Harian 25 Jun 2010

MATRIKULASI sebenarnya merugikan orang Melayu lantaran ramai yang menempuh tempoh pengajian selama satu hingga dua tahun yang dianggap sia-sia kerana akhirnya tidak berjaya mendapat tempat dalam kursus yang dikehendaki, sedangkan mereka adalah kumpulan pelajar berpotensi dan cemerlang pada peringkat SPM.

Itu antara pandangan yang dilontarkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, ketika diminta mengulas mengenai senario kedudukan pelajar matrikulasi terutama membabitkan pelajar Bumiputera.


Kata beliau, majikan ketika ini lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai kemahiran khusus serta lebih fokus. “Secara perhitungan kasar, pelajar yang gagal peringkat matrikulasi sudah membazirkan masa selama hampir dua tahun, sedangkan jika mereka mengikuti program diploma, dalam masa lima tahun, mereka sudah boleh menyelesaikan pengajian sehingga ke peringkat ijazah. Malah, ada yang boleh mendapat ijazah dalam masa empat tahun.


“Berbeza dengan pelajar matrikulasi, kebanyakan mereka terpaksa melalui tempoh pengajian hampir enam tahun untuk memiliki ijazah, sedangkan mereka pelajar cemerlang,” katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang, Mohd Aedlan Nur Ahmad, berkata beliau sendiri adalah produk matrikulasi yang dikecewakan kerana tidak mendapat kursus dikehendaki meskipun kelulusannya layak untuk memasuki bidang berkenaan.


“Ketika matrikulasi saya memilih bidang biologi tetapi ditawarkan untuk kursus dalam bidang kejuruteraan. Ia menyebabkan saya terpaksa belajar semula bidang fizik. Ia membuktikan dakwaan ramai orang yang matrikulasi sebagai tiket untuk masuk ke IPT tanpa mengambil kira kursus yang diingini.


“Bagi saya, pelajar diploma lebih baik sebabnya sejak awal lagi sudah didedahkan dengan bidang kursus tertentu dan alam pengajian di IPT. Berbeza dengan pengalaman di matrikulasi, setahun di sana bagai tiada apa-apa. Saya sebenarnya cemburu melihat rakan dari program diploma.


“Mereka (pelajar diploma) nampak seakan-akan sudah menguasai banyak bidang berbanding kami yang lahir daripada program matrikulasi. Mereka juga menguasai banyak ilmu luar kelas termasuk kepemimpinan. Pendek kata, mereka lebih matang,” katanya.


Bagi Mohd Aedlan, paling mengecewakan ialah sepanjang pengamatannya, hampir lebih separuh daripada pelajar di matrikulasi tidak mendapat tempat dalam jurusan yang diingini.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010062420434320100624204343/Article

"

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular