Fikrah Reformis - bahagian 2


Rejuvenasi PAS - antara koleksi bacaan berat yang dibeli pada pertengahan 2012

Sambungan daripada : Fikrah Reformis - bahagian 1


Buku 'Rejuvenasi PAS' adalah sekual daripada tulisan 'Menuju PAS baru' oleh Dr Mujahid Yusof Rawa. Ia adalah buku yang sarat dengan teori, dan idea aplikasi merobah PAS kepada jenama yang baru, lebih remaja dan lebih relevan pada masakini.

Saya selesai membaca keseluruhan buku tersebut september 2012 lepas sebelum ia berpindah tangan kepada seorang sahabat (hadiah istimewa). Secara umum, idea yang digarap menerusi rejuvenasi PAS ini adalah baik untuk menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan yang sentiasa ‘hijau’ mendepani zaman menerusi pengalaman dan unjuran masa depan PAS di pentas politik.

Walaubagaimanapun, bagi pendapat saya idea rejuvenasi PAS ini perlu dikritik dan dijawab. Sebagaimana kita menerima untuk bersetuju, kita juga perlu bersedia untuk tidak bersetuju. Bagi saya, idea yang dilakarkan di dalam buku ini, seakan ‘mempertikai’ kepimpinan ulama’ yang sekian lama menaungi gerakan Islam terbesar di Malaysia ini. Oleh kerana konsep ini hendak digantikan dengan kepimpinan Islam - berkompetensi dan integriti - (even bukan jalur ulama’) – dalam bahasa mudah semua orang layak menjadi pemimpin utama PAS, ianya menimbulkan polemik pertembungan puak (ulama vs profesional) yang tak berkesudahan.

Saya tidak berniat untuk mengupas dengan details tentang kandungan buku ini. Cukup sekadar semua orang membaca dan menilainya sendiri. Kita adalah golongan muda yang tidak seharusnya jatuh ke dalam perangkap label melabel tanpa hujah atau bukti (semberono). Tetapi sifat pemikiran golongan muda, kita mestilah mengkaji dan menilai. Melabel pun mesti dengan hujah dan fakta. Pokoknya menilai dan menghukumlah dengan neraca kebijaksanaan. 'Ala kulli hal, saya akan datangkan beberapa buah fikiran penting berdasarkan penilaian saya terhadap idea utama buku ini. Sudilah untuk membaca dan menilainya pula.

Antara Progresif dan Konservatif

Saya menyokong kewujudan banyak kelompok di dalam sesebuah organisasi. Ia melengkapi antara satu sama lain. Baik golongan profesional yang kaya dengan kemahiran duniawi, ia mestilah digabungkan dengan kepakaran ulama’ dalam memandu urusan duniawi dengan ukhrawi. Ia saling berkaitan, tiada dikotomi. Tetapi, bagi saya secara peribadi apabila melibatkan bab mengutamakan pemimpin utama (baca: presiden, ketua kumpulan) saya komited meletakkan biarlah ulama’ berada di posisi tersebut sebagaimana ibrah kisah jalut dan talut dipenghujung juzu’ kedua di dalam al-quran. Kumpulan Islam mesti dipandu oleh orang yang faham Islam secara menyeluruh.

Sesuatu kumpulan Islam yang terjun ke dalam arena politik mestilah bertindak sebagai gerakan massa jika hendak kekal lama di arus perdana pada hari ini. Jika politikus atau gerakannya gagal membaca unjuran dunia politik hari ini serta tidak bijak menyesuaikan diri berdepan dengan arus perdana masakini, ia akan jauh ditinggalkan. Tindak tanduk kumpulan ini mestilah menjuarai tuntutan arus perdana, dalam bahasa mudahnya kumpulan ini mesti progresif dan kekal relevan.

Bagaimana dengan konservatif ? Satu aliran untuk terus mengekalkan cara dan style lama dalam bergerak. Mereka selalunya dilihat keras pada tuntutan dan pendekatan baru pada hari ini. Dalam bahasa yang lebih mudah, jika dalam kumpulan politik mereka adalah golongan lama dan veteran. Persoalannya, salahkah ‘penganut’ aliran konservatif ini ?

Secara peribadi, saya melihat konservatif dan progresif tidak perlu menjadi pertikaian jenama di dalam gerakan Islam. Kita dituntut untuk berfikir dan memandang jauh ke hadapan. Tambahan lagi, zaman ini bukan sahaja zaman reformasi cara berfikir, tetapi ini adalah zaman reformasi tindakan ! Persoalannya, jika kita adalah progresif – menjadi gerakan massa, mendepani arus perdana dengan pendekatan yang agak terbuka – kita mestilah membawa gerakan ini tanpa mengabaikan prinsip fundamental gerakan. Mungkin ini yang menjadi pegangan utama golongan konservatif yang dikatakan ‘jumud’ dan tertutup itu.

Pokoknya, ia bukan bab kejumudan. Ia adalah perihal berpegang teguh pada prinsip tanpa dicemari hingga longgar dan dalam pada masa yang sama, pendekatan dan strategi kita mesti segar – sesuai waqie zaman masa kni. Ini kekuatan yang perlu ada bagi sesebuah kumpulan Islam khususnya apabila terlibat di dalam sepak terajang dunia politik.

Fikrah Al-Haddamah

Kembali kepada tajuk entry bahagian kedua ini, ‘fikrah reformis’. Pemikiran tajdid/islah untuk berubah dan merobah suasana itu perlu wujud di setiap zaman. Bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang mafhumnya, pada setiap 100 tahun akan dibangkitkan mujaddid untuk membaiki (islah) agama. Persoalan utama di sini, siapakah mujaddid (reformis) abad ini yang perlu kita ikuti ? Dan bagaimanakah jalur pemikiran beliau ?

Samada seseorang itu benar reformis, atau bukan reformis, selidiki jalur pemikirannya. Jika reform (baca: mengubah) sesuatu al-asolah kepada yang lebih buruk itu dikatakan reformis, saya lebih cenderung mengatakan beliau membawa fikrah asing masuk ke dalam kumpulan Islam bertujuan menjadikan prinsip asalnya berubah, berbanding menambahbaik agama dan kumpulan Islam tersebut.

Saya mendefinisikan fikrah asing / pemikiran yang bercanggah dengan al-quran dan as-sunnah itu sebagai fikrah yang rosak (fikrah al-haddamah). Sekadar membawakan contoh, antara nama pemikiran ini adalah seperti liberalisme, komunisme, islamis demokrat, sosialisme, neo-sekluarisme, dan pecahan-pecahan jalur pemikiran berpusatkan post islamisme. Mungkin ramai pengkaji falsafah mahupun ideologi tidak akan bersetuju dengan label saya ini. Namun, terpulanglah. Saya terbuka untuk diperbetulkan berdasarkan hujah dan sumber.

Beberapa contoh aliran pemikiran ini saya pernah sentuh dalam entry bahagian pertama lepas. Realitinya, ia berlaku dalam gerakan Islam kini. Dunia hari ini penuh dengan serangan pemikiran. Musuh Islam tidak pernah letih dari berhenti menyerang. Orientalis mengkaji Islam untuk dilemahkan. Liberalis mengkaji al-quran dan wahyu untuk ditafsirkan secara bebas. Manakala, sosialis pula ada yang menyerang dan menjatuhkan islamis yang mendokong kuat cita-cita syariah.  Gerakan ghazwah fikr ini wujud baik di luar atau di dalam kumpulan itu sendiri.

Maka, dengan tegasnya saya mengatakan bahawa seseorang itu hanya benar dikenali reformis jika dapat memimpin kumpulan Islam ini dengan fikrah yang tulen, teguh prinsip memperjuangkan syariah Islam, dan mendepani dunia hari ini sesuai dengan pendekatan massa.

Penutup

Konklusinya, penulisan saya kali ini membawa kepada beberapa buah fikiran berkaitan pemikiran para 'reformis'. Apabila saya mengetengahkan idea sebegini yang kelihatan dominan kontranya pada disagree kepada pembaharuan, bukanlah bermakna saya bersikap paranoid dan jumud. Saya menerima tarbiah untuk konsisten berpegang teguh pada fikrah Islam yang asal (baca al-asolah), dan berfikir dalam kerangka siyasah yang lebih luas dan terbuka dalam pembaharuan. Inilah konsep kerangka pemikiran mujaddid yang sedang saya bina. Konsep lebih utama, cetusan idea ini bukan untuk melahirkan mufakkir semata-mata, tetapi lebih daripada itu untuk menjadi seorang amilin !

Boleh untuk tidak bersetuju pada idea-idea ini, nyatakan hujah untuk saya baiki dan tambah baik. Salam reformasi. 

Sekian, terima kasih.



1 comments:

Hamani Adriani said...

maaf,. reformis means by what?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular