Maju Terus DPPM 13/15 !


Tiga jalur berbeza Ustaz Khalil (ulama'), Suhaizan (aktivis) dan Ir Khairil (profesional).

November adalah bulan Muktamar PAS pusat. Bagi penggal kali ini, berlaku pemilihan pucuk pimpinan parti. Dan alhamdulillah semalam, selesai proses demokrasi parti ini yang menerbitkan keputusan peralihan kepimpinan baru bagi youth wing (DPPM), manakala DMPP masih mengekalkan status quo kepimpinannya.

Tahniah dan takziah kepada yang terpilih. Selamat menjalankan tugas yang diamanahkan. Saya sekadar pemerhati diluar parti memerhati perjalanan muktamar kali ini dengan penuh kepuasan. Puas kerana perbahasan ini memberi pengalaman dan tasawwur bagaimana sebuah parti berorientasikan Islam melakukan muhasabah pergerakannya dari peringkat akar umbi hinggalah tahap tertinggi DPPM.

Salute buat para perwakilan.

Sayap Pemuda Era Suhaizan

Dewan Pemuda sangat dekat dengan saya. Bukanlah bermakna saya ahli parti. Saya sekadar orang luar yang memerhati, baik perjalanan pemuda UMNO dan juga pemuda PAS. Kerana itu, sebagai orang muda saya melihat kepimpinan baru yang memimpin sayap terpenting parti ini turut memberi kesan kepada golongan muda kerana ia melibatkan landskap politik yang sangat mempengaruhi hidup.

Perjuangan isu orang muda, dakwah menarik tangan marhein kepada Islam, corak tarbiah generasi-y dan lain-lain perkara menjadi tuntutan pemuda adalah antara contoh core bussines DPPM. Begitulah antara perkara basis suhaizan dan line up pemuda perlu laksanakan kepada golongan muda.

Harapan saya, paculah sayap pemuda ini bukan sekadar menyedari PAS adalah parti politik, tetapi juga gerakan dakwah dan tarbiah.

Kita adalah syabab Islam.

Siiru ‘ala barakatillah.





Menang PRK Bukan Bermakna Menang Agenda Islam


Kemenangan Pro Mahasiswa atau Pertubuhan Islam Universiti
Bukan Kemenangan Islam
Pilihan raya kampus adalah wadah politik anak muda yang berjiwa besar (sewajarnya) dalam mendepani warga kampus dan masyarakat. Sehinggakan ramai juga yang menduduki dunia politik tanah air hari ini adalah hasil didikan politik kampus.
Bulan Oktober dan November adalah “Demam PRK” (barangkali) bagi seluruh kampus tanah air. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan tarikh akhir November sebagai tarikh terakhir melaksanakan pilihan raya kampus di seluruh kampus.
Kebiasaannya di kampus akan berlaku pertentangan antara pihak pro mahasiswa dengan aspirasi, cuma baru-baru ini berlaku kelainan apabila pembina berpendirian akan menghantar calon untuk bertanding.
Sedia maklum, pro mahasiswa akan diwakili oleh mereka yang berfikiran dan berpandangan Islamik berdasarkan pembawakan imej calon mereka.
Saya ingin mengajak kita berfikir berkaitan satu pemikiran yang beranggapan sekiranya pro mahasiswa menang maka Islam telah menang atau bakal menang. Seperti suatu ketika apabila pilihan raya umum Mesir dimenangi oleh Ikhwan al Muslimin, maka telah tersebar ke serata dunia bahawa Islam telah menang.
Seperti biasa apabila menangnya pro mahasiswa gegak gempita mereka adalah bertakbir; Allahulakhbar! Juga tidak terlupa laungan keramat; Student Power! Laungan atau kalimat ini tidaklah bermasalah cuma pada pemikiran yang beranggapan Islam menang sekiranya pro mahasiswa di kampus menang.
Islam bukanlah milik hakiki pro mahasiswa atau persatuan Islam universiti. Benar, mereka yang menggerakkan persatuan tersebut tetapi bukanlah milik mereka secara keseluruhan kerana mereka punyai tanggungjawab menyantuni warga kampus dan masyarakat. Yang mana warga kampus dan masyarakat bukanlah semata-mata menganuti agama Islam; Hindu, Buddha, Kristian, Konfusius, Sikh dan pelbagai lagi.
Tanggungjawab tersebut adalah sebenar-benar Islam perlu ditonjol dan dilaksanakan. Bukan hanya laungan tetapi berhenti selepas fasa pilihan raya kampus. Kumpulan atau individu yang memenangi kerusi hilang dalam arus budaya ketidakilmiahan kampus. Menang dihebohkan tetapi gagal menjiwai dan memaknai apa itu warga kampus dan masyarakat. Lalu setahun berlalu pergi tanpa mendidik warga kampus dan masyarakat secara ilmiah dan terancang. 
Gegak gempita tidak diterjemahkan dengan gerak kerja yang berstruktur dan sistematik. Perancangan untuk mengubah budaya politik wajah kepada politik intelek atau kesedaran politik matang gagal direncanakan dengan baik. Akhirnya, setiap kali pilihan raya kampus yang akan distrategikan adalah muka yang cantik dan kacak.
Saya berpendirian bahawa agama mampu membawa manusia ke arah yang lebih baik, atas dasar agama yang sebenar (rahmat sekalian alam) tetapi kerisauan saya adalah manusia menggunakan agama demi melariskan kepentingan kelompok mereka. Tanpa sedari pengundi atau yang memilih mereka bukan hanya individu yang seagama dengannya tetapi wujud juga daripada yang berlainan agama.
Pilihan raya kampus bukan hanya milik individu yang beragama Islam tetapi adalah milik seluruh warga kampus yang berbilang agama. Tanggungjawab yang diberikan hasil kepercayaan merentasi dinding atau tembok agama dan bangsa.
Muhammad, Martin Luther, Nelson Mandela, dan Mahatma Gandhi antara nama besar yang berjuang meruntuhkan tembok persempadanan yang membezakan warna kulit atau perkauman sehingga terdapat yang mendapat ancaman bunuh dan dibunuh serta dipenjara. Nilai yang diperjuangkan mereka merentasi geografi dan zaman sehingga menyebabkan nilai itu kekal dipegang dan diamalkan.
Islam adalah sebuah agama yang mementingkan ketelitian dan kepintaran dalam merangka strategi untuk memakmurkan alam. Surah as-Saff ayat empat menyuruh hambanya agar membela agamanya dalam keadaan yang teratur (berbaris) dan banyak ayat menyuruh manusia berfikir menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi untuk memelihara alam.
Penyelesaian kepada masalah umat manusia pada hari ini, bukanlah semata-mata berpidato kita perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah tanpa punyai pendetilan secara terperinci. Perlu mempunyai kumpulan yang merancang, merencana dan melaksanakan seterusnya membudayakan aktiviti atau program ke arah mencapai matlamat.
Islam tidaklah akan menang hanya semata-mata kemenangan pro mahasiswa yang majoriti dianggotai oleh umat Islam. Ia sewajarnya menzahirkan dan mengangkat nilai-nilai dalam Islam; amanah, integriti, tepati masa, bersangka baik atau nilai yang sarwajagat boleh fahami dan terima.
Islam akan tetap menang tanpa wujudnya pro mahasiswa atau pertubuhan Islam universiti (sekiranya yakin) tetapi bukan dengan haru biru melainkan secara terancang dan berobjektik. Bukanlah semata-mata memenangi pilihan raya kampus sudah layak mengatakan Islam menang. Sesungguhnya kemenangan Islam itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi. – 12 November, 2013.



Qum Fa Anzir !

 
 
"Leadhership is action, not a position."
 
Sepanjang terlibat dengan kepimpinan dan organisasi, ungkapan ini selalu diingatkan kepada saya. Jika semata-mata memimpin sekadar mengisi kuota kekosongan jawatan, ia bukanlah seorang pemimpin.
 
Kepimpinan itu adalah memperjuangkan idea. Individu yang kaya dengan idea, adalah mereka yang layak diposisikan sebagai pemimpin. Idealisme adalah pemangkin kepada kebertanggungjawaban dan tindakan (action). Tidak punya idea, maka kakulah organisasi itu.
 
Matlamat yang jelas menelurkan idea, manakala idea mencorak tindakan.
 
Bangkit, berilah peringatan! (al-muddathir: 2) 
 
Coretan ringkas
12 Nov 2013
4:05 pm.
 
 
 


Ingat Janji Kita !



Wahai Rijalud dakwah,
Marilah kita ingatkan kembali akan janji kita kepada Allah!

Bukankah kita telah berjanji untuk turut beramal bersama dakwah dalam rangka membela syariat-Nya serta berdakwah kepada-Nya?

Bukankah kita telah berjanji setia kepada Allah untuk mendengar dan taat dalam mentaati Allah, Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya dengan bergabung dalam dakwah samada :

a.      Dalam keadaan bersemangat mahupun malas.
b.      Dalam keadaan mudah mahupun sukar.

Bukankah kita telah berjanji kepada Allah untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berjihad di jalan-Nya serta berjanji untuk mendengar dan taat kepada pimpinan sekuat kemampuan yang ada :

1.      Dalam keadaan suka mahupun tidak suka.
2.      Dalam perkara yang bukan maksiat.

Ingatlah janji setia kita itu dan kemudian hisablah diri kita.

Apakah kita sudah berusaha menjadi Rijalud dakwah yang sesungguhnya?

Iaitu Rijal yang :
  1. Memahami dan meyakini fikrah Islam yang murni.
  2. Sentiasa ikhlas.
  3. Selalu meniatkan ucapan, perbuatan dan jihadnya untuk Allah.
  4. Mencari ridha dan mengharap pahala-Nya.
  5. Tidak memandang kepada kekayaan, kemegahan, kehormatan atau gelaran kebesaran.
Apakah kita sudah berusaha keras untuk :

1.      Mempersiapkan diri untuk beramal?
2.      Memperbaiki diri?
3.      Membina rumah tangga?
4.      Membimbing masyarakat?
5.      Membebaskan tanah air dari pengaruh kekuatan asing?
6.      Memperbaiki pemerintahan sehingga benar-benar Islamik?
7.      Mengembalikan kewujudan umat Islam di persada antarabangsa dengan     mengembalikan khilafah dan persatuan umat?
8.      Menebarkan dakwah ke seluruh penjuru bumi?

Bagaimanakah :

a.   Gelora jihad di hati kita?
b.   Ketabahan kita untuk sentiasa beramal dan berjihad bagi mencapai tujuan?

Apakah :

1.  Kita masih bersedia melintasi waktu, tahun demi tahun dan terus dalam  keadaan seperti itu hingga kita bertemu Allah?
2.  Masih ada pengaruh fahaman lain dalam fikrah kita, padahal fikrah Islam  kita merupakan fikrah yang paling mulia, lengkap dan tinggi?

Sudahkah rasa persaudaraan terjalin erat di antara kita?

Di mana ruh dan hati kita diikat dengan aqidah?

Masih terpeliharakah kepercayaan kita kepada kepimpinan dengan sepenuhnya akan kemampuan dan keikhlasannya, sehingga membuahkan kecintaan, penghargaan, penghormatan dan ketaatan?

Wahai Rijalud dakwah, apakah kita sudah berusaha keras membentuk diri menjadi batu bata yang kukuh bagi bangunan dakwah, yakni dengan menjalankan kewajiban-kewajiban sebagai seorang Rijalud dakwah?

Cuba kita ingati semula syiar kita.

“Kesetiaan untuk janji kita, Menyumbang untuk dakwah kita”

Allah tujuan kita
Rasulullah tauladan kita
Al-Qur’an pedoman hidup kita 
Jihad adalah jalan juang kita 
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kita yang tertinggi




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular