Fikrah Reformis - bahagian 1



Buku "Wacana Pemikiran Reformis" & "Islam and Secularisme"

Sejak beberapa bulan lepas, saya gemar mengkaji beberapa istilah yang mewarnai artikel para reformis anak muda masa kini. Perasaan membuak-buak untuk mengetahui kuat, kerana sejujurnya setiap kali baca, saya tidak faham apa yang dibaca. Sifat inkuiri (ingin tahu) mendorong saya mengumpul artikel yang berkaitan dan menganalisis menjadi satu maudhuk yang difokus :

"Pemikiran baru, tajdid & islah".

Beberapa gagasan idea menarik minat saya, khususnya apabila ia melibatkan politik. Medan politik adalah satu game. Ia kaya dengan ijtihad dan idealisme yang segar. Politikus yang berjaya menguasai persepsi dikira pemenang game ini. Maka, platform yang paling dekat untuk diaplikasikan idea ini terlebih dahulu semestinya parti/organisasi/jemaah. Jika ingin menggapai kemenangan permainan politik, pengislahan parti itu diutamakan.

Beberapa artikel dan buku yang mengetengahkan idea baru ini timbul dengan banyak. Pemikiran baru dengan ideologi yang pelbagai nama banyak diwacanakan. Namun, bukan semua idea saya tangkapmuatkan hingga mudah saya agungkan ia. Artikel yang dibaca, perlu juga dianalisis dan dinilai. Di sini, pentingnya kita teguh berpegang pada prinsip ketika membaca. Mudah untuk dilabel/digelar, saya namakan aliran pemikiran yang sedang saya ikuti ini sebagai fikrah 'neo-sekularisme'.

Kontradiksi "Wacana Pemikiran Reformis"

Saya diperkenalkan oleh seorang sahabat pada buku bertajuk "wacana pemikiran reformis". Satu buku yang menghimpunkan artikel oleh penulis intelek terbitan islamic renaissance form (IRF). Idea dan wacana yang diketengahkan di dalam ini menarik, isi-isinya banyak menfokuskan islah dan rejuvenate.

Sepintas lalu, penulisannya seakan baik untuk merefomasikan gerakan dan sistem mengikut cabaran dunia masa kini. Tetapi, makin jauh dan banyak saya membaca koleksi artikel tersebut khususnya penulisan Marwan Bukhari, akal dan fikrah saya menolaknya. Ia kontradik dengan apa yang saya fahami.

Sebagai contoh, istilah firaunisme yang beliau gambarkan pada ulama' yang memerintah negara adalah bercanggah dengan apa yang saya fahami. Kenapa disamakan firaun dengan ulama' ? Tambahan lagi, part yang paling mengecewakan saya adalah beliau menafikan kewujudan negara Islam (daulah islamiyyah) atas alasan ianya berkonsepkan ditaktor serta teologi (suara dari Tuhan) yang menghapuskan kebebasan manusia bersosial !

Baik, berbalik kepada istilah neo-sekularisme yang saya nyatakan sebelum ini. Melalui penelitian saya, idea-idea yang dinukilkan di dalam buku tersebut adalah sebahagian daripada jalur pemikiran neo-sekularisme ini. Dalam definisi yang mudah, sekularisme adalah konsep memisahkan agama, dan neo adalah istilah yang digunapakai pada sesuatu idea lama dihidupkan dalam bentuk baru. Neo-sekulasime adalah konsep memisahkan agama dalam bentuk baru iaitu melalui perjuangan Islam secara serpihan, mencampuradukkan hak dan batil (westernisasi), dan perjuangan Islam tanpa syariah. Banyak pandangan yang jika di google, ramai islamis menyokong pemikiran ini. Hujah mereka, kita berhadapan dengan demokrasi yang mencengkam, perlukan idea ini dan gerakan Islam yang tidak menggunapakai idea sebegini akan mundur kebelakang.

Saya mengerut dahi. Apakah kerana meraikan demokrasi, prinsip perjuangan asal diubah ? Kenapa perlu menggabungkan elemen batil (sekular) dalam menegakkan Islam ?

Saya tinggalkan persoalan-persoalan tersebut di sini. Saya akan cuba menulis balik sambungan tulisan ini pada entry berikutnya, dengan penjelasan yang lebih panjang dan terperinci, insyaAllah...

p/s- era post-modernism adalah zaman hujjah.

bersambung........

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular