Marhalah-Marhalah Dalam Dakwah

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan kepada sekalian alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia kekasih hati, Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada sekalian nabi dan rasul.

Dalam usaha kita untuk melaksanakan gerak kerja dakwah, terdapat beberapa peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua pejuang Allah SWT. Dakwah yang dilakukan tanpa ada strategi dan perancangan akan menghasilkn natijah yang kurang memuaskan.

Sebab itulah sekiranya kita merujuk kepada 'arkanul jamaah' iaitu rukun-rukun jemaah, para ulamak menyenaraikan 4 perkara perlu ada iaitu

1. Al-Qiyadah Ar-Rabbaniyah (Pemimpin yang bersifar rabbani)
2. Al-Jundiyah At-To'ah (Pengikut yang setia)
3. An-Nizom (Penyusunan)
4. Al-Khutuwat (Strategi)

Saya akan nyatakan beberapa peringkat asas yang perlu ada dalam perlaksanaan dakwah dan tarbiyah dalam masyarakat. Antara peringkat-peringkat asas tersebut adalah

1. Takrif (Pengenalan dan pengajaran)
2. Takwin (Pembentukan dan penyusunan)
3. Tanfiz (Perlaksanaan ke arah matlamat)

TAKRIF
Di peringkat permulaan ini, banyak ilmu-ilmu pengetahuan tentang islam disebarkan kepada masyarakat. Di peringkat ini, mereka yang menerima atau mad'u adalah dikalangan masyarakat yang umum. Pelbagai peringkat masyarakat akan datang untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman tentang agama Islam.

Matlamat atau tujuan di peringkat ini ialah mengubah keadaan masyarakat daripada kejahilan kepada pengetahuan. Oleh itu, seseorang pendakwah perlu menggunakan pelbagai uslub yang ada demi semata-mata untuk menarik minat para pendengar.

Ucapan yang dikeluarkan penuh berisi dan berfaedah. Gaya pertuturan menarik minat pendengar untuk hadir buat kali yang seterusnya. Manisnya muka juga menenangkan hati hadirin yang mendengar ucapan tersebut.

Ini merupakan peringkat asas dalam gerakan dakwah. Mereka yang culas dalam melaksanakan peringkat takrif ini akan menyebabkan mad'u yang diseru tadi bersemangat untuk memperjuangkan Islam tetapi kurang ilmu dan kefahaman.

Inilah virus yang seringkali menyerang nuqaba' atau pendakwah. Ilmu pengetahuan yang kurang akan menyebabkan nuqaba' tersebut futur atau berputus asa di tengah-tengah jalan. Ataupun mereka memperjuangkan agama Islam secara luaran tetapi pada hakikatnya mereka menyesatkan orang lain.

Antara bentuk-bentuk perlaksaannya ialah pengajaran, membaca kitab-kitab, berkongsi ilmu dan kefahaman, tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah yang disampaikan.

Oleh itu matlamat dan perlaksanaan dakwah di peringkat ini perlu diteliti dan dijalankan dengan penuh sempurna. Untuk membentuk pendokong-pendokong dakwah yang istiqamah, masa yang panjang diperlukan. Tidak perlu tergesa-gesa sehingga menyebabkan perkara asas dalam perjuangan ditinggalkan.

TAKWIN
Peringkat yang kedua dalam perlaksaan gerak kerja dakwah ini ialah takwin ataupun pembentukan. Takwin yang saya maksudkan di sini ialah, golongan-golongan yang melepasi peringkat pertama akan dikumpulkan lalu mereka ini diikat dengan ikatan ukhuwah dan perjuangan.

Matlamat di peringkat yang kedua ini ialah mengubah keadaan individu atau kumpulan daripada pengetahuan kepada fikrah. Di tahap ini, pendakwah perlu membina pemikiran mad'u supaya ilmu pengetahuan yang ada dalam dirinya itu digunakan pada jalan yang benar. Bentuk pemikiran juga berubah menjadi lebih matang serta mampu menganalisis sesuatu peristiwa mengikut kaedah yang ditetapkan oleh agama Islam.

Di peringkat ini, nuqaba' atau pendakwah akan mengahadapi pelbagai masalah untuk istiqamah. Hal ini terjadi kerana di peringkat takwin, pelbagai ragam mad'u akan kita temui. Oleh itu bagi nuqaba' dan pendakwah yang faham, mereka akan menggunakan pelbagai uslub untuk menarik minat mad'u untuk terus istaqamah dalam gerak kerja dakwah. Mereka juga memahami bahawa perjuangan islam itu tidak dihamparkan dengan kemewahan dan kesenangan.

Sebab itulah sekiranya kita menyemak kembali 'arkanul dakwah' iaitu rukun-rukun dakwah, terdapat 4 perkara penting iaitu

1. Da'ie (Pendakwah)
2. Mad'u (Orang yang didakwah)
3. Manhaj Ad-Dakwah (Pengisian)
4. Uslub Ad-Dakwah (Teknik dakwah)

Selain itu, matlamat lain yang diletakkan di peringkat ini ialah mengubah minda dan fikrah individu tersebut kepada harakah atau pergerakan. Maka di tahap inilah mad'u yang dibentuk tadi akan bersemangat untuk melaksanakan dakwah kepada masyarakat di sekeliling. Manhaj yang disampaikan berdasarkan ilmu pengetahuan yang dipelajari daripada para alim ulamak.

Antara bentuk-bentuk perlaksaan di peringkat yang kedua ini ialah usrah, halaqah, tamrin, mukhayyam (perkhemahan), qiamullail, khatam al-quran dan berzikir kepada Allah SWT.

Saya mendatangkan contoh di zaman nabi SAW. Para sahabat disusun untuk menyebarkan Islam di tempat yang lain yakni luar daripada kota Mekah. Mus'ab bin Umair Radhiyallahu Anhu dihantar ke Yathrib atau pun sekarang dikenali dengan Kota Madinah untuk mendidik masyarakat di sana sekaligus menjadi murabbi di tempat tersebut.

Selain itu, Ja'far bin Abi Thalib Radhiyallahu Anhu dihantar ke Habsyah untuk menyebarkan agama Islam di sana seterusnya menjadi murabbi atau pembimbing di tempat tersebut.

Oleh itu, penyusunan yang teliti dan terancang perlu dilakukan di peringkat ini demi mencapai matlamat dan tujuan dakwah.

TANFIZ
Di peringkat yang terakhir ini, individu atau kumpulan yang telah melalui tahapan dakwah akan memiliki peribadi yang bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Mereka ini bersedia menerima arahan dan melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh pimpinan.

Selain itu, peribadi di peringkat ini selalu melaksanakan amal saleh dan beribadah kepada Allah. Mereka melaksanakannya dengan penuh istiqamah. Al-quran menjadi panduan hidup dan sentiasa mengulanginya. Solat tahajjud tidak ditinggalkan kerana ia merupakan sumber kekuatan kepada perjuangan Islam.

Namun pada peringkat tanfiz ini, individu atau kumpulan tidak hanya beramal saleh semata-mata. Tetapi mereka akan bersama-sama melaksanakan kerja-kerja islam di dalam jemaah dan inilah yang disebut sebagai amal jamaie.

Matlamat atau tujuan perlaksanaan peringkat ini ialah mengubah daripada harakah kepada tujuan asal dakwah iaitu mencapai redho Allah SWT. Di peringkat inilah akan terlaksana kandungan al-quran di dalam masyarakat sekeliling.

Antara bentuk perlaksanaannya ialah mesyuarat, melaksanakan program, menyusun strategi dan merangka jadual dan pencapaian. Ketika inilah kita akan melihat seolah-olah al-quran itu berjalan di dalam masyakakat.

Akhir sekali, saya mengharapkan perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada sekalian nuqaba' atau pimpinan mahasiswa. Ini merupakan manhaj atau strategi yang saya pelajari daripada usrah yang saya ikuti. Semoga ianya akan menjadikan kita lebih beramal untuk agama Islam.

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Wallahu'lam
Shahrizan bin Mohd. Hazime
Sungai Petani, Kedah.

2 comments:

daiehuda said...

Assalamualaikum..
ana tertarik dengan artikel ini, marhalah atau peringkat dalam dakwah. Baru2 ini, usrah ana membincangkan tajuk ini. Sekadar perkongsian, apa yang ana pelajari daripada naqibah usrah ana, peringkat tarbiyah ada 4. Takrif, takwin, tanfiz dan tamkin. Tamkin bermaksud pengukuhan, apabila tarbiah kita sudah melepasi 3 tahap sebelumnya, tidak bermaksud tarbiah kita terhenti setakat itu.kita masih perlu melalui jalan/proses tarbiyah sepanjang hidup kita kerana tarbiyah Islamiah itu satu proses yang panjang dan tidak akan berakhir..Wallahu a'lam

Anonymous said...

akhi, tarbiah akan terus berterusan dan berterusan, sebab itulah tanzim kita dibina dengan tarbiah

yakni dari mustawa yang paling rendah akan bersambung dengan dengan mustawa2 yang seterusnya

seorang murabbi yang memegang beberapa halaqah ialah mutarabbi pada halaqah mustawanya,

yakni orang yang berada pada mustawa C ialah mutarabbi bagi orang mustawa B(so orang yang berada pada mustawa B ialah murabbi orang pada mustawa C), namun orang yang berada mustawa B ialah mutarabbi pada mustawa A(dan mustswa A ialah murabi orang yang berada pada mustawa B)

beginilah tarbiah kita mencipta tanzim, ada sanadnya, semua kader mustawa apapun ada halaqah dan murabbi masing2, dan mereka ada mutarabbi masing2(kecuali mustawa paling rendah)

sebab itulah, jika mahu dikatakan seorang itu kader, maka haruslah dia ada halaqah dan membawa halaqah, ini paling ASAS

beginilah tarbiah Ikhwan Muslimeen mengajar kami, dan mengajar kita

" tarbiah wa takwin toriquna fi tamkin "

" tarbiah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dengan tarbiah "

wallahua'lam

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular