Kalau enti ana taqdim dahulu


Assalamualaikum.
Duhai Muslimah, tujuan ana menaip surat ini adalah untuk menggambarkan perasaan ana kepada enti selama ini. Walaupun surat ini tiadalah akan sampai ke pengetahuan enti, tetapi sekurang-kurangnya, dapatlah ana luahkan perasaan yang terbuku ini pada sesuatu.
Muslimah, sebelum surat ini ana campak ke dalam sungai nil, seperti yang pernah dibuat oleh Utusan Khalifah Umar dahulu, ingin ana coretkan serba sedikit isi hati ini. Rasa ini berputik tatkala mata kita bertemu untuk pertama kalinya. Ya, mungkin kerana itulah nabi menyuruh kita menundukan pandangan. Tapi saat berdepan dengan enti, seperti kaku tubuh ini. Tidak bisa ana tundukkan pandangan, mahupun berganjak.
Enti tahu, kita sudah pun kenal lama. Cukup lama untuk membuatkan cinta ini terus berkembang mekar. Cukup lama untuk ana tekad dengan isi hati ini. Tidak tegar rasanya dibiarkan pendam begini.
Dan akhirnya terluahlah. Ana masih ingat, tarikh keramat itu. Bulan Ogos tahun lepas ana kira sangat menguji ana, apabila enti mengambil sikap berdiam diri dari menjawab isi hati ini. Tak pernah ana sangka selama ini, dengan tarbiyyah di sekolah dahulu yang ana kira cukup untuk membenteng hati dari segala maksiat, akhirnyya ana hampir-hampir lumpuh. Lumpuh kerana cinta yang tiada kesampaian.
Dan dalam lumpuh itu, kawan enti memberitahu bahawa enti juga mempunyai rasa yang sama. Kalaulah enti tahu bagaimana berbunganya rasa hati ana ketika itu.
Ana cuba jejaki enti di laman Facebook, malang sekali kerana enti mengelakkan diri dari membuat sebarang akaun di situ. Lantas, sebulan sekali ana mengambil langkah menghantar emel kepada enti. Sekadar teguran sapa biasa, mendoakan kita saling hidup dalam keberkatan. Sedang hati kecil kita sendiri tahu bahawa bukan keberkatan yang kita tuju.
Muslimah, hari berganti hari. Saat bergerak pantas meninggalkan kita lena dalam perasaan cinta fana. Ana masih kekal orang yang dulu. Yang punya cita-cita, yang punya jawatan, yang hebat bersuara di universiti. Cuma yang ada sekarang adalah harapan. Tetapi malang harapan itu datang dari cinta yang tidak suci. Malangnya baru hari ini ana sedar, bahawa cinta kita tidaklah berpaksi pada ilahi.
Setahun pun menjengah.  Enti telah berubah. Ana juga begitu. Masing-masing bagai melarikan diri. Pasak-pasak cinta dalam hati ana masih cuba sirami dengan iman. Biar tidak membiak ganas di halaman hati. Kerana itu enti tiada ana hubungi lagi. Biar lapang hati kita. Biar terbuka untuk Rabbi.
Muslimah, dalam terputusnya hubungan kita itu, ana merancang. Tapi benarlah firman-Nya yang bermaksud,
“Kalian merancang dan tuhan juga merancang. Sesungguhnya tuhan itu sebaik-baik perancang.”
Dan detik hitam itu pun tiba. Tidaklah ana menyangka enti akan menerima pinangan. Allahu Rabbi.  Saat itu gelap rasa dunia. Rasa berkecai kacau jiwa. Manca rasa bergolak di hati. Dan ana kecewa, kerana enti tidak sempat ana taqdimi.
Khabarnya Muslimah, tunanganmu itu bukan orang biasa-biasa. Seorang pelajar lulusan Yaman yang katanya hafiz Al-Quran, malah berhujah menggunakan ilmu. Khabarnya lagi, ilmunya itu segar dan luas, dan dari cerita-cerita itu, ana tahu, dia adalah bakal ulamak baru di tanah air kelak.
Dan siapa ana ketika itu? Hanyalah seorang pemuda yang kian kabur cita-citanya, hanya kerana cinta.
Sebenarnya, ana sendiri patut bersyukur. Pernah sekali ana berdoa di hening malam, mengharapkan kita dijodohkan, atau dikurniakan yang lebih baik. Alhamdulillah, enti sudah bertemu jodoh yang lebih cocok daripada ana. Kini tinggal ana pula. Gilirannya belum tiba tapi tidak akan pernah usai menanti.
Ya, Muslimah, hati ini sedikit kecewa. Kerana cinta manusia kita dahulukan. Ini yang terbaik buat kita. Biar kita tahu, cinta tuhan itu tiada tolok bandingnya. Andai kata tuhan tidak mencintai enti, Muslimah, masakan dia kurniakan enti calon suami yang terbaik begitu?
Allahu Rabbi. Doakan ana kembali ke pangkal jalan yang sebenar. Mabuk cinta dunia ini hanya mengkhayalkan, jika tidak kita landaskan ke jalan tuhan.
Allahu Rabbi. Ana doakan kalian bahagia. Sungguh, ini ikhlas dari jiwa raga yang pernah ana buka untuk cinta kita. Sekarang biarlah ana menyendiri mencarik cinta yang sejati. Bukan angan-angan anak muda lagi, bahkan menjadi pemuda yang teguh untuk agama.
Terima kasih, cinta. Terima kasih, Muslimah. Kerana kalianlah yang melahirkan ana sebagai pemuda cekal kelak.
Kalau enti ana taqdim dahulu, siapalah kita sekarang. Mungkin masih pemuda muslim dan muslimah yang kekal leka, dan entah bila akan sedar. Allahu rabbi. Entah berapa ramailah yang telah buta kerana cinta seperti kita. Moga mereka bertemu hidayah kelaknya, insyaAllah.
Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular