Menang PRK Bukan Bermakna Menang Agenda Islam


Kemenangan Pro Mahasiswa atau Pertubuhan Islam Universiti
Bukan Kemenangan Islam
Pilihan raya kampus adalah wadah politik anak muda yang berjiwa besar (sewajarnya) dalam mendepani warga kampus dan masyarakat. Sehinggakan ramai juga yang menduduki dunia politik tanah air hari ini adalah hasil didikan politik kampus.
Bulan Oktober dan November adalah “Demam PRK” (barangkali) bagi seluruh kampus tanah air. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan tarikh akhir November sebagai tarikh terakhir melaksanakan pilihan raya kampus di seluruh kampus.
Kebiasaannya di kampus akan berlaku pertentangan antara pihak pro mahasiswa dengan aspirasi, cuma baru-baru ini berlaku kelainan apabila pembina berpendirian akan menghantar calon untuk bertanding.
Sedia maklum, pro mahasiswa akan diwakili oleh mereka yang berfikiran dan berpandangan Islamik berdasarkan pembawakan imej calon mereka.
Saya ingin mengajak kita berfikir berkaitan satu pemikiran yang beranggapan sekiranya pro mahasiswa menang maka Islam telah menang atau bakal menang. Seperti suatu ketika apabila pilihan raya umum Mesir dimenangi oleh Ikhwan al Muslimin, maka telah tersebar ke serata dunia bahawa Islam telah menang.
Seperti biasa apabila menangnya pro mahasiswa gegak gempita mereka adalah bertakbir; Allahulakhbar! Juga tidak terlupa laungan keramat; Student Power! Laungan atau kalimat ini tidaklah bermasalah cuma pada pemikiran yang beranggapan Islam menang sekiranya pro mahasiswa di kampus menang.
Islam bukanlah milik hakiki pro mahasiswa atau persatuan Islam universiti. Benar, mereka yang menggerakkan persatuan tersebut tetapi bukanlah milik mereka secara keseluruhan kerana mereka punyai tanggungjawab menyantuni warga kampus dan masyarakat. Yang mana warga kampus dan masyarakat bukanlah semata-mata menganuti agama Islam; Hindu, Buddha, Kristian, Konfusius, Sikh dan pelbagai lagi.
Tanggungjawab tersebut adalah sebenar-benar Islam perlu ditonjol dan dilaksanakan. Bukan hanya laungan tetapi berhenti selepas fasa pilihan raya kampus. Kumpulan atau individu yang memenangi kerusi hilang dalam arus budaya ketidakilmiahan kampus. Menang dihebohkan tetapi gagal menjiwai dan memaknai apa itu warga kampus dan masyarakat. Lalu setahun berlalu pergi tanpa mendidik warga kampus dan masyarakat secara ilmiah dan terancang. 
Gegak gempita tidak diterjemahkan dengan gerak kerja yang berstruktur dan sistematik. Perancangan untuk mengubah budaya politik wajah kepada politik intelek atau kesedaran politik matang gagal direncanakan dengan baik. Akhirnya, setiap kali pilihan raya kampus yang akan distrategikan adalah muka yang cantik dan kacak.
Saya berpendirian bahawa agama mampu membawa manusia ke arah yang lebih baik, atas dasar agama yang sebenar (rahmat sekalian alam) tetapi kerisauan saya adalah manusia menggunakan agama demi melariskan kepentingan kelompok mereka. Tanpa sedari pengundi atau yang memilih mereka bukan hanya individu yang seagama dengannya tetapi wujud juga daripada yang berlainan agama.
Pilihan raya kampus bukan hanya milik individu yang beragama Islam tetapi adalah milik seluruh warga kampus yang berbilang agama. Tanggungjawab yang diberikan hasil kepercayaan merentasi dinding atau tembok agama dan bangsa.
Muhammad, Martin Luther, Nelson Mandela, dan Mahatma Gandhi antara nama besar yang berjuang meruntuhkan tembok persempadanan yang membezakan warna kulit atau perkauman sehingga terdapat yang mendapat ancaman bunuh dan dibunuh serta dipenjara. Nilai yang diperjuangkan mereka merentasi geografi dan zaman sehingga menyebabkan nilai itu kekal dipegang dan diamalkan.
Islam adalah sebuah agama yang mementingkan ketelitian dan kepintaran dalam merangka strategi untuk memakmurkan alam. Surah as-Saff ayat empat menyuruh hambanya agar membela agamanya dalam keadaan yang teratur (berbaris) dan banyak ayat menyuruh manusia berfikir menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi untuk memelihara alam.
Penyelesaian kepada masalah umat manusia pada hari ini, bukanlah semata-mata berpidato kita perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah tanpa punyai pendetilan secara terperinci. Perlu mempunyai kumpulan yang merancang, merencana dan melaksanakan seterusnya membudayakan aktiviti atau program ke arah mencapai matlamat.
Islam tidaklah akan menang hanya semata-mata kemenangan pro mahasiswa yang majoriti dianggotai oleh umat Islam. Ia sewajarnya menzahirkan dan mengangkat nilai-nilai dalam Islam; amanah, integriti, tepati masa, bersangka baik atau nilai yang sarwajagat boleh fahami dan terima.
Islam akan tetap menang tanpa wujudnya pro mahasiswa atau pertubuhan Islam universiti (sekiranya yakin) tetapi bukan dengan haru biru melainkan secara terancang dan berobjektik. Bukanlah semata-mata memenangi pilihan raya kampus sudah layak mengatakan Islam menang. Sesungguhnya kemenangan Islam itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi. – 12 November, 2013.



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular