Tasawuf : Satu Pengenalan 2

BAGAIMANAKAN AKHLAK SALAFUSSOLEH KEPADA RASULULLAH S.A.W




KEWAJIPAN MENTAKZIMKAN RASULULLAH S.A.W


Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36):

Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.
Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:
Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.
Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم). Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya:
“Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.
Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah:
Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.
Al-Hafiz al-Sakhawi mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (h. 350):
Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda SAW atau mendengar namanya yang mulia.
صلى الله عليه وسلم تسليماً كثيراً كثيراً كثيراً


MENCONTOHI SALAFUSSOLEH


Dapatkan sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal.

Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut bahawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :
Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah.

Andaikata kamu tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kamu mencela dirimu sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.

Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak ALlah 'azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firmanNya.

Tanda-tanda demikian itu yang terdapat pada orang yang sodiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji' إن لله و إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan bodoh ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak ALlah subahanahu wa ta'ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haoba terhadap dunia) kerana ALlah, mengistiqomahkan tekadnya untuk mentaati ALlah, mentakuti ALlah dalam keadaan terdedah mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan ALlah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada ALlah).

Justeru waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan terkabur dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan hari kebangkitan.

Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Tuhannya melainkan kejujuran, lantaran ia akan bertekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Tuhan, justeru ia pernah mendengar firmanNya :


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ


Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
(Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.

Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah berawasan (muraqabah) tidakkah kamu memerhatikan sabdaan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :

أعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Ertinya : Sembahlah ALlah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya justeru (sedarlah sebenarnya) Dia sedang melihat kamu
(Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya, orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, bernasihat kerana ALlah lah yang membuat ia berbicara, orang menyangkanya seorang yang kaya, sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, sikap tawadhuklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian,

Daripada Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu, daripada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya yang bererti :
ALlah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit ALlah subahanahu wa ta'ala akan bertanya kepada mereka, sedangkan Ia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hambaMu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dariMu. Lalu ALlah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada satu orang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia lintas di situ sahaja. Jawab ALlah : Kepadanya pun aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka
(Riwayat Muslim)

jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung, mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kamu kefakiran mereka akan mengkayakan kamu dan andai mereka berdoa kepada Tuhan kamu tidak akan dilupakan.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢)

Ertinya : "Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) ALlah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama ALlah itu adalah orang-orang yang berjaya" (Surah al Mujadalah: 22)


PENGLIBATAN TOKOH SUFI DALAM JIHAD MELAWAN MUSUH-MUSUH ISLAM


* Ahmad bin ‘Ashim Al-Antoki [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]



* Ibu Yusuf Al-Shaghuli: Terlibat dalam peperangan dengan Rom [Shofwah As-Shofwah oleh Imam Ibn Al-Jauzi]



* Abu Ishaq bin Al-Fazari [ibid]



* Isa bin Abi Ishaq As-Sabi’ie [ibid]



* Yusuf bin Isbath [ibid]



* Abu Mu’awiyyah Al-Aswad (199 H)



* Abdullah bin Al-Mubarak (181 H). Beliau terlibat dalam peperangan menentang tentera Rom [Tarikh Baghdad oleh Al-Khatib Al-Baghdadi 10/157]



* Ibrahim bin Adham (162 H). Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera Byzantine malah meninggal dunia ketika menjaga di perbatasan perang [Al-Bidayah wa An-Nihayah 10/44]



* Hatim Al-Ashom. Beliau seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan dan meninggal dunia di tempat perbatasan perang di atas bukit Sarwad. [Siyar A’laam An-Nubala’ 11/484]



* Abu Al-Qashim Al-Qahthi: Beliau juga terlibat dalam peperangan melawan Byzantine bersama-sama dengan sebahagian ulama’ sufi yang lain [Ghayyah Al-Tholab fi Tarikh Halab 10/4591]



* Imam Raslan (Arsalan) Ad-Dimaysqi (m: 541 H): Beliau terlibat dalam peperangan di Syam khususnya dalam melawan tentera salib. Antara karya beliau adalah Risalah At-Tauhid.



* Imam Abu Al-Hasan As-Syazili (m: 656H): Beliau serta murid-muridnya terlibat dalam Ma’rakah Al-Manshurah (perang di Manshurah) pada tahun 647 H dalam melawan tentera Salib. [Abu Al-Hasan As-Syazili As-Shufi Al-Mujahid Al-‘Arif biLlah oleh Dr. Abdul Halim Mahmud: 60]



* Imam Abu Al-‘Abbas Al-Mursi r.a. (salah seorang murid Abu Al-Hasan As-Syazili). Beliau juga turut terlibat dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam seperti gurunya. Beliau adalah guru kepada Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari [Wizarah As-Thaqofah Al-Mishriyyah 7/371]



* Sultan Muhammad Al-Fateh As-Sufi Al-Hanafi Al-Maturidi. Banyak riwayat yang menceritakan sudut kesufian beliau. Beliau terlibat dalam membuka kota Konstantinopel daripada jajahan tentera Salib.



* Imam Al-Izz bin Abdil Salam (660 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang mashyur ytang hidup sezaman dengan Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi dan sebagainya. Beliau terlibat dalam peperangan ‘Ain Jalut pada tahun 658 H. Sudut kesufian Imam Izzuddin jelas kerana beliau mengambil khirqah sufi daripada Imam Syihabuddin As-Sahrwardi (632 H). [Husn Al-Muhadarah 1/315]



* Sultan Nuruddin Mahmud Zinki (m 569 H). Beliau seorang pemimpin Islam yang terlibat dalam melawan tentera Salib dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman mereka. Beliau sendiri seorang yang sangat rapat dengan golongan sufi dan menghormati golongan sufi. [Al-Kawakib Ad-Durriyyah 1/38] Beliau memuji golongan sufi dengan berkata: “Mereka (golongan sufi) adalah tentera Allah dan dengan doa merekalah kita berjaya menewaskan para musuh” [Al-Bidayah wa An-Nihayah 12/281]



* Sultan Solahuddin Al-Ayubi: Beliau terkenal sebagai seorang pahlawan dan pemimpin Islam yang membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman tentera Salib. Adapun dari sudut kesufian beliau, maka memang tidak dapat dinafikan. Malah, beliau bermesyuarat dengan para ulama’ sufi ketika berperang dengan tentera-tentera Salib.



* Imam Ali bin Maimun (917 H): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam banyak peperangan melawan musuh Islam [Syazrat Az-Zahab 8/81]



* Al-Amir Abdul Qadir Al-Jaza’iri As-Sufi: Beliau terlibat dalam peperangan di Algeria dalam melawan penjajahan. Sudut kesufian beliau sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bagi mereka yang membaca riwayat sejarah hidupnya.



* Al-Mujahid Muhammad Ahmad Mahdi (m:1885 M) Beliau mempelajari ilmu sufi sejak keci lagi lalu menjadi seorang murobbi sufi. Beliau terlibat dalam melawan tentera Inggeris ketika mereka menjajah Sudan. [Hilyah Al-Basyr 2/801]



* Al-Mujahid Umar Al-Mukhtar (m: 1931 M): Beliau seorang murobbi sufi bertariqat As-Sanusiyyyah. Beliau terlibat dalam peperangan melawan tentera penjajah khususnya di Libya lalu menemui syahid.



* As-Sayyid Muhammad Abdullah Hassan (m: 1920 H): Beliau seorang murobbi sufi tarikat As-Salihiyyah As-Syaziliyyah. Beliau terlibat dalam peperangan menentang penjajah yang cuba menjajah Somalia. [Silsilah Alam Al-Ma’rifah Al-Kuwaitiyya 223 oleh Dr. Abdullah Abdul Razak]



* Ahmad Arabi As-Sufi (1911M): Beliau terlibat dalam kebangkitan umat Islam dalam melawan penjajah. [Kitab Al-Islam wa Harakaat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s 42 oleh Dr. Syauqi Abu Khalil]



* Sheikh Farhan As-Sa’di”: Beliau terlibat dalam peperangan di Palestin menentang penjajah Inggeris. Beliau dari keluarga As-Sa’diyyah Al-Jibawiyyah, suatu keluarga sufi di Palestin [Majalah Syu’un Falastin no 124 m/s 22]



* Sheikh Izzuddin Al-Qassam (m: 1935 M): Beliau seorang sufi yang terlibat dalam jihad di Palestin. Beliau seorang sheikh bagi tarikat Syaziliyyah. Ayahnya juga seorang sufi yang sangat beriltizam dengan tarbiah sufi. [Kitab Al-I’lam As-Syarqiyyah oleh Zaki Muhammad Mujahid 2/139]



* Sheikh Muhammad Badruddin Al-Hasani: Beliau berketurunan Imam Al-Jazuli. Beliau merupakan seorang murobbi sufi tarikat Qadiriyyah. Beliau terlibat dengan kebangkitan umat Islam melawan musuh-musuh Islam khususnya di Syria. [Tarikh Ulama’ Dimasyq 1/472]



* Sheikh Muhammad Sa’id Al-Burhani (m: 1967 M) Beliau merupakan seorang murobbi tarikat Syaziliyyah di Damsyiq. Beliau terlibat dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam dan penjajah di Syria [Al-‘Alaam 6/145]



* Sheikh Abu Al-Yasar ‘Abidin An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam perperangan melawan musuh Islam di Syria [Tarikh Ulama’ Dimasyq 2/969]



* Sheikh Sufi Ali Ad-Daqar (m: 1943 M): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam pegerakan kebangkitan masyarakat Arab [Al-Islam wa Harakat At-Taharrur Al-‘Arabiyyah m/s147]



* Sheikh Izzuddin Al-Jaza’iri (cucu Sheikh Abdul Qadir Al-Jaza’iri): Beliau seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan musuh Islam [Tarikh At-Thaurah As-Suriyyah m/s 619]



* Sheikh Muhammad Al-Hamid An-Naqsyabandi (m: 1969 M): Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat dalam jihad melawan penjajah dan musuh Islam [Silsilah A’laam Al-Muslimin Dimasyq m/s 37]



* Muhammad Abdul Karim Al-Khattobi: Beliau juga seorang ulama’ sufi yang terlibat melawan penjajah Perancis [Al-Maushu’ah Al-‘Askariyyah]



* Sheikh Manshur Asyramah An-Naqsyabandi: Seorang tokoh sufi yang terlibat dalam peperangan di Chehnya dengan melawan tentera Rusia pada tahun 1971 M.



* Sheikh Khos Muhammad Afendi An-Naqsyabandi: Beliau juga terlibat dalam peperangan di Chehnya.


* Sheikh Fadhl Umar Mujaddidi An-Naqsyabandi: Beliau terlibat dalam jihad melawan British pada tahun 1921 M.


* Sheikh Arsyad Thawil Al-Bantani (m: 1935 M): Beliau seorang ulama’ yang terlibat dalam jihad di Banten [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]


* Sheikh Abdul Shamad Al-Falambani: Beliau seorang ulama’ sufi yang turut terlibat dengan jihad melawan musuh-musuh Islam [rujuk tulisan Al-Marhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir Abdullah]


* Sheikh Raja Haji: Beliau antara tokoh sufi di tanah Melayu yang terlibat melawan penjajah di Nusantara

Dan sebagainya….


PUJIAN PARA ULAMA' TERHADAP TASAWUF

1) Imam Abu Hanifah radiyaLlahu 'anhu (wafat 150 H) :

Seorang ahli fikir Hanafi, Al Hasfaki radiyaLlahu 'anhu penulis kitab al Durr al Mukhtar telah mengutip; Bahawa Abu Ali ad Daqqaq radiyaLlahu 'anhu berkata : Saya telah mengambil thariqat ini dari Abu al Qasim an Nasr Abadi radiyaLLahu 'anhu , beliau berkata ; saya mengambilnya dari as Syibili dari as Saqathi dari Ma'ruf al Kharkhi, dari Daud ath Tho'i dan beliau mengambil ilmu sekaligus thariqat dari Imam Abu Hanifah radiyaLlahu 'anhu. Setiap dari mereka memuji dan mengakui keutamaan Imam Abu Hanifah radiyaLlahu 'anhu. Kemudian Imam al Hasfaki berpendapat :

"Sungguh aneh sekali..! Bukankah para pembesar ulama itu sebagai teladanmu? Apakah mereka diragukan pengakuan kebanggaannya ? Sedang mereka adalah para imam Thariqat ini sekaligus tokoh syari'ah (feqah) dan thariqat (tasawwuf), dan tokoh yang datang setelahnya dalam perkara ini adalah para pengikutnya, dan setiap orang yang bertolak belakang dengan apa yang mereka pegang itu ditolak dan dianggap bid'ah.

AbduLlah bin al Mubarak radiyaLlahu 'anhu berkata :
"Tidak seorangpun yang lebih patut menjadi ikutan selain Imam Abu Hanifah kerana beliau sebagai seorang imam yang bertaqwa, bersih, wara', 'alim dan faqih, beliau telah dibukakan kasyaf, faham, kecerdasan dan ketaqwaan yang tidak ada pada orang lain.
Imam nawawi mengatakan kepada seorang yang bercerita kepadanya ;
Aku telah datang dari Imam Abu Hanifah, beliau mengatakan : "Engkau telah datang dari penduduk bumi yang sangat ahli ibadah. Daripada sinilah kita dapat mengetahui bahawa para Imam Mujtahid dan ulama yang 'amilin mereka itu sebenarnya adalah orang-orang sufi"
(Hasyiyah Ibn Abidin m/s 395-396)

2) Imam Malik radiyaLlahu 'anhu (wafat 179H)

Imam Malik berkata :
"Barangsiapa yang memahami feqah tanpa bertasawwuf maka fasiq, dan barangsiapa yang bertasawwuf tanpa memahami feqah maka zindiq, dan barangsiapa yang telah menghimpun antara keduanya bererti ia telah merealisasikan kebenaran (
Hasyiyah Allamah al Adawi, Sheikh Ali al Adawi jilid 3 m/s 195)

3) Imam Asy Syafie (wafat 204H)

Imam Asy Syafie berkata
" Saya telah suhbah dengan kaum Shufi selama 10 tahun, kemudian hanya mendapatkan pelajaran dua huruf , dalam satu riwayat tiga ungkapan :

i. Waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia akan menebasmu.

ii. Nafsumu jika tidak kau sibukkan dengan yang haq (benar), maka ia menyibukkanmu dengan bathil (salah).

iii. Rasa ketiadaan daya (merasakan wujud kebesaran ALlah) itu keselamatan (terpelihara) dirimu.
(Tahqiq Haqiqah Aliyah, Sheikh al Hafiz Al Suyuti, m/s 15)

Berkata Imam Syafi'e lagi :
Aku cinta kepada dunia kalian itu tiga :

a) Tidak berlebih-lebihan (sederhana)

b) Bergaul kepada orang dengan lemah lembut.

c) Meneladani cara tokoh-tokoh tasawwuf.


(Kasyful Khafa', Imam Al Ajluni, jld 1, m/s 341)

4) Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H)

Pada awalnya sebelum Imam Ahmad bersuhbah (bersahabat) kepada orang shufi berkata kepada puteranya :
"Wahai puteraku berpeganglah kepada Hadith, jauhilah mereka yang menamakan dirinya sufi, kerana boleh salah satu daripada mereka itu seorang yang bodoh terhadap hukum-hukum agama." Namun ketika beliau terlah bersuhbah dengan Abu Hamzah al Baghdadi as Sufi dan mengetahui keadaan mereka, beliau berkata kepada puteranya : "Wahai puteraku, engkau harus bermujalasah (duduk bersama-sama) dengan kaum sufi, kerana mereka telah menambahkan ilmu, muraqqabah, takut kepada Allah, zuhud dan ketinggian semangat kita"
(Kasyful Khafa', Imam al Ajluni, jld 1, m/s 341)

Telah berkata Imam Muhammad as Safaraini al Hanbali daripada Ibrahim bin AbduLlah al Qalansi ; Bahawa Imam Ahmad telah berkata tentang kaum Sufi ;
"Aku tidak mengetahui orang yang lebih utama daripada mereka (sufi). Lalu ditanyakan; Mereka itu melantunkan nasyid, kemudian saling hanyut diri. Beliau menjawab : "Biarkan mereka bergembira sesaat bersama ALlah subahanahu wa ta'ala".
(Manzumatul Adab, jilid 1 m/s 120)

5) Imam Abu AbduLlah al Harits al Muhasibi (wafat 243H)

Dalam kitab al Wasaya merupakan salah satu kitab induk ahli tasawwuf yang diakui, beliau berkata tentang pengalaman mujahadahnya yang pahit untuk mendapat hak (ALLah) sehingga mendapat petunjuk ke jalan Tasawwuf dan pada tokohnya , :
... Maka ALlah menghubungkanku kepada satu golongan hamba-Nya yang aku dapatkan pada mereka tanda-tanda ketaqwaan, wara' dan pengutamaan kehidupan akhirat atas dunia, seta aku mendapatkan bimbingan dan pesan-pesan mereka yang bersesuaian dengan pendapat para Imam umat...
(Kitab al Wasoya, Imam al Muhasibi, m/s 27-32)

6) Imam al Izz bin Abdus Salam (wafat 660H)

Sultan ulama 'Izzuddin bin Abdus salam berkata :
"Orang-orang sufi itu telah membangun landasan di atas kaedah syariah yang tidak menghancurkan dunia dan akhirat. Sedangkan selain mereka berdiri di atas rusum (zahir sahaja). Peristiwa karomah serta khwariqul adat yang terjadi di tangan mereka dapat dijadikan sebagai dalil kebenarannya. Hal itu, bahagian dari kedekatan ALlah serta redhaNya kepada mereka.


7) Imam an Nawawi (wafat 676H)

Imam an Nawawi berkata dalam kitabnya al Maqasid :
Prinsip asas Thariqat Tasawwuf itu ada lima :

  • Taqwa kepada Allah di saat sendiri dan bersama orang ramai. Untuk merealisasikan ketaqwaan ini adalah dengan menanamkan sifat wara' dan istiqamah.
  • Mengikuti sunnah dalam perkataan dan perbuatan. Untuk merealisasikannya dengan menjaga (sunnah) dan berakhlaq mulia.
  • Berpaling dari makhluk di saat bersama dan berpisah (maksudnya hatinya hanya bergantung kepada Allah dalam susah dan senang). Untuk merealisasikannya dengan menanamkan sabar dan tawakkal.
  • Redha kepada Allah kepada yang sedikit dan banyak. Untuk merealisasikan redha kepada Allah dengan menanamkan akhlaq qana'ah dan menyerah diri (tafwidh)
  • Kembali kepada Allah dalam susah dan senang. Dan merealisasikannnya dengan memanjatkan puja dan puji dan syukur kepada Allah apabila mengalami kesenangan dan sabar serta mengadu kepada Allah apabila dalam kesulitan.
(Maqasid al Imam an Nawawi fi at Tauhid wa al Ibadah wa Usul at Tasawwuf m/s 20)


SEBUTKAN SEBAHAGIAN DARIPADA ULAMA' SUFI ??

Ulama' yang berkecimpung dalam arena kesufian adalah ramai. Di antaranya, Imam al Ghazali, Imam Abu Nu'aim, al Hafiz Ibn al Solah, Imam al 'Izuddin ibn Abdul Salam, Imam Nawawi, Imam Suyuthi, Imam al Subki radiyaLlahu 'anhum dan lain-lain.

Bahkan Abu Nu'aim menyebut dalam kitab al Hilyah, bahawa imam ahli sufi juga terdiri daripada imam mazhab yang empat iaitu ImamAbu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal.

Cukuplah mereka sebagai qudwah (ikutan) kaum Muslimin samada di timur mahu pun di barat dan pengikut mereka pula adalah dari kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah.

Pendapat Imam 4 Mazhab Tentang Tasawuf

Imam Malik ibn Anas merupakan salah seorang dari kalangan Imam Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Beliau hidup pada kurun ke 2 dan wafat pada tahun 179 Hijrah. Beliau berkata :


Sesiapa yang belajar ilmu feqah tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf, maka ia adalah fasiq. Sesiapa yang belajar ilmu tasawwuf tetapi tidak belajar ilmu feqah maka ia adalah zindiq, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya, maka ia adalah ahli haqiqat.
Qawaid al Tasawuf, karangan Syeikh al Faasi, halaman 3.

Orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai adab dan keikhlasan, kadang kala akan menyebabkan ia menjadi fasiq. Mempelajari adab dan banyak berzikir tanpa mengetahui ilmu, kadang kala akan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir zindiq. Manakala orang yang menghimpunkan di antara ilmu dan adab serta zikir-zikir sahajahlah, yang mengetahui haqiqat agama ini.

Sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Syafi'e : Aku telah mendampingi ahli sufi, maka aku telah mendapat faedah daripada mereka dua kalimah. Mereka menyatakan :

"Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.

Sekiranya diri kamu tidak disibukkan dengan perkara kebenaran, maka ia akan menyibukkan kamu dengan perkara-perkara yang batil.
Ta'yid al Haqiqah al 'Aliyyah karangan Imam Suyuti, halaman 15

Oleh yang demikian, Syeikh Ali al Masyhur menyatakan : Tidak mengetahui nilai masa melainkan dua golongan; ahli sufi dan ahli fikir Barat.

Imam Ahmad ibn Hanbal mewasiatkan kepada anaknya, AbduLlah dengan berkata :

"Wahai anakku! Hendaklah kamu duduk bersama kaum ini (ahli sufi) kerana mereka telah melebihi kami dengan banyaknya ilmu, muraqabah, khasyah (takut kepada ALlah), zuhud dan tinggi himmah.
Tanwir al Qulub karangan Syeikh Amin al Kurdi, halaman 405.


Sumber : Al Allamah Abu AbduLLah 'Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.

Dipetik daripada : http://jomfaham.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular