Cinta Muhibbin





"Apabila kita mengenang orang-orang yang soleh sehingga bergetar hati dan rindu kita kepadanya , ALLAH Swt akan menurunkan rahmat-Nya kepada kita"


-Al-Habib 'Ubaidillah Al-Aydrus Al-Habsyi , Majlis Haul Imam Abdullah Al-Haddad, Masjid MATIN




Pemuda Rabbani





Kita bukan orang Politik, kita bukan orang tarbiyah, kita bukan pendakwah tetapi kita adalah pemuda Rabbani, pemuda Ansorullah yang merangkumi seluruh kepentingan Islam termasuklah politik, tarbiyah, dakwah dan segala-galanya. Melengkapi keSYUMULan Islam. Inilah yang ingin dilahirkan daripada produk-produk PAS. Saf pejuang yang seimbang dan sepadu. 

(Ketua DPPM, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi)


Filem : Alat Pendoktrinan Islamisasi yang Berkesan

Salah satu scene daripada cerita pendek "Gua Ikut Enta"

Filem memberikan impak yang cukup besar pada penontonnya. Beberapa tahun dahulu, filem Ayat-Ayat Cinta menimbulkan fenomena sehingga memberi kesan ramainya wanita yang berpurdah ekoran watak Aisha.

Proksi Yahudi menerusi industri perfileman terbesar dunia, Hollywood memainkan peranan menyebarkan pengaruh kuffar melalui filem. Lambakan filem barat 'mengubah' dan 'mendoktrinkan' pemikiran anak muda zaman ini supaya mengikut acuan hidup yahudi dan nasrani.

Jadi, menjadi satu tanggungjawab untuk ummah meneutralkan balik usaha pendoktrinan mereka itu ke arah melahirkan alternatif perfileman islamik. Dakwah menerusi filem menepati jiwa dan masa sekarang. 





InsyaAllah mengimpikan untuk membuat cerita pendek versi dakwah Islam, akan diusahakan bersama team anak muda GPC, ia adalah perancangan untuk tahun 2012. Doakan. =)





Ustaz & Ustazah Pilihan



Ustaz dan Ustazah Pilihan : Baiki diri, Betulkan Orang Lain


Alhamdulillah, seinfinti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah taala yang Maha Pemurah serta Maha Penyayang kerana limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, kita diizinkan untuk menghirup nikmat iman dan Islam untuk kesekian kali pada tika dan saat ini.

Selawat serta salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Sayyidina Muhammad s.a.w, Rasul utusan terakhir bagi ummah akhir zaman ini serta penghulu kepada sekalian anbiya’ kerana di atas usaha, penat lelah, curahan keringat, dan titisan darah Baginda yang mengalir dek pengorbanan dan perjuangan membawa risalah dan obor Islam, akhirnya ia sampai kepada kita pada hari ini.

Sahabat-sahabat murabbi sekalian,

Allah s.w.t menukilkan menerusi kalam-Nya di dalam surah ‘Ali Imran, ayat 110: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Ayat ini menceritakan pengiktirafan ummah terbaik yang yang diberikan Allah taala kepada ummah yang pernah wujud semenjak wujudnya alam ini. Walaupun terdapat sestengah tafsiran ulama’ mengatakan ayat ini ditujukan khas kepada para sahabat Rasulullah s.a.w, namun di sana terdapat juga tafsiran yang menjelaskan pengiktirafan terbaik ini merujuk kepada sekalian ummah Muhammad.

Gelaran ummah terbaik itu hanya akan dicapai jika tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar dilaksanakan. Inilah syarat yang ditetapkan menerusi ayat tersebut. Dan, inilah yang menjadi perbezaan peranan kita berbanding ummah Nabi dan Rasul terdahulu. Mengimbau kembali sirah bagaimana Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Nabi Harun sebagai pembantu dakwah Baginda,  Harun dilantik sebagai Nabi terlebih dahulu barulah tugasan dakwah itu boleh dijalankan. Tetapi realiti kita pada hari ini, tidak perlu berjawatan Nabi dan Rasul, menjadi manusia biasa sudah layak untuk menjalankan dakwah. Inilah keistimewaan kita sebagai ‘ummah dakwah’!

Ustaz dan ustazah : Pilihan Allah dalam Dakwah

Apabila kita berasa ragu-ragu dengan diri untuk menjadi ustaz atau ustazah, pantaslah kita bertanya pada diri mengapa Allah pandukan kita sebagai seorang pendakwah? Kadang-kadang kita berasa tidak mampu untuk memikulnya, kemungkinan ini berikutan dengan zaman silam yang kita lalui di sekolah menengah kita adalah seorang yang nakal, yang suka bersosial, yang suka bercakap kasar dan kotor, berpakaian mendedahkan aurat, bergaul bebas dan ikhtilat yang pelbagai rupa.

Namun, sebenarnya terdapat sesuatu pada dalaman diri kita yang Dia mahu kita serlahkan sebagai seorang pendakwah dan berterusan memperhebatkan kekuatan diri dalam berdakwah. Pada zaman kini, mad'u yang kita hadapi adalah pelbagai perangai dan ragam. Fikirkan perkara ini sahaja tatkala kita terasa goyah dengan mehnah sebagai seorang daie, insyaAllah semangat jihad itu akan membara kembali. Jadi, bersyukurlah atas pilihan Allah ini kita menjadi daie yang tergolong dalam golongan tempat rujukan dan penyelamat masyarakat.

Persediaan : Ilmu Pendakwah Bukan hanya pada Pedagogi

Mengikuti ijazah pendidikan, kita akan didedahkan dengan pelbagai pengajaran yang berkaitan ilmu pedagogi. Hampir keseluruhan kursus, ilmu inilah yang kita pelajari berbanding ilmu Islam itu sendiri. Justeru, di sana terdapat suara yang mengatakan belajar di IPG tidak melayakkan sesorang itu bergelar ustaz atau ustazah berbanding dengan ustaz dan ustazah lepasan Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan yang sempat bertalaqqi dengan ulama-ulama hebat dan mengutip banyak ilmu Islam ditambah bersanad dengan Rasulullah!

Sebenarnya, berada di tempat mana sekali pun, ia bergangtung kepada kehendak kita dalam mencari Ilmu. Walaupun sepanjang kursus di IPG kita mengikuti pengajaran Pedagogi, di luar kita perlulah bijak dalam menambah koleksi Ilmu Islam dengan mencari kuliah-kuliah ilmu, mengikuti pengajian kitab di pondok, mencari guru atau murshid yang dapat membimbing kita, mengikuti usrah dan halaqah ilmu dan bermacam-macam lagi sumber Ilmu. Tambahan lagi, realiti berada di Perlis terdapat banyak kelebihan bagi pencari ilmu kerana negeri yang kecil menjadikan tempat-tempat kuliah ilmu ini rapat-rapat dan dekat untuk dihadiri. Walaupun pengorbanan mencari ilmu sukar, inilah yang dinamakan mujahadah untuk mendapat title ustaz dan ustazah yang sebenar bukan hanya bergantung pada ilmu pedagogi semata-mata!

IPG Kampus Perlis : Medan Latihan Kader Dakwah

Suasana IPG yang dipenuhi pelbagai ragam dan watak guru pelatih memberi gambaran kepada kita medan masyarakat sebenar. Di sana, terdapat sahabat dan kawan kita yang gah dengan budaya couple, ikhtilat lelaki dan perempuan yang keterlaluan, meninggalkan solat dan puasa, tidak menutup aurat, jahil agama dan pelbagai masalah kronik lain. Inilah realiti sebenar. Justeru, tugasan dakwah menuntut kita berdepan dengan mad’u sedemikian.
Namun, menyeru kepada kebaikan itu sangat payah! Ya, ia payah jika dilakukan berseorangan. Kita memerlukan kekuatan.Kekuatan itu datang dengan kesatuan. 

Di sinilah ayat Allah menjadi panduan kita, iaitu ayat yang menyeru kepada berjihad/berdakwah secara kolektif (as-saf:4). Jika kita bersatu, mudah untuk menyebarkan fahaman Islam dalam kalangan warga IPG. Kaedahnya, qudwah kita perlu ditonjolkan dahulu iaitu dengan cara terdekat melazimi solat secara berjemaah di Surau. Ketahuilah, jika semua saf dipenuhi golongan kita, Surau Nurul Iman itu akan berjaya dimakmurkan. Dan, kesannya pasti ada di kalangan guru pelatih lain terikut dengan dakwah bil hal (contoh teladan) yang kita tonjolkan.

Seterusnya, melalui kekuatan contoh peribadi ustaz dan ustazah ini ia akan memudahkan gerak kerja dakwah dalam IPG ini. Mad’u lebih mudah menerima dakwah dengan thiqah yang dilihatnya. Dakwahlah mengikut kemampuan dan kelebihan masing-masing. Ajaklah mereka pada Islam. Matlamatnya biah solehah iaitu menjadikan Islam tersebar di seluruh penjuru IPG, insyaAllah. Inilah medan latihan kita sebelum berdepan masyarakat sebenar.

Penutup

Segala kalam yang tercoret di sini menjadi muhasabah untuk kita bersama, terutamanya diri penulis. Teliti dan perhati kembali betapa hebatnya kuasa Allah meletakkan kita di posisi ini. Namun, dalam basahnya bibir memuji takdir Allah ini perlulah untuk kita zahirkan rasa syukur itu dengan melengkapkan diri kita dengan perlaksanaan praktikalnya, bukan teori semata-mata.

Langkah terpenting ialah persediaan dari sudut kefahaman. Carilah ilmu Islam untuk betul-betul melayakan gelaran ustaz atau ustazah pada diri kita. Bukan hanya ilmu acuan untuk buku teks dan bilik darjah, tetapi ilmu untuk memandu diri kita dan ilmu untuk mengubah warga IPG yang bermasalah dan masyarakat yang semakin kronik pada zaman ini!

Seterusnya, dari sudut ukhwah kita mestilah hebat mendahului kelompok lain. Perbezaan indivdu mestilah diraikan kerana komponen yang berbeza ini yang akan melengkapkan sebuah jemaah yang syumul. Ayuh jemaah ustaz dan ustazah, peliharalah hubungan dan ikatan antara kita, jangan bermusuhan.

Akhir kalam, fahamilah peranan kita untuk Islam. Usahalah menyumbang untuk Islam supaya kita turut tergolong dalam kelompok yang berjuang memenangkan Islam untuk Daulah Islamiah khususnya di Malaysia, dan Khilafah Islamiah secara amnya. Itulah kejayaan yang besar bagi seorang daie!

Islah nafsak, wadh’u ghairak. =)


  • Penulisan lama yang pernah tersiar di blog IMPI suatu ketika memegang jawatan dalam persatuan tersebut dahulu. 
  • Moga menjadi peringatan bersama, khususnya memahami hala tuju sekarang..



Wajah baru.


Sekali lagi, blog bertukar wajah. Ia diberi nafas baru, lebih simple, mudah dan teratur. Post selepas ini akan lebih fokus pada gambar, seumpama Photoblogging.

a pictue tells thousand words. =)




Pulih Kembali.


Dunia dakwah itu bulat. Kadang-kadang semangat kita dipuncak, tapi kadang-kadang terbawah pula. Biasalah tu, normal bagi daie yang masih dalam zon ‘pembentukan’ selalunya banyak tersadai di bawah. Cuma, perlu dalam sebuah organisasi tersusun, untuk saling menasihati. Ad-din nasihah.

Aku bukanlah orang yang alim dalam bidang dakwah. Pucak hijau lagi berbanding engkau sahabat. Mungkin nasihat itu tidak kedengaran dan tidak dihiraukan dek faktor ini. Tapi, bukan itu nilaian sebuah nasihat. Aku ingin melaksanakan teguran itu, ia adalah sebahagian taklifanku, dan ianya semata-mata kerana Allah, sahabat. Moga engkau memandang ini sebagai satu muhasabah bersama, aku dan kau sekali. 

Sahabat, jangan kerana wanita engkau menggadaikan prinsip dakwahmu. Ingatlah, pertuturan, perlakuan daie dijadikan manhaj oleh mad'u. bimbang jika ia bertukar fitnah pada agama hanya kerana seorang wanita. banyak mata yang menjadikan daie sebagai contoh. islah2,, sahabatku kau permata islam yang hebat.

Ujian mengenai wanita biasa lah sahabat. Sesuai masa dan keadaan usia kita, peringkat pra-dewasa, ia perlu. Tapi jangan sampai terbawa dalam dunia tarbiah dan dakwahmu. Fitnah ini perlu ditapis dengan cara yang praktikal, kerana ia fitnah yang besar – jadi jangan memandang kecil perkara ini. Ini bukan kalamku melainkan aku sampaikan ia melalui sabda junjungan kita, 

”Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita” (HR Bukhari dan Muslim).

Sahabat, peringatan bersama untuk kita semua. Wanita sememangnya fitrah dijadikan mereka untuk melengkapi lelaki khususnya dalam medah perjuangan. Tetapi, ia bersyarat dengan ikatan yang sah. Adapun jika ia bukan ikatan yang sah, maka terjadilah seperti mana yang engkau alami sekarang, bukan fitrah tetapi fitnah. Terlalu asyik dengan ‘komunikasi’ yang dirasakan halal.

Jika takdir setelah engkau mencuba tidak memihak kepadamu, serahkanlah pada Yang Esa. Ada yang lebih baik menantimu. Engkau baka yang baik, pasti mendapat pasangan yang baik juga. Yakin janji Allah. Dan, aku juga yakin janji itu pasti terjadi padamu.

Suburkan Tarbiah Perkasakan Perjuangan 

Islam bermula dengan tarbiah. Dan untuk membawa Islam juga tarbiah perlu dibawa seiring. Ia tidak ditinggalkan. Ayuhlah bina kembali kemanisan tarbiah itu, aku sedar ia bukan dalam masa singkat, tetapi sekurangnya kita berusaha. Tidak menjadi jika perjuangan dipikul tanpa tarbiah melekat pada tubuh pemikulnya, nescaya rebahlah.

Jadi sahabat, kita mahu landasan kita ini disuburi tarbiah kerana ia adalah landasan umat. Perlu untuk kita mulakannya dahulu. Jangan sampai umat melaluinya berdasarkan landasan yang berisi maksiat. Kita dipandang sahabat. Kita punyai kekuatan contoh yang boleh dididik untuk kemenangan dakwah.

Akhirnya sahabat, aku menggarap ini bukan untuk kepentingan diri. Ia adalah untuk hantaran pada redha Allah pada ikatan persahabatan kita. Ikatan kita lebih daripada biasa kerana kita posisikan Islam dihadapan untuk memandu kita.

Sahabat mengharap Redha Allah.


Kalau enti ana taqdim dahulu


Assalamualaikum.
Duhai Muslimah, tujuan ana menaip surat ini adalah untuk menggambarkan perasaan ana kepada enti selama ini. Walaupun surat ini tiadalah akan sampai ke pengetahuan enti, tetapi sekurang-kurangnya, dapatlah ana luahkan perasaan yang terbuku ini pada sesuatu.
Muslimah, sebelum surat ini ana campak ke dalam sungai nil, seperti yang pernah dibuat oleh Utusan Khalifah Umar dahulu, ingin ana coretkan serba sedikit isi hati ini. Rasa ini berputik tatkala mata kita bertemu untuk pertama kalinya. Ya, mungkin kerana itulah nabi menyuruh kita menundukan pandangan. Tapi saat berdepan dengan enti, seperti kaku tubuh ini. Tidak bisa ana tundukkan pandangan, mahupun berganjak.
Enti tahu, kita sudah pun kenal lama. Cukup lama untuk membuatkan cinta ini terus berkembang mekar. Cukup lama untuk ana tekad dengan isi hati ini. Tidak tegar rasanya dibiarkan pendam begini.
Dan akhirnya terluahlah. Ana masih ingat, tarikh keramat itu. Bulan Ogos tahun lepas ana kira sangat menguji ana, apabila enti mengambil sikap berdiam diri dari menjawab isi hati ini. Tak pernah ana sangka selama ini, dengan tarbiyyah di sekolah dahulu yang ana kira cukup untuk membenteng hati dari segala maksiat, akhirnyya ana hampir-hampir lumpuh. Lumpuh kerana cinta yang tiada kesampaian.
Dan dalam lumpuh itu, kawan enti memberitahu bahawa enti juga mempunyai rasa yang sama. Kalaulah enti tahu bagaimana berbunganya rasa hati ana ketika itu.
Ana cuba jejaki enti di laman Facebook, malang sekali kerana enti mengelakkan diri dari membuat sebarang akaun di situ. Lantas, sebulan sekali ana mengambil langkah menghantar emel kepada enti. Sekadar teguran sapa biasa, mendoakan kita saling hidup dalam keberkatan. Sedang hati kecil kita sendiri tahu bahawa bukan keberkatan yang kita tuju.
Muslimah, hari berganti hari. Saat bergerak pantas meninggalkan kita lena dalam perasaan cinta fana. Ana masih kekal orang yang dulu. Yang punya cita-cita, yang punya jawatan, yang hebat bersuara di universiti. Cuma yang ada sekarang adalah harapan. Tetapi malang harapan itu datang dari cinta yang tidak suci. Malangnya baru hari ini ana sedar, bahawa cinta kita tidaklah berpaksi pada ilahi.
Setahun pun menjengah.  Enti telah berubah. Ana juga begitu. Masing-masing bagai melarikan diri. Pasak-pasak cinta dalam hati ana masih cuba sirami dengan iman. Biar tidak membiak ganas di halaman hati. Kerana itu enti tiada ana hubungi lagi. Biar lapang hati kita. Biar terbuka untuk Rabbi.
Muslimah, dalam terputusnya hubungan kita itu, ana merancang. Tapi benarlah firman-Nya yang bermaksud,
“Kalian merancang dan tuhan juga merancang. Sesungguhnya tuhan itu sebaik-baik perancang.”
Dan detik hitam itu pun tiba. Tidaklah ana menyangka enti akan menerima pinangan. Allahu Rabbi.  Saat itu gelap rasa dunia. Rasa berkecai kacau jiwa. Manca rasa bergolak di hati. Dan ana kecewa, kerana enti tidak sempat ana taqdimi.
Khabarnya Muslimah, tunanganmu itu bukan orang biasa-biasa. Seorang pelajar lulusan Yaman yang katanya hafiz Al-Quran, malah berhujah menggunakan ilmu. Khabarnya lagi, ilmunya itu segar dan luas, dan dari cerita-cerita itu, ana tahu, dia adalah bakal ulamak baru di tanah air kelak.
Dan siapa ana ketika itu? Hanyalah seorang pemuda yang kian kabur cita-citanya, hanya kerana cinta.
Sebenarnya, ana sendiri patut bersyukur. Pernah sekali ana berdoa di hening malam, mengharapkan kita dijodohkan, atau dikurniakan yang lebih baik. Alhamdulillah, enti sudah bertemu jodoh yang lebih cocok daripada ana. Kini tinggal ana pula. Gilirannya belum tiba tapi tidak akan pernah usai menanti.
Ya, Muslimah, hati ini sedikit kecewa. Kerana cinta manusia kita dahulukan. Ini yang terbaik buat kita. Biar kita tahu, cinta tuhan itu tiada tolok bandingnya. Andai kata tuhan tidak mencintai enti, Muslimah, masakan dia kurniakan enti calon suami yang terbaik begitu?
Allahu Rabbi. Doakan ana kembali ke pangkal jalan yang sebenar. Mabuk cinta dunia ini hanya mengkhayalkan, jika tidak kita landaskan ke jalan tuhan.
Allahu Rabbi. Ana doakan kalian bahagia. Sungguh, ini ikhlas dari jiwa raga yang pernah ana buka untuk cinta kita. Sekarang biarlah ana menyendiri mencarik cinta yang sejati. Bukan angan-angan anak muda lagi, bahkan menjadi pemuda yang teguh untuk agama.
Terima kasih, cinta. Terima kasih, Muslimah. Kerana kalianlah yang melahirkan ana sebagai pemuda cekal kelak.
Kalau enti ana taqdim dahulu, siapalah kita sekarang. Mungkin masih pemuda muslim dan muslimah yang kekal leka, dan entah bila akan sedar. Allahu rabbi. Entah berapa ramailah yang telah buta kerana cinta seperti kita. Moga mereka bertemu hidayah kelaknya, insyaAllah.
Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular