Showing posts with label Diri sendiri. Show all posts
Showing posts with label Diri sendiri. Show all posts


Impian


Bersimpuh bersama sahabat seperjuangan - gambar daripada blog akh ehsan

Ini adalah entry pertama bagi tahun 2014. 

Ada yang bertanya, apa cita-cita besar untuk dicapai pada tahun ini ?

Entah. Aku tidak merancang sesuatu yang besar.

Kalau ada pun, sekadar meneruskan harapan dan cita-cita tahun sebelumnya yang tak berjaya dicapai.

Cuma, aku nak target untuk buat kebaikan dengan banyak sepanjang tahun ini.

Biarlah di pengakhiran hidup, aku dapat mati ketika sedang asyik bergelumang dengan kebaikan khususnya di dalam amal Islami.

Ya, aku nak mati ketika melakukan kerja dakwah dan tarbiah.

Sebagaimana al-marhumah Siti Hajar dan Ammar.

Aamantu billah, thummastaqomu.




Konflik



Menjadi seorang pemimpin akan mengakibatkan kita terjerumus ke dalam konflik. Baik konflik itu datang dari luaran mahupun dalaman, seorang pemimpin yang bijak harus bersedia mengatasinya bagi mengelakkan gerakan yang dipandunya terhenti dan mati.

Pernah sahaja puluhan organisasi terdahulu hancur bukanlah disebabkan kuatnya pukulan musuh luar, tetapi disebabkan dimakan anai-anai perosak secara dalaman. Sejarah Turki Uthmaniah menceritakan gerakan the Young Turk & kealpaan sebahagian pemimpin dengan kemewahan pada zaman Sultan Abdul Hamid II menjadi ‘anai-anai’ yang merosakkan sebuah khilafah. Ini adalah contoh konflik dalaman yang berlaku ditambah parah dengan bantuan konflik luaran.

Dalam situasi ini, jika pemimpin tidak berani bertindak dan mengambil risiko, pasti masalah tidak akan selesai. 

Maka solusi bagi kelangsungan sesuatu gerakan, pemimpin tersebut perlu meredah konflik yang berlaku dengan hikmah, bukannya lari meninggalkan masalah. Antara maksud hikmah di sini adalah, keputusan yang perlu dilakukan seorang ketua itu perlulah mementingkan maslahat utama dan dalam masa yang sama tidak merugikan pihak berkepentingan. Ia ibarat menarik rambut di dalam tepung - rambut dapat, tepung tidak berselerak.

Saya datangkan contoh, apabila timbul konflik anggota organisasi buat hala tuju sendiri dan tidak mengikut matlamat organisasi, pemimpin perlu membetulkan mereka. Dalam pada masa yang sama, tindakan itu perlu dibuat tanpa menyebabkan ukhwah yang dibina selama ini rosak. 

Fahamkan kembali kepada mereka hala tuju jamaie bersama. Ikat juga mereka dengan rukun organisasi yang menjadi tunjang asas bertahannya gerakan. Taat dan wala' mesti diberi pada arahan tersebut.

Tapi bosss..diorang ada kefahaman (fikrah) sendiri, manhaj sendiri, hala tuju ‘yang katanya lebih sahih’ sendiri, wasilah sendiri, macam mana nak betulkan???”

“Dah cuba buat cara tadi?”

“Dah. Sampai berbuih mulut kami jelaskan, mereka tetap berkeras !”

........

Inilah antara contoh ratusan konflik bakal ditempuh.

Ia perlu diselesaikan segera.

Allahu musta'an. :)


Cara Faham



Dalam satu diskusi, sahabat saya bertanyakan makna fikrah. Lalu antara kami ada yang menjawab kefahaman, idea, pemikiran dan lain-lain. Semua jawapan betul, cuma saya tertarik definisi seorang teman:

"Fikrah adalah praktikal cara kita faham. Kalau kita berfikrah Islamiah, ia adalah perilaku faham kita pada Islam. Bahasa mudah, fikrah adalah perkara yang menentukan pembawakan kita."

Ada orang faham Islam sebagai agama ritual solat puasa sahaja. Ada yang faham sebagai budaya seperti nikah dan baca yaasin jenazah semata. Ada pula faham separuh-separuh (juzu') serta ada option, yang dirasa best untuk diamal diambil..yang berat tak kena dengan hati ditolak.

Definisi Islam pun sudah berbeza bagi setiap orang. 

Bukan salah guru, bukan salah kitab (manhaj), bukan juga salah penyampaian, tetapi salah diri sendiri dalam memahami. Buktinya, seorang guru dan sebuah buku teks yang sama diajarkan dalam kelas yang sama, tetapi jawapan murid-murid berbeza antara satu sama lain.

Begitu juga bagi yang mentakrifkan fikrah Islam dalam perjuangan. Ada yang berdakwah seputar kelompok mereka, menyanjungi syeikh2 mereka, menyeru kepada jalur 'fikrah' mereka semata, tidak lebih dari itu.

Dalam usul 20 (rukun faham), Al-banna mendefinisikan Islam sebagai Negara dan Tanah Air, pemerintahan dan umat. Ia adalah akhlak, kekuatan, kasih sayang dan keadilan. Ia adalah pengetahuan, undang-undang, ilmu dan kehakiman. Ia adalah kebendaan, harta benda, usaha dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah. Ia adalah tentera dan fikrah. Islam juga merupakan aqidah murni dan ibadah.

Jom satukan fikrah !



Optimis Pada Diri !



Saidina Umar Al-Khattab r.a sebelum masuk Islam adalah merupakan seorang samseng yang digeruni. Sebut sahaja dosa apa yang tidak pernah beliau lakukan, hampir kebanyakkanya menjadi rutin beliau. Tetapi apabila masuk sahaja Islam, beliau diangkat darjat oleh Allah s.w.t sehingga bergelar amirul mu'minin yang hebat dan sangat takutkanAllah.

" Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam ". 

Ini adalah antara ungkapan beliau yang terkenal, sentiasa membuatkan kita bangga menjadi muslim dan sentiasa menyedarkan kita akan tuntutannya.

Pernah dalam satu pertemuan, naqib usrah menasihati aku based on kisah Khalifah Ar-Rasyidin kedua ini. Contentnya mengenai kepimpinan Islam. Alkisahnya, hati kecil aku merungut mengenai ketidaksanggupan menggalas jawatan dan memimpin atas alasan banyak dosa dan kekurangan menguasai diri serta aku tak mampu menerimanya.

Lantas, si naqib yang dekat dan memahami hati mad'u hadir datang mengubat. Kebetulan, kisah saidina Umar ini tepat pada protes kecilku. Kata naqib, jika enta selalu fikir pada kekurangan diri, setiap orang ada lemah dan kurangnya. Cuma, cara kita tonjolkan watak itu yang menutup kekurangan. Lihat pada kisah Saidina Umar pada sebelum dan selepas Islam. Beliau ada kekurangan, tapi taubat dan hidup matinya untuk Islam mengangkat darjat diri. Lebihkan potensi dan kelebihan pada diri enta, automatik ia akan menutup kekurangan. Tambahan pula, kepimpinan Islam itu wajib digalas dan disambung. Kita adalah mata rantai perjuangan. Optimislah !

Ringkas nasihat beliau. 

Ia sungguh melapangkan dada ini. 

Belajarlah untuk menjadi yakin dan berwatak sehebat Saidina Umar. Sesungguhnya, di dalam diri kita ada singa yang sedang tidur dan perlu dikejutkan.

Buka mata, dan terus melangkah untuk Islam. 

Terima kasih akh. :)

2:07 a.m.



Hidup.


vandetta - gambar hiasan.

"Aku hidup bukan untuk manusia. Hidup aku untuk Allah."

Waktu menunjukkan jam 2:17 pagi. Malam ini aku belum dapat lelapkan mata. Seharian berdepan dengan detik-detik hidup yang ada kala manis untuk dikenang, pahit untuk ditelan, dan pelbagai lagi ceritera suka duka yang sentiasa menjadikan hidup ini penuh warna.

Aku merenung pada satu perkara yang dinamakan ujian. Apabila ujian datang, manusia biasanya akan tersentak kaku seketika. Waktu itu, fikiran akan pantas berfikir panjang mencari hikmah disebalik ujian yang diberi. Jangan bersedih apabila ujian menimpa kita. Apa yang pasti, di sana ada terselit hikmah yang akan mendidik dan meninggalkan kesan baik pada kita.

Antara ujian yang biasa menimpa kita adalah kejian dan cacian manusia di sekeliling. Baik ia datang dari sahabat terdekat mahupun musuh. Saat ini jika kita dihina kerana kebaikan yang kita lakukan, maka bersabarlah. Manusia tidak akan pernah berasa senang dengan kebaikan orang lain. 

Kita perlu memiliki satu mindset yang mana kita yakin dengan kerjabuat kita, percaya kerja kita betul, dan teruskan kerja itu hingga selesai hanyasanya semua yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah, bukan kerana manusia. Tak perlu untuk bersusah hati dengan hinaan manusia. Allah lebih tahu apa yang ada di dalam hati kita. Teruskan kebaikan yang dilakukan.

Jadi, inilah yang aku maksudkan hidup untuk Allah. 

Coretan ringkas, sekadar luahan. Moga bermanfaat. ;)
Sekian.



Muhibbin Haraki


hadiah sempena hari lahir murobbi.


Suasana ketika itu tenang, kami antara tetamu awal yang mendapatkan posisi pada saf pertama di dalam masjid negeri Shah Alam. Waktu lebih kurang jam 6 petang, lagi 2 jam sebelum program bermula.

“Aku rasa teruja sungguh boleh duduk kat sini, barisan paling hadapan pulak tu.” Ujar sahabatku dengan senyuman bangga.

Mahu tak bangga, majlis selawat yang dihadiri ribuan manusia dari pelbagai arah ini begitu sukar untuk mendapatkan tempat duduk, terutama di barisan hadapan. Kali ni kami berkesempatan.

Lebih-lebih lagi, ia dihadiri ulama’ besar dunia, Al-Habib Umar bin Hafiz.

Keterujaan kami pada waktu itu bertambah dengan ‘rezeki’ dapat bersalam dan menyentuh tangan al-habib. Kami solat betul-betul di belakang beliau. Ketika tausyiah & qasidah dialunkan, kami bertentangan mata dengan al-habib. Memang hampir benar dengan sosok tubuh keturunan Rasulullah s.a.w itu.

Itu adalah detik pertama kali aku berada dalam majlis selawat & qasidah. Ia memori penuh energi yang sempat dirakam dan buat pertama kalinya juga aku mengenal istilah “muhibbin”.

Selawat & Perjuangan.

“akhi, ana nak tanya…salah ke kalau kita mencapur adukkan perjuangan haraki ini dengan muhibbin penuh kesufian?”

“ustaz, apa pendapat ustaz kalau ada gerakan yang cenderung kepada selawat & qasidah, apakah selari dengan manhaj perjuangan kita?”

Semua soalan ini singgah di kotak fikiran.

Belum sempat terjawab, fikiran aku jatuh pada satu wajah yang dikagumi, al-murobbi syeikh zainul asri (pak long). Beliau antara figure ummah yang berjuang di kedah dalam konteks haraki dan muhibbin.

Seringkali aku mendengar pertanyaan sebegini, dan jika ditanya kepadaku, aku akan berlepas diri untuk menjawab. Aku tidak tahu. Bagi aku, jawapannya ada pada sosok tubuh yang bergerak itu, Pak Long Zainul Asri. Perwatakan dan perjuangan beliau menjawab persoalan tersebut.

Pendirian aku, lebih baik berada di tengah-tengah (wasatiyyah antara muhibbin dan haraki). Aku banyak memerhati. Aku mengkaji suasana sekeliling, mendalami maksud tarbiah, cara pendekatan dakwah, dan strategi siyasah. Aku juga mengaitkan secara satu persatu elemen muhibbin ini dalam gerakan tarbiah, dakwah dan siyasah itu. Waktu itu juga, aku hampir dengan mereka yang dominan pada muhibbin dan haraki. Murobbi aku, seorang pendokong gerakan dakwah, banyak pendekatan dakwahnya ini menjurus ke arah muhibbin. Aku cedok 100% input tarbiah daripada beliau. Manakala naqib aku pula, dominan pentarbiahan haraki pada dirinya, kurang menampakkan muhibbin dan kesufian serta dicetaknya juga fikrah haraki yang diterima itu kepadaku 100%.

Aku membanding beza.

Aku terdedah kepada dua elemen ini dalam fasa pentarbiahan. Aku jelas, kedua-duanya benar dan berdalil. Malah, jika kurang antara satunya, maka cacatlah kompetensi daie itu. Tanpa kesufian dan mahabbah, harakah hanya menghasilkan peribadi-peribadi yang memahami politik tetapi jiwanya keras dan tidak mengenal kelembutan. Dan begitulah juga sebaliknya jika tanpa haraki, tiada makna pada harakah.

Berjuang perlu kepada berselawat, dan berselawat perlu kepada perjuangan (manifestasi cinta kepada Nabi).

Jadi, aku memlilih untuk berada di posisi wasatiyyah.

Harakah Diutamakan.

Sebagai ahli pendokong Islam, kita mesti jelas pada fikrah kita. Ketaatan dan kepatuhan pada arahan itu perkara utama. Ia menjayakan fungsi qiyadah dan jundiah. Jangan kerana kecenderungan kamu pada sesuatu perkara, rukun organisasi ini kamu abaikan.

Organisasi tetap menjadi keutamaan. Prinsip dan rukun perjuangan yang digariskan pada organisasi perlu dipatuhi untuk membentuk kesatuan amal. Apabila dah memilih ia sebagai jalan hidup kita, apa pun fikrah kamu perlu diselaraskan (wehdatul fikr). Adapun kecenderungan itu jadikan perkara fardhi, bukanlah jamaie yang boleh menggangu perjalanan organisasi itu.

Pada ketika ini, perlu jelas dalam membezakan antara dasar dan pendekatan. Selagi mana ia tak bercanggah dengan dasar, teruskan kecenderungan yang kamu dokong. Jika pendekatan itu membawa manfaat yang besar pada amal jamaie sesebuah organisasi, teruskan.

Jiwa Sufi, Fikrah Haraki, Jasad Jundi.

p/s- Ustaz Hafez Sabri antara figure muhibbin haraki yg sangat aku kagumi. =)

2 Jun 2013.




Waqaf Diri Kerana Allah.


Kata-kata naqib aku masih lagi jelas pada benak fikiran ini. "Jangan enta larut dengan perjuangan ini atas dasar kawan-kawan dan ukhwah. Ia tidak kekal lama. Apabila berpisah sahaja kita dengan kawan-kawan, mungkin kita turut berpisah dan meninggalkan perjuangan."

"Ingatlah, asas ukhwah itu tidak kuat, hanya sekadar manis dan indah semata di kampus. Hakikatnya, kita akan berseorangan nanti. Enta akan dipostingkan seorang diri. Waktu itu, tiada kawan yang boleh memberi kepentingan pada perjuangan enta." Sangat berbeza term ukhwah yang digunakan dengan realiti sebenar.

Saat dan ketika itu, hanya kefahaman yang menjadi sumber kekuatan utama di kala berada pada medan lapangan sebenar. Jika kefahaman kita kuat, kita akan tahan. Datanglah sehebat mana mehnah dan halangan, insyaAllah kita akan tetap istiqamah. Matlamat kita kena jelas, intima' ini adalah kerana akidah dan kewajipan akidah. Atas dasar iitulah marhalah tarbiah disusun bermaksudkan kefahaman, bukannya ukwah.

Al-fahmu sebelum Al-ukhwah

Bila aku mengatakan faham lebih utama berbanding ukhwah, bukan bermakna aku menafikan terus elemen ukhwah, tidak, bukan begitu. Cumanya, apabila kesemua berkumpul atas dasar faham, ia lebih menguatkan kita teman. Bila faham, kita akan punya matlamat yang jelas untuk bekerja. Bila faham, kita akan terdorong untuk berkorban.

Ukhwah?

Ia juga penting dan bertindak sebagai pelengkap kepada perjuangan. Para sahabat berukhwah bersama Nabi. Mereka sayang antara satu sama lain. Hebatnya ukhwah antara mereka hingga sanggup mengorbankan kepentingan diri. Hebat ukhwah mereka, hingga sanggup mati kerana Nabi, kerana sahabat. Ini kerana ukhwah mereka diasaskan kerana lillahi taala dan faham akan tuntutan utama, iaitu menegakkan Islam.

Itu jika meletakkan faham pada perjuangan.

Namun, jika kita berukhwah bukan kerana perjuangan, ia kurang bermakna. Ukhwah di luar perjuangan MANIS. Boleh bergelak tawa, bersuka ria, bermanis muka. Tetapi, bila tiba waktu perjuangan, ukhwah kita akan diuji. Pada waktu itu, kita boleh nilai sejauh mana kefahaman kita pada maksud ukhwah islamiyyah.

Seringkali ukhwah ketika dalam perjuangan, jarang dan sukar untuk dapat MANISnya. Masing-masing mengenepikan awlawiyyat. Bahaya virus ini, mungkinkah maqasid kita berukhwah bukan pasak atas PERJUANGAN?

Kerana itulah pentingnya muhasabah. Niat perlu sentiasa ditajdidkan. Kita berukhwah kerana apa teman? Kita bekerja kerana siapa teman? Awlawiyyat kita ke mana teman? Ayuh, letakkan keazaman dan niat yang ikhlas pada perjuangan yang suci ini. Berusahalah untuk mencontohi Nabi dalam perjuangan (faham feqh harakah Nabi), dan berukhwah kerana Allah sebagaimana ukhwah para sahabat.

Waqaflah diri kerana Allah teman. :)

Allahumma faqqihna fid deen...
Allahummarzuqna lil istiqamah wal ikhlas....

Amiin.





Akhir Ramadhan 1433 - Allah itu Maha Dekat!


Semalam, lebih kurang jam 8.35 pm di Masjid Rusila, Blacberry aku basah kuyup 'tersimbah' air ketika berwudhuk. Kondisi memang kritikal, bila ON je, dia mati, dah nyala skit then kelip-kelip pastu mati balik. Banyak kali try tapi keadaan masih lagi sama je. Sah, memang dah rosak.

Aku buat taktahu dan terus solat isyak serta terawih. Memang niat asal ke masjid Rusila ni nak i'tikaf kat masjid bila diajak oleh Abay Cik semalam lepas. Tengah-tengah iktikaf tu, sempat lagi check balik keadaan blackberry yang basah penuh dengan air tadi. Cubaan untuk hidupkan balik kali ke-10 pun masih gagal . Frust jugak, sebab nak call Abay Cik tak dapat (lepas cari tak jumpa). Last-last sekali, aku duk sorang-sorang sampai pagi.

Balik rumah lepas subuh memang dah decide nak hantar ke kedai pagi ni. Tiba-tiba aku try ON sekali je terus hidup macam xde pape. Ish, mudah pulak pagi ni dia hidup balik.

Bila renung-renung balik, Allah memang dah plan insiden tu terjadi kat aku, suruh aku fikir. Dia sengaja OFFLINEkan hubungan aku dengan makhluk lain sekejap untuk bagi masa FOKUS kat Dia. Dah seharian bergelumang dengan manusia, takkan 'curi' masa untuk ONLINE dengan Dia sekejap cuma pun tak boleh. Dia dah banyak permudahkan jalan..bagi kesempatan..bagi peluang..bagi masa, kesihatan, kaki untuk melangkah ke masjid dan lain2 nikmat tapi aku tetap tak nampak dan tak bersyukur. 

Rupanya, Dia nak bagi peluang kat aku supaya lebih tekun bila berhadapan dengan-Nya pada hari-hari akhir ramadhan ini. "Bila beribadah kat Aku, jangan pikir makhluk, jangan pikir dunia, fokus kat Aku!" Tapi, rupanya aku sombong pada 'lambaian' dan panggilan kasih sayang Allah itu.

langit ramadhan subuh terakhir - keesokkan harinya ;')

#Hakikatnya, begitulah sifat manusia, dah dapat nikmat dan Allah dah buka jalan, kita tak pandang dan buat tak tahu je. Sedangkan, Allah sentiasa sambut kita, tapi kita sombong.
#Rebutlah peluang di akhir ramadhan ini, jangan sia-siakan ramadhan yang berbaki. Masih ada kesempatan untuk dapat pengampunan dan redha Allah..berusahalah. Allah itu sangat dekat!


- Masjid Rusila, Marang Terengganu 
- 28 Ramadhan 1433 h





Full time Daie

2012 adalah tahun yang ‘membesar’ bersamaku. Aku belajar sesuatu daripada perjalanan qada’ dan qadar tahun ini. Benarlah kata ramai orang, pengalaman mematangkan. Berguru dengan pengalaman, ia adalah rezeki yang tertulis untuk kita, ianya datang daripada Allah. Pengalamanku tidaklah banyak, tetapi cukup untuk aku tulis, bagi kepuasan diri sendiri.

Hingga post ini ditulis, aku berada dalam pertengahan 2012. Maknanya, sudah 6 bulan daripada tahun ini berlalu. Bermacam-macam perkara yang dilalui khususnya perkara melibatkan keterlibatanku dengan dakwah dan tarbiah, membentuk persepsi dan fikrah aku hingga kini.

TAKLIFAN : ANTARA UJIAN DAN AMANAH

“Enta tak terlibat apa-apa persatuan di IPG ke?”
“Tidak, ana ahli biasa. Guru pelatih di IPG Perlis.”

Hidup berjawatan memang best. Dengan adanya jawatan dan terlibat dalam persatuan, orang akan kenal kita. bila berjawatan, orang akan cari kita, puji kita. Bila program berjaya, orang akan kagum pada kita. Tapi sebaliknya pada orang yang tak berada dalam persatuan dan tak berjawatan, dia tak famous, hanya jadi rakyat biasa, orang tak kenal.

Itulah realiti. Ujian besar rupanya bila berjawatan ni. Seakan mencari pandangan manusia. Maksiat hati akan ada kalau tak mampu faham matlamat taklifan jawatan. Mengejar jawatan untuk menaikkan nama dan mengagungkan diri. Nauzubillah, minta dijauhkan.

Tahun 2012, aku hidup seperti era foundation semester 1 PPISMP dahulu. Kehidupan yang tidak disibukkan dengan meeting lewat malam, buat kerja2 persatuan yang penuh teknikal, mencari dana untuk program, memanjat ke jabatan2 IPG untuk bertemu pensyarah dan lain2 kerja yang memenatkan. Itu realiti kerja persatuan yang sudah tak berlaku kepadaku sepanjang tahun ini. Seperti di era semester 1, kehidupan terasa ringan, hanya 3k berlegar dalam kamus hidup – kuliah,kafe, dan katil!

Aku, PGPI dan Dunia Dakwah

Sebenarnya, aku rindu pada berpersatuan. Aku rindu pada Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI), persatuan Islam pertama yang aku sertai. Di sinilah aku belajar banyak perkara. Di sini juga, ilmu yang aku dapat, tidak aku dapatinya di dalam bilik kuliah. Ia mengtarbiah aku mengaplikasi teori usrah dan buku fikrah. Mudahnya, melalui PGPI aku mula mengenali apa itu dakwah dan tarbiah!

Teringat sewaktu zaman awal terlibat dengan PGPI,  ‘kecut perut’ berada dalam saf pimpinan bersama para pelatih yang hebat. Walaupun perbezaan umur jauh, hingga aku berbahasa abang dan kakak bersama mereka, tidak sesama sekali mereka lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Di situ aku belajar, semangat orang muda tak boleh meluru laju kedepan tanpa dipimpin orang lama. Bergelumang dengan kerja dakwah dan tarbiah bersama mereka seperti usrah, liqa’, dan program dakwah yang pelbagai sangat memberi kesan kepada aku.

DAKWAH SEPANJANG MASA

Tiada jawatan bukan bermakna taklifan dakwah terhenti. Hakikatnya, setiap yang mengaku muslim, mengucap kalimah laa ilah illa Allah dia adalah pendakwah. Tak perlu berjawatan untuk menyatakan hak Allah, suruhan dan tegahan Islam,  ia kewajipan setiap muslim. Akan tetapi, aku tak nafikan peranan jawatan, kerana orang akan lebih ‘memandang’ apa yang dicakapkan jika pendakwah itu ada kuasa.

Membangunkan dakwah tidak perlu secara direct, cukup sekadar menjadi orang di belakang tabir. Aku lebih suka dan mudah akan posisi ini. Sekali kaki kita dah berada di jalan perjuangan, kita kena gerakkan elemen2 di dalam itu. Ada orang tanya, macam mana nak definisikan intima’ dengan Islam? Pelbagai definisi diberi, tetapi intima’ bukan bererti masuk Islam, bukan juga menganut Islam, dan menggabungkan diri dengan Islam juga masih belum bagi erti yang mendalam.

“Bagi ana, intima’ ini adalah enta bernafas dengan nafas Islam. Jika enta bernafas Islam, enta tak akan tunggu dan tunggu, tetap berjuang walau apa keadaan sekalipun, sama ada berpangkat atau tak, kerana setiap hembusan nafas enta itu adalah nafas Islam!”

Jadi, tiada alasan untuk tidak berjuang. Menyumbang untuk Islam itu adalah taklifan setiap muslim. Janganlah tidak berjawatan itu menjadi alasan dan penyebab untuk kita malas berkhidmat untuk Islam. Kita bagi setakat apa yang kita mampu. Itulah ertinya aku menganut Islam!





saf pimpinan 2010, bersama golongan awwalin..a.muhamin, a.asyran, a.fizi, dan kakak2 mujahidah, dan sohabat2.. :)
era 2011, berada dalam saf paling hadapan..platform belajar, belajar, dan belajar..ada peningkatan..haha  

the muhibbins.. :)
era 2012, dah jadi alumni. waktu ni jadi fasilitator lah konon. hehe. suka tengok adik2, muka baru, pelapis dakwah. :') 











































Banyak post di laman tekno-daie ini aku tulis hasil daripada pengalaman, pemerhatian dan setiap kejadiaan yang aku lalui. Suasana dan orang sekitar adalah subjek yang mempengaruhi penulisanku. Tulisan ku bukanlah ilmiah, memungkinkan tiada input dan ilmu yang dapat diambil di sini, yang banyak hanyalah luahan dan pendapat.  Apa yang aku rasa, aku tulis ikut persepsi dan dan pandangan akal aku.

Sekadar melakar. :')











Tempias Barakah Auliya'ullah


Perancangan asal selepas pulang dari bekwoh abe min, aku nak terus balik ke Terengganu. Tetapi, alang-alang dah berada di kelantan, sahabat2 ku ajak untuk bermusafir di sini selama beberapa hari. Niat utama untuk menziarahi beberapa orang tuan guru dan makam ulama' tersohor di sini, moga ada barokah dan nur tempias pada hati yg kelam ini.

Kami bermalam di Besut pada malam selepas walimah abe min dan kak ina. Sohabatku sungguh terkesan dengan tarbiah muhibbin kepada dirinya. Aku yang tak berapa muhibbin ni banyak belajar dan memerhati tempias tarbiah itu. Destinasi pertama kami ke Gunung, Bachok Kelantan.

Di sana, kami berkesempatan untuk bertemu dengan Pok Su Mid Gunung. Ulama’ yang cukup tersohor bukan sahaja di negeri Serambi Mekah ini, tetapi di daerah Kedah di sana nama beliau cukup ramai kenali, khususnya kepada yang mengikuti pengajian dengan Baba Zul As-Syatiri Pondok Sungai Dedap Yan. Pada daurah kitab di kelantan tahun lepas, aku sempat mengikuti pengajian kitab Muniatul Musolli syarahan Pok Su Mid. Kata anak muridnya, rakaman mp3 kuliahnya tidak dibenarkan, kalau rakam juga, mp3 itu boleh rosak atau kosong tanpa bunyi. Itu antara tegahan dan larangan, secara adabnya kena ikut dan mungkin ada sebab tertentu.

Tiba kami di sana dalam waktu zohor dan berkesempatan solat bersama Pok Su Mid. Alhamdulillah, hajat kedatangan kami dari jauh untuk menerima taujihat dan nasihat secara khususi kesampaian. Banyak mutiara ilmu daripada beliau menyiram hati yang tandus dan gersang ini.

Nasihat beliau, sifat nasihat kalau tak terguris dan tak buat kita terasa itu bukan nasihat yang berkesan. Jadi, telanlah nasihat walaupun ianya pahit. Ke mana sahaja kita pergi, kita kena bawa iman kita. Bila iman kukuh, datanglah apa sahaja ujian, kita tak akan jatuh. Allah nak uji kita ini, banyak cara, antaranya dengan datangnya nikmat. Itu juga ujian yang ramai orang tak upaya hadapi. Kita kena ingat, berada di dunia ini hanya sekejap, yang lebih kekal adalah akhirat. Jadi gunakan dunia dengan baik untuk dapat akhirat. Itu antara tausyiah yang dapat aku ingat.



Usai daripada menziarahi Pok Su Mid, kami berangkat ke Kubang Kerian. Di sana, kami mencari tempat dimakamkan seorang ulama’ kelantan yang cukup terkenal bukan sahaja di tanah Melayu malah di seluruh alam Melayu, iaitu Tok Kenali. Kami sampai di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali dalam jam 4 petang. Sosok tubuh ulama’ hebat ini banyak karamahnya. Kebiasaanya dalam mana-mana aku mengikuti pengajian kitab turath (kitab melayu lama), banyak syarahan kitab daripada tuan guru mengaitkannya dengan Tok Kenali. Diceritakan kehidupannya bukan sahaja seorang alim ulama’ yang tinggi melangit ilmunya, malah juga seorang ulama’ pejuang Islam, ulama haraki. Di zamannya, beliau antara yang tergolong dalam kalangan anti-penjajah.

Banyak karamah yang masyhur disebut tuan guru sekarang mengenai waliyullah ini. Dah nama pun wali Allah (jagaan Allah), Allah menjaganya hingga alam juga turut menjaganya. Mulutnya masin, firasatnya benar. Antaranya, belia pernah bercakap mengenai tentera jepun, golongan mata sepet akan menjajah tanah melayu. Firasatnya benar, beberapa tahun selepas itu jepun datang menjajah. Dan, banyak lagi karamah ada padanya kerana kemuliaan dan ketinggiannya di hadapan Allah.



Selepas menziarahi makam dengan membaca beberapa potong ayat al-quran sebagai adab berziarah, kami menumpang doa dengan kemuliaan dan barakah Tok Kenali. Amalan ini bukan sesuatu yang janggal, ianya sesuatu yang syar’ie dan berdalil atas nama tawassul.

Kami menuju ke sebuah kampung yang agak jauh dari perkuburan Islam Tok Kenali. Di sana, kami menziarahi seorang ulama’ yang masthur (tak dikenali), yang masih hidup selama 125 tahun. Beliau adalah seorang anak murid kepada tuan guru Syeikh Said (kalau tak silap namanya) seorang yang tergolong dalam kalangan auliya’ullah juga di kelantan zaman silam dahulu. Mulutnya tak pernah putus daripada subhanallah, astaghfirullah dan beberapa zikir. Walau usia sudah lewat, tetapi batang tubuhnya tetap gagah, boleh berdiri dan berjalan dengan sendiri tanpa bantuan tongkat. Amalannya, solat berjemaah tidak pernah langsung ditinggal. Sehinggakan ketika kami sampai (lebih kurang waktu maghrib), beliau tengah bersiap untuk solat berjemaah, dan tempat tidurnya di balai soh yang jemaah gunakan untuk solat. Allah, ulama’ yang istiqamah dalam kebaikan, dipanjangkan umurnya. Hidup cukup barokah. Kami juga berkesempatan berdoa dan menumpang limpahan karamah dan keberkatan Tuan Guru beliau di makamnya yang berada bersebelahan dengan balai soh, sebuah bilik kecil yang hanya menempatkan makam beliau, dan nampak masih baru.

Permusafiran kami diteruskan pada keesokkan harinya. Kami menuju ke Kuala Terengganu pada tengahari. Tempat yang bakal kami ziarahi adalah makam Tok Ku Pulau Manis & Tok Ku Paloh, dua nama auliya’ullah yang tak asing lagi di bumi Terengganu ini. Kami menuju ke Kampung Pulau Manis, Serada Terengganu. Sepanjang perjalanan dan tibanya kami di makam beliau, hujan lebat membasahi bumi. Makam beliau yang juga dikenali sebagai Syeikh Abdul Malek berada dalam sebuah tempat yang agak besar beserta makam keturunannya yang mulia.



Aku berasa pelik ketika memerhati dari jauh makam tersebut. Terdapat lebih kurang 8 orang sedang berkumpul bersebelahan makam seperti sedang berusrah. Rupanya mereka berada di situ kerana mengikuti pengajian kitab daripada tuan guru di sana. Jemaah pengajian kitab ini datang daripada Kedah dan sedang bermusafir ke seluruh malaysia. Aku dan sahabat-sahabat lain sempat mengikuti syarahan kitab waktu itu. Kitab yang ditalaqqi itu adalah kitab Hikam, karangan Ibnu ‘Atoillah As-Sakandari, sebuah kitab yang cukup mahsyur dan hebat, bukan semua orang mampu mensyarahkan isi kitab ini. Tuan Guru yang sedang mensyarahkan kitab tersebut bukan dari kalangan biasa. Setiap baris dihuraikannya cukup mendalam, ibarat terbentang di depan mata lautan ilmu yang luas sedang dibaca.

Seingat aku, syarahannya banyak mengisahkan keseluruhan maksud kitab hikam ini, baru peringkat mukaddimah. Kulit kitab kepunyaan beliau juga lusuh, seumpama kitab kuning itu sudah berpuluh tahun usiannya. Kata beliau, kitab hikam ini terdiri daripada pokok ilmu terpenting islam yang merangkumi usuluddin (ilmu mengenal Allah dengan akal), ilmu syariat/feqah, ilmu tasauf (ilmu mengubat hati) dan ilmu makrifat (ilmu mengenal Allah dengan hati). Hasil gabungan ilmu-ilmu ini maka terbitlah kitab hikam ini. Hikam yang disyarahkannya adalah hikam jawi, kitab yang telah dialih ke bahasa melayu oleh tuan pengarang Syeikh Abdul Malek. Kerana itulah, jemaah pengajian kitab ini bertalaqqi di makam tuan syeikh kerana ingin mengambil barokah yang mengalir daripada tempat dan kitab yang dipelajari itu.

Tambah beliau lagi, kitab hikam ini dikarang oleh waliyullah, bahasa-bahasa hikam (hikmah) yang terkandung di dalam kitab ini adalah terjemahan bahasa yang mudah difahami manusia, ia datang daripada hati tuan pengarang. Ilham daripada Allah untuk mengajarkan hambanya hikam itulah yang dipancarkan kepada hati tuan pengarang kitab, maksudnya, ia bukan ayat atau matan kitab yang biasa penuntut turath pelajari. Kerana hakikat itulah, tidak semua para guru boleh mensyarah maksud sebenar hikam ini. Kata seorang murid daripada jemaah tersebut usai daripada tamat pengajian, “ana dah lama mencari guru yang boleh mensyarah dengan baik hikam ini, alhamdulillah ana bertemu dengan dia, sudah beberapa tahun ana ikut bermusafir dan bertalaqqi bersama”. Alhamdulillah, Allah pertemukan kami dengan kalangan solihin.

Sebelum jemaah tersebut berangkat pulang daripada makam Tok Ku Pulau Manis, sempat tuan guru mereka berpesan kepada kami untuk berdoa dan bertawassul di makam ini. “kita bukan minta doa kepada tuan syeikh (Tok Ku), tetapi kita minta kepada Allah dengan menjadikan beliau yang daripada auliya’ullah sebagai recommendation. Barakah mengalir melimpah-limpah daripada makam tersebut, alang2 sampai di sini pohonlah doa dan kutip barokahnya.” Kami sempat menitipkan beberapa doa dan permohonan kepada Allah dengan barokah dan kemuliaan wali Allah di bumi Pulau Manis ini.



Kami berangkat ke Kampung Paloh. Di sana, terdapat makam seorang wali besar di Terengganu, Tokku Paloh. Karomah dan kemuliaannya menjadikan namanya terus disebut-sebut hingga kini oleh penduduk sekitar. Makam beliau ditempatkan di tempat paling tinggi daripada kubur penduduk di situ. Pintu masuk ke makam tersebut dikunci bagi menggelakkan berlaku amalan pemujaan dan perbuatan khianat orang yang menziarahi tempat tersebut. Kunci dibuka oleh tuan penjaga makam yang juga salah seorang daripada silsilah keturunan Tok Ku Paloh. Peluang untuk menziarahi makam tersebut kami gunakan untuk berdoa. Keadaan makam tersebut masih elok dan berbau harum. Sungguh, Allah muliakan jasad wali-Nya semasa hidup ataupun sesudah meninggal.



Permusafiran dan ziarah kami berakhir pada waktu maghrib. Cadangnya ingin bertemu Tuan Besar, yang juga cucu kepada Tok Ko Paloh, tetapi keadaan sudah lewat dan tidak mengizinkan. Sahabat-sahabat lain terpaksa bergegas pulang ke Besut untuk rehat dan persiapan balik ke Perlis keesokannya. Permusafiran aku kali ini, moga dikira amal kebaikan di sisi Allah. Aku belajar banyak dengan sahabat-sahabatku manhaj muhibbin dan sufi haraki bagi ahli gerakkan ini. Perjuangan para muharrik pada zaman alam Melayu dahulu lebih hebat dan gah. Hubungan mereka sangat akrab dengan Allah, kerana itulah Islam dan hukumnya bertapak hebat di Tanah Melayu. Moga kaki ditetapkan di atas jalan ini dengan dipandu oleh para masyaikh dan tuan guru serta alim ulama’ yang ikhlas berjuang, aku juga ingin menerima tempias mereka. Barakallah!


p/s - terima kasih azrul izzat (ketua wali), syameer, syafiq saad, dan hasbi siddiqui, hamdi rezab dan (tak lupa kpd) faris ikhwan  ^^










Al-Fahmu : Fikrah Utama

Al-Fadhil Ustaz Yussainie, Murabbi yang banyak membentuk dan mendidik jiwa. Berkati hidupnya ya Allah :)



Al-Fahmu membentuk Daie Istiqamah

Perjuangan perlu pada faham. Secara logiknya,nak memperjuangkan sesuatu perkara tu mesti kena reti dan arif tentang apa yang nak diperjuangkan. Kefahaman adalah asbab kepada bertahannya perjuangan. Istiqamah sesuatu perjuangan bukan bergantung kepada hammasah (semangat) sahaja, kerana semangat boleh luntur bilamana bebanan berat datang kepada kita. Tetapi, bila hebat kefahaman, mari lah apa sahaja perkara, kita boleh atasi dengan baik. Kerana itulah, kefahaman melahirkan jiwa yang kental.

Fikrah perlu diisi, perancangan perlu munazzamah

Berjuang jangan kosong.isi ia dengan kefahaman yang jitu. Praktikkan dan perjuangkan apa yang difahami dengan rasional, panduan feqh harakah nabi. Jangan kerana emosional berada di puncak, rasional terus dibakulsampahkan.Bila diri bermatlamat, hidup tak akan di isi dengan masa kosong. Sebetulnya, mereka yang ingin melaksanakan perancangan yang banyak akan punyai jiwa yang besar untuk melaksanakan. Jiwa yang konsisten dengan perancangan itulah yang terbaik.

Coretan Ringkas,
4-6 Mei 2012
mood : Belajar lagi






Murabbi Baitul Qurra' wal Fuqaha'


Keberadaan kami selama seminggu di Baitul Qurra' wal Fuqaha' disambut baik tuan mudir, Ustaz Zulkifli bin Ismail. Merasai suasana tarbiah pondok dan menerima curahan tausyiah dan taujihat Ustaz Zul menghidupkan hati yang gersang.


Pesan Ustaz, wajib bagi pemuda Islam untuk menjadi mata rantai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Pastikan nama kita berada dalam senarai rantaian perjuangan tersebut yang bersambung dengan para salafusoleh, tabiin, para sahabat dan kepada baginda Rasulullah. 



Kemenangan Islam pasti akan datang, walau bukan zaman kita, mungkin zaman akan datang, apa yang penting istiqamahlah dalam rantaian perjuangan ini.



3 manhaj utama yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w wajib menjadi ikutan pemuda yang berada dalam rantai perjuangan. 

1- manhaj tholibul ilm (menuntut ilmu)
2- manhaj muhibbin (kecintaan Nabi, habaib, & solihin)
3- manhaj mujahidin (perjuangan Islam)

Tuntutlah ilmu ketika usia muda, ia adalah sunnah Nabi. Dahulu para sohabat (ahlu suffin) mengaji dengan Nabi tentang wahyu Allah, & hadis Nabi di dalam masjid (pondok), keluaran daripada mereka ini dihantar menjadi pendakwah pada umat, contohnya peristiwa bir al-maunah.

Dokonglah para asatizah dan ulama' yang memperjuangkan Islam. Bantu mereka untuk menegakkan Islam. Sesungguhnya, itulah jalan betul.


- Pengalaman Berasaskan Sekolah Fasa 3 (SK Sg Udang & SK Tangga Batu)
- 19 -23 Mac 2012
- Pondok Baitul Qurra' wal Fuqaha' Sungai Udang, Melaka






Tanyalah Ustaz :)








Post fb di atas adalah berkaitan dengan satu artikel mengenai Ijtihad Politik An-Nahdah dan PAS yang aku baca beberapa jam lepas. Bagi aku, ini satu artikel yang menarik apabila penulis menghighlightkan pendekatan politik parti Islam An-Nahdah yang memenangi pilihanraya di Turnisia baru-baru ini. 

Isi kandungan artikel banyak menyentuh bagaimana parti Islam di Turnisia itu boleh memenangi pilihanraya dan seterusnya membentuk kerajaan setelah kejatuhan zalim Ben Ali. Kaedah dan taktik pancing undi yang seolah-olah menampakkan 'kelonggaran' prinsip Parti Islam itu dibolehkan apabila melihat kepada feqh aulawiyat, iaitu membentuk kerajaan dahulu (diutamakan) seterusnya barulah pelaksanaan syariah dilakukan.

Tetapi itu first view aku terhadap artikel ni. Apa yang nak dihighligtkan untuk post aku kali ini, tidak semua pandangan yang 'dirasakan betul' itu perlu untuk kita tangkap muat dan terimanya 100%. Masih ada kelompangan yang 'tersembunyi' sebenarnya dalam ijtihad dan penilaian kita terhadap sesuatu pembacaan kita. Walaupun crtical / anylitical thinking kita buat, kalau perkara itu hakikatnya salah, ia tetap salah. Di sinilah pentingnya bertanya/merujuk kepada ahlinya (master).

Jadi, surf dan acces apa2 maklumat pun dalam internet ini, walau perkara itu kita rasakan betul, perlu dan penting untuk kita bertanyakan ahlinya (ustaz jika merujuk persoalan agama). Bimbang kalau ia mengakibatkan fahaman/persepsi yang bercanggah dengan maksud sebenar perkara tersebut. Kalau dalam post fb di atas ni, mungkin persepsi itu aku kira ianya betul dan menepati ijtihad feqh aulawiyat dan boleh disesuaikan (satu hari nanti) di Malaysia. Tetapi realiti sebenarnya, ia menyalahi konsep feqh tersebut, ditambah pula tidak menepati waqiiyyah sebenar apabila menilai dua gerakan islam ini yang banyak ciri perbezaanya.

'Ala kulli hal, point penting dan utamanya kat sini, as a reminder untuk kita jangan mudah buat penilaian sendiri dan terus berpegang pada penilaian tersebut sebagai yang benar. merujuk dan bertanya pada orang lebih arif itu adalah penting. So, jangan berguru dengan internet 100%, carilah guru anda, dan tanyalah ustaz. :)

p/s - ilmu bersanad (melalui guru) itu sangatlah penting. :-)









Di Ufuk Langit Utara

Terima kasih buat model tak berbayar, Mohd Syauqi Abu Hassan
Gambar pada jam 7.05 petang (golden time) di area Cenderawasih. Subhanallah!


Cuti penggal bermula
3 bulan pertama yang banyak mengajar aku
Benar kata mereka, pengalaman mematangkan
Setiap hari kita melalui silibus pelajaran yang telah ditetapkan dari sana

3 bulan pertama memerlukan refleksi sebenar-benar refleksi
kerana itulah elemen check and balance penting dalam kelangsungan dakwah
tasawur awal muhasabahku, masih banyak perlu dibaiki
gerakerja yang lompang, tidak didasari tarbiah yang munazzamah mungkin?

Dalam perjuangan, tiada istilah berehat (stop)
Tetapi istilah 'berehat' (pause) itu ada dalam manhaj perjuangan kita
Jangan nafikan fitrah manusia, kita perlukan 'rehat' dalam perjuangan
maka manfaatkan ia teman! aku mengerti maksud kepenatan itu. :-)




p/s - terima kasih ya Allah atas nikmat dapat 'berada' dan nikmat dapat 'melihat' perjalanan terang sinar 'ufuk langit utara' itu. 







Al-Kahfi





Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. [al-kahfi : 13]



Ibrah yang sangat hebat. Kisah 7 orang pemuda yang beriman pada Tuhan mereka. Moga istiqamah sahabat-sahabat..









Game Changer 2012


Tahun 2012 dibuka dengan tarbiah mendahului langkah ke depan. Perancangan yang dilaksana berjalan seperti yang disusun. Aku suka melihat gerakan ini terkehadapan dalam membawa isu tarbiah kerana ia menjana nadi gerakan. Tetapi perlu tersusun untuk pastikan ianya menyeluruh. Jangan terlalu fokus pada mereka yang belum bermula hingga mengabaikan mereka yang sudah tersedia di barisan hadapan. Aku mengharapkan untuk turut menerima cebisan api kemaraan itu.

Kita perlu memandang ke belakang untuk terus bijak melangkah ke hadapan. Oleh kerana itulah refleksi dan muhasabah sangat penting. Ketika menoleh ke sana, jiwa sempit memikirkan kesan daripada sabab dan musabab sendiri. Benarlah, pandai bertindak perlu juga pandai menanggung kesan tindakan. Aduh, rasanya tidak berkudrat seperti mereka yang hebat membawa jenama islah pada waqi'iyyah masing-masing. Jauh lagi perjalan untuk ditempuh hinggalah sampai ke sana, sebuah matlamat sebenar.

Dua ribu Dua Belas : Tahun untuk Bijak dalam Kerja Bermatlamat

Aku sangat terkesan pada kata-kata Saidina Ali k.w.j, " Kebatilan yang berstrategi akan dapat mengalahkan kebenaran tanpa strategi ". Qaul ini mengharapkan pada mereka yang bergelumang dengan kerja kebaikan untuk bijak dalam melangkah. Maksud bijak di sini bukanlah bererti kuat dan banyak usaha semata-mata, tetapi bijak bererti berusaha walau sedikit tetapi berkesan. Nah, inilah yang sangat membingungkan pemikiran. Berada pada posisi mereka yang berfikir sangat sukar kerana ia memerlukan kebijaksanaan ini. Ia perlu untuk mengelakkan kerja sia-sia dan tidak bertepatan matlamat.




InsyaAllah moga pengalaman lepas mampu mencorak sesuatu yang baru pada jalan di hadapan. Aku ini lemah, tetapi bukan bodoh untuk menggunakan erti kelemahan itu bagi menghalang gerakan di jalan ini. Ia umpama duri yang menghalang pejalan kaki untuk mara ke hadapan. Pesan seseorang, kamu diuji sesuai dengan kemampuan kamu. Maka jangan mengalah sebelum bekerja.


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya... [al baqarah : 286]



Dua ribu dua belas, I'll try my best. =)







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular