Showing posts with label Tazkiratun Nafs. Show all posts
Showing posts with label Tazkiratun Nafs. Show all posts


Akhir Ramadhan 1433 - Allah itu Maha Dekat!


Semalam, lebih kurang jam 8.35 pm di Masjid Rusila, Blacberry aku basah kuyup 'tersimbah' air ketika berwudhuk. Kondisi memang kritikal, bila ON je, dia mati, dah nyala skit then kelip-kelip pastu mati balik. Banyak kali try tapi keadaan masih lagi sama je. Sah, memang dah rosak.

Aku buat taktahu dan terus solat isyak serta terawih. Memang niat asal ke masjid Rusila ni nak i'tikaf kat masjid bila diajak oleh Abay Cik semalam lepas. Tengah-tengah iktikaf tu, sempat lagi check balik keadaan blackberry yang basah penuh dengan air tadi. Cubaan untuk hidupkan balik kali ke-10 pun masih gagal . Frust jugak, sebab nak call Abay Cik tak dapat (lepas cari tak jumpa). Last-last sekali, aku duk sorang-sorang sampai pagi.

Balik rumah lepas subuh memang dah decide nak hantar ke kedai pagi ni. Tiba-tiba aku try ON sekali je terus hidup macam xde pape. Ish, mudah pulak pagi ni dia hidup balik.

Bila renung-renung balik, Allah memang dah plan insiden tu terjadi kat aku, suruh aku fikir. Dia sengaja OFFLINEkan hubungan aku dengan makhluk lain sekejap untuk bagi masa FOKUS kat Dia. Dah seharian bergelumang dengan manusia, takkan 'curi' masa untuk ONLINE dengan Dia sekejap cuma pun tak boleh. Dia dah banyak permudahkan jalan..bagi kesempatan..bagi peluang..bagi masa, kesihatan, kaki untuk melangkah ke masjid dan lain2 nikmat tapi aku tetap tak nampak dan tak bersyukur. 

Rupanya, Dia nak bagi peluang kat aku supaya lebih tekun bila berhadapan dengan-Nya pada hari-hari akhir ramadhan ini. "Bila beribadah kat Aku, jangan pikir makhluk, jangan pikir dunia, fokus kat Aku!" Tapi, rupanya aku sombong pada 'lambaian' dan panggilan kasih sayang Allah itu.

langit ramadhan subuh terakhir - keesokkan harinya ;')

#Hakikatnya, begitulah sifat manusia, dah dapat nikmat dan Allah dah buka jalan, kita tak pandang dan buat tak tahu je. Sedangkan, Allah sentiasa sambut kita, tapi kita sombong.
#Rebutlah peluang di akhir ramadhan ini, jangan sia-siakan ramadhan yang berbaki. Masih ada kesempatan untuk dapat pengampunan dan redha Allah..berusahalah. Allah itu sangat dekat!


- Masjid Rusila, Marang Terengganu 
- 28 Ramadhan 1433 h





Hati Ramadhan


photog sempena ramadhan al-mubarak daripada gpc. terima kasih model yang terlibat -tuan guru azrul, syafiq dan fahim. bertaraf auliya' Allah semua ni. :')


Agak lama tak melakar penulisan di laman ini. Last entri adalah bulan jun yang lepas. Kali ini aku menulis di dalam bulan ramadhan. Sudah hari ke-4 umat Islam berpuasa, minggu pertama yang merupakan fasa rahmat dan berkat bagi semua manusia, tak kira muslim atau non muslim, semua menerima tempiasnya. Moga tempias itu turut bersama dalam penulisan ini.

“Suhbah.” Satu term baru yang aku pelajari dan dengari kebelakangan ini. Kelas bahasa arab tadi, sempat aku bertanya ustaz najib untuk maksudnya yang terperinci. Kata ustaz, maksud suhbah ni boleh didefinisikan dari dua sudut pandangan. Satunya, dari pandangan harakah islamiyyah dan duanya dari sudut tasawuf.

Dari sudut harakah, skopnya lebih bermaksud ahli gerakan berdampingan(suhbah) dengan naqibnya. Maknanya, praktikal suhbah ini banyak berlaku dalam liqa’ dan usrah. Di sana, mereka boleh mendapatkan input thaqafah,fikrah dan ilmu dan ianya tak lebih daripada itu. Manakala dari sudut tasawuf, ia lebih luas dan terperinci. Secara situasinya, kita sebagai hamba yang hina ingin melakukan penyucian dalaman perlu bersuhbah dengan guru yang murshid kamil. Suhbah di sini, bukan setakat duduk bersama, tetapi sesuai maksudnya dengan ‘khidmat’ sebagai khadam kepada guru. Semestinya yang paling penting, guru itu mesti murshid, yang boleh ubat hati kita(kerana tak semua guru berstatus murshid). Sejarah hidup imam syafie, beliau menjadikan imam malik sebagai murshidnya, hampir semua percakapan dan perbuatan imam malik dipelajarinya secara terus, dan imam syafie juga dibetulkan jiwanya dengan teguran dan ajaran yang langsung sepanjang mejadi khadam ilmu pada gurunya. Ini menunjukkan suhbah yang betul dan berkesan.

Thoriq Ulama’ dan para Solihin

Orang yang nak melakukan penyucian jiwa, bagi aku mustahil kalau dia boleh melakukannya berseorangan. Maksudnya, keberkesanan untuk sampai tahap itu agak sukar dan mustahil. Boleh lah kita cakap, aku solat, tahajjud, taubat, zikir dan seumpamanya tetapi kita tak tahu yang kelompangan masih banyak di situ. Boleh jadi, kita baca buku tasawuf untuk ubat hati, namun hakikatnya kita hanya nampak hakikat ilmu itu pada peringkat surface sahaja, tidak diketahui dalamnya ilmu dan cara praktikalnya. Akibatnya, ramai mentafsir ikut pemahaman diri sendiri.

Kerana itulah, bersuhbah dengan ulama’ atau solihin yang murshid itu perlu ke atas kita. tidak cukup bertalaqqi kerana ianya masih terbatas dari segi makna suhbah itu. Kalau boleh, kita bersuhbah dengan mereka hingga segala amal mereka kita teliti dan usaha untuk contohi. Bila semata-mata baca buku untuk berubat jiwa,kita tak akan nampak kejelikkan dan kelemahan kita, tetapi adanya para solihin dan ulama’ yang memimpin kita itu, mereka boleh ‘detect’ penyakit jiwa kita dan ubat secara langsung. Jadi, selalulah berdamping dengan para ulama’ dan solihin, hati kita ini akan dituang nur dan hakikat iman untuk menjadi lebih baik di sisi Allah. Itu yang kita inginkan dalam menghayati maksud sebenar seorang ‘hamba’.

‘ala kulli hal, jalan untuk hampir pada Allah itu banyak, sebanyak hembusan nafas. Pilihlah jalan yang berkesan, jalan yang manhajnya betul. Pada ramadhan yang penuh berkat ini, aku berpesan pada semua dan diri sendiri, ayuh kita laluinya dengan penuh keimanan dan mengharap pada Allah..taabud kita hanya semata-mata kepada-Nya..kebergantungan kita hanya pada Dia yang satu..berpuasalah dengan zahir dan batin..jaga mulut,mata dan telinga daripada melakukan perkara yang mengurankan pahala puasa..insyaAllah kita inginkan kebaikkan dan pengampunan daripada Tuan empunya ramadhan ini…amiin.

Salam ramadhan..salam mujahadah..salam pembersihan diri.









Tempias Barakah Auliya'ullah


Perancangan asal selepas pulang dari bekwoh abe min, aku nak terus balik ke Terengganu. Tetapi, alang-alang dah berada di kelantan, sahabat2 ku ajak untuk bermusafir di sini selama beberapa hari. Niat utama untuk menziarahi beberapa orang tuan guru dan makam ulama' tersohor di sini, moga ada barokah dan nur tempias pada hati yg kelam ini.

Kami bermalam di Besut pada malam selepas walimah abe min dan kak ina. Sohabatku sungguh terkesan dengan tarbiah muhibbin kepada dirinya. Aku yang tak berapa muhibbin ni banyak belajar dan memerhati tempias tarbiah itu. Destinasi pertama kami ke Gunung, Bachok Kelantan.

Di sana, kami berkesempatan untuk bertemu dengan Pok Su Mid Gunung. Ulama’ yang cukup tersohor bukan sahaja di negeri Serambi Mekah ini, tetapi di daerah Kedah di sana nama beliau cukup ramai kenali, khususnya kepada yang mengikuti pengajian dengan Baba Zul As-Syatiri Pondok Sungai Dedap Yan. Pada daurah kitab di kelantan tahun lepas, aku sempat mengikuti pengajian kitab Muniatul Musolli syarahan Pok Su Mid. Kata anak muridnya, rakaman mp3 kuliahnya tidak dibenarkan, kalau rakam juga, mp3 itu boleh rosak atau kosong tanpa bunyi. Itu antara tegahan dan larangan, secara adabnya kena ikut dan mungkin ada sebab tertentu.

Tiba kami di sana dalam waktu zohor dan berkesempatan solat bersama Pok Su Mid. Alhamdulillah, hajat kedatangan kami dari jauh untuk menerima taujihat dan nasihat secara khususi kesampaian. Banyak mutiara ilmu daripada beliau menyiram hati yang tandus dan gersang ini.

Nasihat beliau, sifat nasihat kalau tak terguris dan tak buat kita terasa itu bukan nasihat yang berkesan. Jadi, telanlah nasihat walaupun ianya pahit. Ke mana sahaja kita pergi, kita kena bawa iman kita. Bila iman kukuh, datanglah apa sahaja ujian, kita tak akan jatuh. Allah nak uji kita ini, banyak cara, antaranya dengan datangnya nikmat. Itu juga ujian yang ramai orang tak upaya hadapi. Kita kena ingat, berada di dunia ini hanya sekejap, yang lebih kekal adalah akhirat. Jadi gunakan dunia dengan baik untuk dapat akhirat. Itu antara tausyiah yang dapat aku ingat.



Usai daripada menziarahi Pok Su Mid, kami berangkat ke Kubang Kerian. Di sana, kami mencari tempat dimakamkan seorang ulama’ kelantan yang cukup terkenal bukan sahaja di tanah Melayu malah di seluruh alam Melayu, iaitu Tok Kenali. Kami sampai di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali dalam jam 4 petang. Sosok tubuh ulama’ hebat ini banyak karamahnya. Kebiasaanya dalam mana-mana aku mengikuti pengajian kitab turath (kitab melayu lama), banyak syarahan kitab daripada tuan guru mengaitkannya dengan Tok Kenali. Diceritakan kehidupannya bukan sahaja seorang alim ulama’ yang tinggi melangit ilmunya, malah juga seorang ulama’ pejuang Islam, ulama haraki. Di zamannya, beliau antara yang tergolong dalam kalangan anti-penjajah.

Banyak karamah yang masyhur disebut tuan guru sekarang mengenai waliyullah ini. Dah nama pun wali Allah (jagaan Allah), Allah menjaganya hingga alam juga turut menjaganya. Mulutnya masin, firasatnya benar. Antaranya, belia pernah bercakap mengenai tentera jepun, golongan mata sepet akan menjajah tanah melayu. Firasatnya benar, beberapa tahun selepas itu jepun datang menjajah. Dan, banyak lagi karamah ada padanya kerana kemuliaan dan ketinggiannya di hadapan Allah.



Selepas menziarahi makam dengan membaca beberapa potong ayat al-quran sebagai adab berziarah, kami menumpang doa dengan kemuliaan dan barakah Tok Kenali. Amalan ini bukan sesuatu yang janggal, ianya sesuatu yang syar’ie dan berdalil atas nama tawassul.

Kami menuju ke sebuah kampung yang agak jauh dari perkuburan Islam Tok Kenali. Di sana, kami menziarahi seorang ulama’ yang masthur (tak dikenali), yang masih hidup selama 125 tahun. Beliau adalah seorang anak murid kepada tuan guru Syeikh Said (kalau tak silap namanya) seorang yang tergolong dalam kalangan auliya’ullah juga di kelantan zaman silam dahulu. Mulutnya tak pernah putus daripada subhanallah, astaghfirullah dan beberapa zikir. Walau usia sudah lewat, tetapi batang tubuhnya tetap gagah, boleh berdiri dan berjalan dengan sendiri tanpa bantuan tongkat. Amalannya, solat berjemaah tidak pernah langsung ditinggal. Sehinggakan ketika kami sampai (lebih kurang waktu maghrib), beliau tengah bersiap untuk solat berjemaah, dan tempat tidurnya di balai soh yang jemaah gunakan untuk solat. Allah, ulama’ yang istiqamah dalam kebaikan, dipanjangkan umurnya. Hidup cukup barokah. Kami juga berkesempatan berdoa dan menumpang limpahan karamah dan keberkatan Tuan Guru beliau di makamnya yang berada bersebelahan dengan balai soh, sebuah bilik kecil yang hanya menempatkan makam beliau, dan nampak masih baru.

Permusafiran kami diteruskan pada keesokkan harinya. Kami menuju ke Kuala Terengganu pada tengahari. Tempat yang bakal kami ziarahi adalah makam Tok Ku Pulau Manis & Tok Ku Paloh, dua nama auliya’ullah yang tak asing lagi di bumi Terengganu ini. Kami menuju ke Kampung Pulau Manis, Serada Terengganu. Sepanjang perjalanan dan tibanya kami di makam beliau, hujan lebat membasahi bumi. Makam beliau yang juga dikenali sebagai Syeikh Abdul Malek berada dalam sebuah tempat yang agak besar beserta makam keturunannya yang mulia.



Aku berasa pelik ketika memerhati dari jauh makam tersebut. Terdapat lebih kurang 8 orang sedang berkumpul bersebelahan makam seperti sedang berusrah. Rupanya mereka berada di situ kerana mengikuti pengajian kitab daripada tuan guru di sana. Jemaah pengajian kitab ini datang daripada Kedah dan sedang bermusafir ke seluruh malaysia. Aku dan sahabat-sahabat lain sempat mengikuti syarahan kitab waktu itu. Kitab yang ditalaqqi itu adalah kitab Hikam, karangan Ibnu ‘Atoillah As-Sakandari, sebuah kitab yang cukup mahsyur dan hebat, bukan semua orang mampu mensyarahkan isi kitab ini. Tuan Guru yang sedang mensyarahkan kitab tersebut bukan dari kalangan biasa. Setiap baris dihuraikannya cukup mendalam, ibarat terbentang di depan mata lautan ilmu yang luas sedang dibaca.

Seingat aku, syarahannya banyak mengisahkan keseluruhan maksud kitab hikam ini, baru peringkat mukaddimah. Kulit kitab kepunyaan beliau juga lusuh, seumpama kitab kuning itu sudah berpuluh tahun usiannya. Kata beliau, kitab hikam ini terdiri daripada pokok ilmu terpenting islam yang merangkumi usuluddin (ilmu mengenal Allah dengan akal), ilmu syariat/feqah, ilmu tasauf (ilmu mengubat hati) dan ilmu makrifat (ilmu mengenal Allah dengan hati). Hasil gabungan ilmu-ilmu ini maka terbitlah kitab hikam ini. Hikam yang disyarahkannya adalah hikam jawi, kitab yang telah dialih ke bahasa melayu oleh tuan pengarang Syeikh Abdul Malek. Kerana itulah, jemaah pengajian kitab ini bertalaqqi di makam tuan syeikh kerana ingin mengambil barokah yang mengalir daripada tempat dan kitab yang dipelajari itu.

Tambah beliau lagi, kitab hikam ini dikarang oleh waliyullah, bahasa-bahasa hikam (hikmah) yang terkandung di dalam kitab ini adalah terjemahan bahasa yang mudah difahami manusia, ia datang daripada hati tuan pengarang. Ilham daripada Allah untuk mengajarkan hambanya hikam itulah yang dipancarkan kepada hati tuan pengarang kitab, maksudnya, ia bukan ayat atau matan kitab yang biasa penuntut turath pelajari. Kerana hakikat itulah, tidak semua para guru boleh mensyarah maksud sebenar hikam ini. Kata seorang murid daripada jemaah tersebut usai daripada tamat pengajian, “ana dah lama mencari guru yang boleh mensyarah dengan baik hikam ini, alhamdulillah ana bertemu dengan dia, sudah beberapa tahun ana ikut bermusafir dan bertalaqqi bersama”. Alhamdulillah, Allah pertemukan kami dengan kalangan solihin.

Sebelum jemaah tersebut berangkat pulang daripada makam Tok Ku Pulau Manis, sempat tuan guru mereka berpesan kepada kami untuk berdoa dan bertawassul di makam ini. “kita bukan minta doa kepada tuan syeikh (Tok Ku), tetapi kita minta kepada Allah dengan menjadikan beliau yang daripada auliya’ullah sebagai recommendation. Barakah mengalir melimpah-limpah daripada makam tersebut, alang2 sampai di sini pohonlah doa dan kutip barokahnya.” Kami sempat menitipkan beberapa doa dan permohonan kepada Allah dengan barokah dan kemuliaan wali Allah di bumi Pulau Manis ini.



Kami berangkat ke Kampung Paloh. Di sana, terdapat makam seorang wali besar di Terengganu, Tokku Paloh. Karomah dan kemuliaannya menjadikan namanya terus disebut-sebut hingga kini oleh penduduk sekitar. Makam beliau ditempatkan di tempat paling tinggi daripada kubur penduduk di situ. Pintu masuk ke makam tersebut dikunci bagi menggelakkan berlaku amalan pemujaan dan perbuatan khianat orang yang menziarahi tempat tersebut. Kunci dibuka oleh tuan penjaga makam yang juga salah seorang daripada silsilah keturunan Tok Ku Paloh. Peluang untuk menziarahi makam tersebut kami gunakan untuk berdoa. Keadaan makam tersebut masih elok dan berbau harum. Sungguh, Allah muliakan jasad wali-Nya semasa hidup ataupun sesudah meninggal.



Permusafiran dan ziarah kami berakhir pada waktu maghrib. Cadangnya ingin bertemu Tuan Besar, yang juga cucu kepada Tok Ko Paloh, tetapi keadaan sudah lewat dan tidak mengizinkan. Sahabat-sahabat lain terpaksa bergegas pulang ke Besut untuk rehat dan persiapan balik ke Perlis keesokannya. Permusafiran aku kali ini, moga dikira amal kebaikan di sisi Allah. Aku belajar banyak dengan sahabat-sahabatku manhaj muhibbin dan sufi haraki bagi ahli gerakkan ini. Perjuangan para muharrik pada zaman alam Melayu dahulu lebih hebat dan gah. Hubungan mereka sangat akrab dengan Allah, kerana itulah Islam dan hukumnya bertapak hebat di Tanah Melayu. Moga kaki ditetapkan di atas jalan ini dengan dipandu oleh para masyaikh dan tuan guru serta alim ulama’ yang ikhlas berjuang, aku juga ingin menerima tempias mereka. Barakallah!


p/s - terima kasih azrul izzat (ketua wali), syameer, syafiq saad, dan hasbi siddiqui, hamdi rezab dan (tak lupa kpd) faris ikhwan  ^^










Ruh




"Ramai orang ingin mengubah DUNIA, tapi tidak ramai yang berfikir untuk mengubah DIRI"


1.0 Belajar & terus belajar. jatuh itu biasa. utk hampir pada Tuhan, perlu jatuh berkali-kali. bila berada di puncak, jangan merendahkan mereka di bawah. hakikatnya, kita semua pernah berada di bawah. 

2.0 IKHLAS utk membentuk diri, sohabat dan juga mad'u. kita umat terbaik, tidak semua umat 'dipilih' untuk memikir perihal orang lain. itu taklifan dakwah.

3.0 Ubah diri ke arah lebih baik. perbaiki ruh dalaman. jadikan kebergantungan pada Allah perkara utama dalam ruh dalaman. pasti jiwa akan kaya.


Mood : Membangunkan jiwa
10-24 Mei 2012






Mengajilah!



Antara pengisian kuliah kitab Muniyatul Musolli karangan Syeikh Daud Fathoni tadi, Ustaz Azhar Idrus ( Original ) banyak kali menegaskan "lagho(lalai) macam mana pun, minat buat apa sekalipun (suka bela burung sampai burung lebih sayang daripada bini), rajinlah belajar agama. Kalau mat rempit yang istiqamah rajin belajar agama, tapi tetap salah bacaannya dalam fatihah, dimaafkan syarak (dengan syarat dah banyak kali ajar tapi tetap tak dapat sebut dengan baik).

jadi, rajinlah belajar agama. kita ni masih banyak tak tahu tentang Islam. :)

- kuliah muniyatul musolli, masjid chendering, 12 Mac 2012. 




Game Changer 2012


Tahun 2012 dibuka dengan tarbiah mendahului langkah ke depan. Perancangan yang dilaksana berjalan seperti yang disusun. Aku suka melihat gerakan ini terkehadapan dalam membawa isu tarbiah kerana ia menjana nadi gerakan. Tetapi perlu tersusun untuk pastikan ianya menyeluruh. Jangan terlalu fokus pada mereka yang belum bermula hingga mengabaikan mereka yang sudah tersedia di barisan hadapan. Aku mengharapkan untuk turut menerima cebisan api kemaraan itu.

Kita perlu memandang ke belakang untuk terus bijak melangkah ke hadapan. Oleh kerana itulah refleksi dan muhasabah sangat penting. Ketika menoleh ke sana, jiwa sempit memikirkan kesan daripada sabab dan musabab sendiri. Benarlah, pandai bertindak perlu juga pandai menanggung kesan tindakan. Aduh, rasanya tidak berkudrat seperti mereka yang hebat membawa jenama islah pada waqi'iyyah masing-masing. Jauh lagi perjalan untuk ditempuh hinggalah sampai ke sana, sebuah matlamat sebenar.

Dua ribu Dua Belas : Tahun untuk Bijak dalam Kerja Bermatlamat

Aku sangat terkesan pada kata-kata Saidina Ali k.w.j, " Kebatilan yang berstrategi akan dapat mengalahkan kebenaran tanpa strategi ". Qaul ini mengharapkan pada mereka yang bergelumang dengan kerja kebaikan untuk bijak dalam melangkah. Maksud bijak di sini bukanlah bererti kuat dan banyak usaha semata-mata, tetapi bijak bererti berusaha walau sedikit tetapi berkesan. Nah, inilah yang sangat membingungkan pemikiran. Berada pada posisi mereka yang berfikir sangat sukar kerana ia memerlukan kebijaksanaan ini. Ia perlu untuk mengelakkan kerja sia-sia dan tidak bertepatan matlamat.




InsyaAllah moga pengalaman lepas mampu mencorak sesuatu yang baru pada jalan di hadapan. Aku ini lemah, tetapi bukan bodoh untuk menggunakan erti kelemahan itu bagi menghalang gerakan di jalan ini. Ia umpama duri yang menghalang pejalan kaki untuk mara ke hadapan. Pesan seseorang, kamu diuji sesuai dengan kemampuan kamu. Maka jangan mengalah sebelum bekerja.


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya... [al baqarah : 286]



Dua ribu dua belas, I'll try my best. =)









Daurah Turath 2011



"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]


Alhamdulillah, biiznillah (dengan izin Allah) diberi peluang untuk khatam sebuah kitab sepanjang cuti ini. Kitab berjudul Sullamul Mubtadi karangan ulama' besar Fathani, (Syeikh Daud Al-Fathani) ini ditalaqqi secara 'kilat' sepanjang 9 hari, selama 8 jam sehari. Namun, untuk faham dan hadam segala isinya mustahil dalam masa singkat ini, iyalah para khadam ilmu terdahulu pun mengambil masa paling kurang setahun atau lebih untuk betul-betul memahami segala matan kitab sekali syarah tuan guru yang panjang lagi. 'Ala kulli hal, kitab Sullamul Mubtadi ini berjaya dikhatamkan, dapatlah juga gambaran kasar ilmu feqh yang masyaAllah tabarakallah sangat banyak. Betullah kata orang, lagi banyak belajar dan tahu ilmu, lagi terasa bodoh dan jahil diri ini!


Sesi terakhir iaitu pengijazahan kitab bersanad daripada Syeikh Aziz sampai kepada tuan pengarang

Isi kandungan kitab Sullamul Mubtadi

Antara sebahagian peserta muslimah yang bermujahadah untuk ilmu

Peluang hanya datang sekali seumur hidup. Kalau ia sudah berlalu, ia tidak akan kembali lagi. Ketika ia datang, manfaatkanlah dengan sebaik mungkin kesempatan itu. Begitu juga peluang dan masa untuk menuntut ilmu, khasnya ilmu berbentuk syar'ie. Ilmu ini wajib dicari. Ia tuntutan Allah dan Rasul-Nya dalam usaha untuk menghilangkan kejahilan diri. Sekurang-kurangnya ia perlu dituntut hingga belengu kewajipan fardhu ain terlepas daripada diri kita. 

Kita perlu malu mengaku muslim bila mana terlalu obses mengejar perkara yang sunat hingga perkara wajib 'aini (fardhu ain) ini tidak dihiraukan langsung. Fa'lam. Belajarlah!


Sesi bergambar peserta muslimin DATAB [daurah kitab] bersama guru-guru dan syeikh Pondok Kandis, Bachok Kelantan


- Pondok Moden Kandis, Bachok Kelantan
- 17-25 DIS 2011





AL ISTI'JAL MENDORONG PENYAKIT AL FUTUR



Print
Seorang da'ie, hendaklah sentiasa mengawal dirinya dari bersikap Al  Isti'jal, atau dalam erti kata yang lain melakukan persediaan gerakan Islam ini perlu seperti lebah mentadbir sarangnya, di mana lebah terus berfungsi dan bergerak cergas tanpa sebarang pengabaian walaupun seketika sama ada  siang atau malam. Mereka sama sekali tidak mengabaikan setiap  peluang yang diperolehi. Apabila hasil diperolehi ia diterima dengan penuh ketenangan dan keselesaan. Jangan sama sekali bertindak gopoh ke atas sesuatu yang belum tiba masanya.

Sememangnya usaha memartabatkan Islam sering kali dicemari dengan pelbagai anasir asing yang pada hakikatnya di luar kerangka ajaran Islam itu sendiri. Kita biasa mendengar suara-suara bersemangat dan penuh emosi mencanangkan agar Islam kembali didaulatkan dengan apa cara sekalipun. Semangat berkobar-kobar untuk melihat Islam kembali tertegak dalam masa singkat lantas mendorong tingkah dan perilaku gopoh dan terburu-buru yang akhirnya mengundang fitnah dan kebinasaan. 

Seperti yang disebut oleh Dr. Sayid Mohamad Nuh, isti’jal merupakan salah satu penyakit yang banyak diderita oleh para da’i, sehingga seringkali hal ini meskipun diiringi dengan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi. Gerakan Islam masa kini adalah tidak terkecuali dari menentukan kedudukan strategi menempuhi fenomena isti'jal ini. Marilah kita renungi kata-kata berikut yang penuh dengan cahaya di sepanjang jalan.

"Sesungguhnya medan untuk bercakap berlainan dari medan merancang, dan medan berkerja berbeza dengan medan bercakap, dan medan berjihad pula berbeza dengan medan beramal. Medan berjihad yang betul berbeza dengan medan berjihad yang salah. Agak mudah bagi kebanyakan orang untuk berteori dengan perancangan itu dan ini. Tetapi bukan semua teori yang berada di kepala mampu diukir ungkapannya melalui lisan. Dan sesungguhnya ramai yang mampu bercakap, tetapi agak sedikit dari kalangan mereka yang konsisten diperingkat amal dan tindakan. Dan ramai pula dari bilangan yang sedikit tadi mampu berkerja, tetapi sedikit pula dari kalangan mereka yang mampu menanggung bebanan jihad yang begitu berat, dan kerja-kerja yang begitu mencabar. Mereka inilah mujahid yang sebenar dan mereka terdiri dari bilangan yang kecil dari puak Ansar. Sungguhpun demikian, kadangkalanya mereka tersalah jalan, dan tidak menepati sasaran kiranya mereka tidak diberi pertolongan dari Allah. Dalam kisah Thalut akan menjelaskan lagi apa yang kami katakan".

"Maka bersedialah diri kamu dan dedahkannya dengan tarbiah yang betul dan ujian yang halus. Maka ujilah diri kamu dengan berkerja. Bekerja keras memang tidak menyeronokkan bahkan membebankan. Oleh yang demikian, hendaklah dihapuskan perasaan dan keinginan berehat serta cara hidup selesa. Kamu jangan sama sekali mensia-siakan setiap saat yang dimiliki tanpa berkerja. Maka pada ketika itu kamu akan mendapat pertolongan dan sokongan juga kemenangan dari Allah".

Sikap isti‘jal ditolak oleh agama, apatah lagi jika ia wujud dalam gerakan Islam ia mestilah ditangani sebaiknya. Rasulullah S.A.W pernah diminta oleh Khabbab bin Al Arat agar memohon kemenangan kepada Allah yang segera kepada Islam. Katanya,"Mengapa engkau Ya RasulAllah tidak mendoakan kita? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda,"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dibelah dua badannya dengan gergaji, tetapi hal itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, Dia akan memberikan kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadaral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga pengembala tidak bimbang dengan jagaan kambing-kambingnya terhadap ancaman serigala, tetapi kamu minta disegerakan!" (Riwayat Bukhari).

Pertolongan Allah itu pasti dan dekat, tetapi ia mempunyai masa dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui Allah. Sebab itulah Rasulullah sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya. Ini diperkuatkan dengan firman Allah Taala,"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214)

Al Isti'jal mempunyai rupa bentuk dan wajah yang bermacam-macam di antaranya:
1]. Mereka yang dilibatkan dengan jamaah dakwah sebelum sampai ke tahap wajar dan sebelum dikenal pasti tentang keilmuan, kemampuan dan persediaan mereka.
2]. Memertabatkan setengah-setengah pendakwah ke tahap yang tinggi sebelum mereka matang dan stabil keperibadiannya.
3]. Melakukan tindak tanduk liar walaupun kecil yang tidak berfedah dan merosakkan dakwah.

Sifat tergesa-gesa ini adalah sebahagian dari watak manusia, seperti yang dinyatakan Allah Taala :

“Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa” (Al Isra':11).

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa” (Al Anbiya':37)

Oleh karena itu, isti’jal itu adalah suatu tabiat yang pasti ada pada seorang manusia. Begitupun, ada kalanya sifat ini dibolehkan apabila persiapannya telah matang dan telah menguasai medan serta mempertimbangkan masak-masak akibat-akibat yang akan terjadi, sebagaimana kisah nabi Musa A.S.

"Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaum-mu wahai Musa. Berkata Musa; Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu ya Rabb-ku supaya Engkau redha (padaku)" - (Toha:83-84)

Sebaliknya, jika ia hanya bermodalkan emosional, semangat dan dorongan jiwa yang tidak berteraskan hati yang ikhlas mengharap redha Allah, maka di sinilah isti’jal merupakan sebuah ‘penyakit’.

Memerhatikan tahapan masa merupakan sunnatullah atau proses tabi'ie yang Allah wujudkan sebagai salah satu cara untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan manusia. Sebab itulah sesuatu perkara tidak akan disegerakan sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Sememangnya tanaman apabila dituai sebelum masak dan buah dipetik sebelum tiba waktunya, tidak akan menghasilkan manfaat yang diharapkan malah kadangkala mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat.

Begitu juga dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai dengan hanya bermodalkan semangat semata-mata. Ia juga bukan sekadar melayani gelodak emosi tanpa memperhitungkan natijah dan akibatnya. Sebaliknya penggarapan terhadap usaha pemartabatan Islam atau amal Islami harus dilakukan secara dewasa, matang dan penuh perhitungan.

Apa yang perlu diingati bahawa Al Isti'jal, tidak sepatutnya dibawa masuk sama sekali ke dalam manhaj gerakan Islam semasa. Petikan As Syahid Imam Hassan Al Banna ini seterusnya merupakan sebahagian dari manhaj gerakan Islam memperakui kenyataan di atas. Beliau memberikan peringatan khusus kepada golongan yang diistilahkan sebagai ‘al mutahammisun al muta‘jiluw (orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh), di mana beliau tidak akan bersama dengan mereka yang mahu memetik buah sebelum benar-benar masak, aau menuai sebelum masuk musimnya;

"Wahai saudara-saudara kaum Muslim yang begitu bersemangat dan begitu tergesa-gesa. Dengarlah dari saya ucapan yang terulung dari mimbar muktamar kamu ini di mana jalan yang kamu terokai ini telah digariskan plan tindakannya serta agenda-agenda yang ditetapkan sempadannya. Saya sama sekali tidak akan melanggari sempadan ini, di mana saya begitu yakin bahawa ia merupakan jalan yang begitu selamat untuk sampai ke matlamat yang dituju".

Sememangnya jalan yang sedang dilalui ini agak jauh, tetapi disana tidak ada pilihan lain. Sesungguhnya ketrampilan seorang lelaki itu ialah melalui kesabaran, kesungguhan dan amal yang berterusan. Sesiapa sahaja dari kalangan kamu yang ingin memetik buah sebelum ia masak atau memetik bunga sebelumnya ianya mekar, maka saya sama Sekali tidak akan bersama dengannya. Orang yang bersikap demikian adalah lebih baik untuknya meninggalkan gerakan dakwah ini dengan menyertai gerakan dakwah yang lain. Bagi siapa yang terus bersabar bersama saya sehinggalah bertunas biji yang disemai dan tumbuh pokok yang ditanam, juga masak buah yang sedang memutik hingga sesuai untuk dituai, maka ganjarannya terpulanglah kepada Allah. Kita sama sekali tidak akan kehilangan ganjaran sebagai orang-orang yang berbuat baik. sama ada kita menang dan memperolehi kedaulatan atau kita syahid dan memperolehi kebahagian.

Saudaraku kaum Muslimin, kawallah dorongan perasaan dengan pertimbangan akal. Pastikan segala perancangan menepati hakikat dan realiti, dan hendaklah kamu mencari kebenaran di dalam khayalan (teori) yang melangit dan janganlah pula kamu terlalu cenderung kepada apa yang kamu ingini sehingga kamu mengabaikan (keputusan) yang lain tergantung-gantung. Kamu jangan sekali-kali bertembung dengan tabiat alam kerana ia tetap akan menang (melakukan perintah Allah secara istimrar).

Saudara kaum Muslimin, sesungguhnya kamu berusaha di jalan Allah dan mencari pahala serta inginkan keredhan-Nya. Kesemuanya itu adalah terjamin ke atas kamu selagi mana kamu ikhlas di dalam perlakuan dan tindakan. Allah sama sekali tidak membebankan tentang natijah atau hasil yang kamu capai. Tetapi apa yang dibebankan ialah kebenaran arah yang dituju (amal yang kita lakukan) dengan persiapan yang baik dan kemas. Selepas kita memenuhi semua tuntutan diatas, maka tindakan yang kita lakukan mungkin silap atau mungkin benar. Kiranya kita tersilap maka kita akan diberi ganjaran pahala sebagai amilin yang berjuang. Seandainya kita benar maka kita akan memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagai amilin yang berjaya dan menepati fungsinya".

Kata Imam Hassan Al Banna lagi,"Kamu hendaklah berkerja. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Allah sama sekali  tidak akan mengabaikan amalan kamu. Kejayaan hanya akan dicapai oleh mereka yang berkerja. Dan Allah sama sekali tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah begitu amat pengasih dan penyayang kepada sekalian manusia". - Editor Tarbawi


7 April 1991 - 7 April 2011

 



Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya layak untuk-Nya. Setinggi manapun pujian dilaungkan, semua akan kembali pada-Nya.

Syukur, saat dan ketika ini, aku masih lagi diberi kehidupan oleh Allah s.w.t. Hari ini, aku juga diberi kesempatan untuk meneruskan qada’ (ketentuan) tuhan di luh mahfuz iaitu meniti kehidupan di usia 20. [ Dah masuk 20an, tahun depan dah boleh mengundi! :) ] 

Tergolong dalam warga 20an, bermakna umur aku masih panjang. Tetapi, perlu diingat, hakikat nikmat usia ini adalah pinjaman daripada-Nya semata-mata . Sifat barang pinjaman ini ialah pemiliknya boleh mengambilnya pada bila-bila masa! Usia 20an ini juga kalau mengikut pendapat para ulama adalah termasuk dalam kalangan pemuda. Jadi, usia ini mula memasuki fasa baru.

Aku, hamba yang faqir, lemah, banyak kekurangan, dan dhoif di hadapan Tuhan. Perlu wujud sifat berasa malu pada Dia kerana dalam 19 tahun melakukan dosa, dengan sifat pemurah dan penyayang Dia, aku masih lagi diberi nikmat hidup. Bukan sikit, tapi banyak dan tak terhitung nikmat-Nya!

Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 16:18

Bagaimana dengan usia 19 tahun yang lepas? Perlu wujud juga perasaan takut sekiranya usia lepas itu tidak diberkati Tuhan. Amal ibadat, kebaikan, semuanya hancur tiada nilai di sisi-Nya. Ibarat debu yang berterbangan. 

“Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” 25:23 

Inilah yang menjadi ketakutan bagi sesetengah ulama’ iaitu berdiri di hadapan Allah di akhirat kelak membawa kerugian dan muflis yang cukup besar. Jadi, refleksi dan muhasabah terhadap umur yang lepas sangat penting.

19 tahun yang lepas telah berlalu aku berharap mendapat keberkatan dari Tuhan. Usia itu moga diberkati dan diterima sebagai amal kebaikannya. Dosa dan kesalahan tidak mematuhi suruhan-Nya aku memohon dengan dua tapak tangan yang hina ini agar diampunkan. Engkau Maha Pengampun ya Allah..

Bagi sahabat-sahabat yang pernah berada bersamaku, berkawan dan mengenali diri ini sepanjang 19 tahun, maafkanlah kesalahan yang pernah aku lakukan. Zahir dan batin. Banyak sekali kesalahan dengan sahabat-sahabat aku lakukan, banyak apa yang aku perkatakan, peribadi dan diri aku tidak mencerminkan perkataan itu. Jadi, aku berharap moga kalian membuka hati masing-masing untuk memaafkannya. 

sanah helwah hai anak adam!
Terima kasih ya Allah..terima kasih semua.. :-)

"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (HR Tirmidzi).

terima kasih classmates! :)



Dakwah : Antara Profesion dan Ukhwah

Akademik dalam berdakwah

"Usah gelar diri kau pejuang jika kerja kuliah pun bertangguh-tangguh!"
"Betul akhi, kamu ingin berdakwah, tetapi perlu dijaga dan dititikberatkan juga kerja akademik kamu itu. Kalau tidak seimbang, pasti orang mengutuk dan mengeji kamu. Dan, lebih buruk lagi apabila dakwah kamu itu membawa fitnah kepada Islam."

Agak menyentap fikiran apabila ayat sebegini singgah di kepala.Panas, geram, meluat semua ada cuma tunggu untuk diluahkan sahaja. Namun, mengubah sudut pandang kepada pemikiran positif perlu ketika ini.

Sudah, betul juga apa yang diperkatakan. Jika dilihat, orang yang gagal dalam akademik, gagal dalam pengurusan waktu, mana mungkin akan membawa dakwah itu dengan baik. Betul, akademik itu bukan no 1, tapi inilah yang menjadi penilaian bagi sesetengah pihak dalam melihat sejauh mana apa yang dipertuturkan dalam dakwah kamu itu.

Jadi, jangan pandang ringan perkara berkaitan akademik dan pengurusannya. Patuhilah etika dan kehendak kerja. Itukan termasuk adab dalam tarbiah yang kamu perkatakan. Ayuh, pertingkatkan profesion kamu :-)

Dakwah memerlukan T.E.M.A.N


Hidup dalam berorganisasi memerlukan kekuatan ahli pasukan. Mustahil sesebuah organisasi yang baik mempunyai ahli yang lemah. Melihat dari sudut logik, ahli yang kuat pasti akan dapat menggerakkan organisasi dengan hebat.

ukhwah yang hebat memudahkan perjuangan!
Ukhwah dalam dakwah merupakan elemen penting. Jika hari ini seorang kawan itu jatuh dalam gerak kerja dakwahnya, maka seorang kawan yang lain pasti akan bangkit dalam membantunya. Ini jika ukhwah yang dibina mantap. Dan, inilah juga kemanisan dalam dakwah bila ukhwah antara ahlinya mantap.

Tetapi, perlu diingat, ahli yang hidup dalam sesebuah organisasi itu juga seperti manusia biasa. Masih normal, bukannya bertaraf para Nabi dan Rasul. Jadi, masalah ukhwah itu merupakan perkara biasa jika melibatkan ahli.

Teman yang meniti di atas jalan dakwah tidak boleh mematikan langkah temannya yang lain. Hari demi hari meniti di bibir teman perkara negatif terhadap rakannya, nescaya akan mati jiwa rakan tersebut. Bukannya perlu menikam pisau di dada untuk menunggu matinya kawan itu. Cukup sekadar kata-kata.

Jadi, peliharalah ukhwah dengan baik sahabat-sahabat. Koreksi dan nilai balik perkataan seharian kita, adakah membina semangat berdakwah atau terus mematikan dakwahnya. Cukuplah merasa diri hebat kerana program dakwah yang dirancang. Hakikatnya keberhasilan itu bukan kerana kita. Dan juga sia-sia jika program yang dibangunkan hebat tetapi dalam pada masa yang sama ukhwah antara sahabat-sahabat penggerak program mati kerana maksiat hati antara satu sama lain. Jom, islah dan perbaiki diri.. :-)

.: Al-Kahfi :.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular