Dakwah : Antara Profesion dan Ukhwah

Akademik dalam berdakwah

"Usah gelar diri kau pejuang jika kerja kuliah pun bertangguh-tangguh!"
"Betul akhi, kamu ingin berdakwah, tetapi perlu dijaga dan dititikberatkan juga kerja akademik kamu itu. Kalau tidak seimbang, pasti orang mengutuk dan mengeji kamu. Dan, lebih buruk lagi apabila dakwah kamu itu membawa fitnah kepada Islam."

Agak menyentap fikiran apabila ayat sebegini singgah di kepala.Panas, geram, meluat semua ada cuma tunggu untuk diluahkan sahaja. Namun, mengubah sudut pandang kepada pemikiran positif perlu ketika ini.

Sudah, betul juga apa yang diperkatakan. Jika dilihat, orang yang gagal dalam akademik, gagal dalam pengurusan waktu, mana mungkin akan membawa dakwah itu dengan baik. Betul, akademik itu bukan no 1, tapi inilah yang menjadi penilaian bagi sesetengah pihak dalam melihat sejauh mana apa yang dipertuturkan dalam dakwah kamu itu.

Jadi, jangan pandang ringan perkara berkaitan akademik dan pengurusannya. Patuhilah etika dan kehendak kerja. Itukan termasuk adab dalam tarbiah yang kamu perkatakan. Ayuh, pertingkatkan profesion kamu :-)

Dakwah memerlukan T.E.M.A.N


Hidup dalam berorganisasi memerlukan kekuatan ahli pasukan. Mustahil sesebuah organisasi yang baik mempunyai ahli yang lemah. Melihat dari sudut logik, ahli yang kuat pasti akan dapat menggerakkan organisasi dengan hebat.

ukhwah yang hebat memudahkan perjuangan!
Ukhwah dalam dakwah merupakan elemen penting. Jika hari ini seorang kawan itu jatuh dalam gerak kerja dakwahnya, maka seorang kawan yang lain pasti akan bangkit dalam membantunya. Ini jika ukhwah yang dibina mantap. Dan, inilah juga kemanisan dalam dakwah bila ukhwah antara ahlinya mantap.

Tetapi, perlu diingat, ahli yang hidup dalam sesebuah organisasi itu juga seperti manusia biasa. Masih normal, bukannya bertaraf para Nabi dan Rasul. Jadi, masalah ukhwah itu merupakan perkara biasa jika melibatkan ahli.

Teman yang meniti di atas jalan dakwah tidak boleh mematikan langkah temannya yang lain. Hari demi hari meniti di bibir teman perkara negatif terhadap rakannya, nescaya akan mati jiwa rakan tersebut. Bukannya perlu menikam pisau di dada untuk menunggu matinya kawan itu. Cukup sekadar kata-kata.

Jadi, peliharalah ukhwah dengan baik sahabat-sahabat. Koreksi dan nilai balik perkataan seharian kita, adakah membina semangat berdakwah atau terus mematikan dakwahnya. Cukuplah merasa diri hebat kerana program dakwah yang dirancang. Hakikatnya keberhasilan itu bukan kerana kita. Dan juga sia-sia jika program yang dibangunkan hebat tetapi dalam pada masa yang sama ukhwah antara sahabat-sahabat penggerak program mati kerana maksiat hati antara satu sama lain. Jom, islah dan perbaiki diri.. :-)

.: Al-Kahfi :.




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular