Saya buat entri ini setelah sekian lama memerhati, mendapat luahan rasa orang lain, meneliti dan sebagainya.Perhatikan dialog-dialog ini.
"Wah GILERR bagus engko ni. Tiap-tiap malam stadi!!"
"HAHAHAHA!!!.. Bapak ah, kelakar giilerrr!!"
"Siot tul ar kau!!"
"Oii Besar.. Banyak betul ko makan!"
"Oii, sedarlah skit yang muka kau tu hitam/gelap macam *******!!"
"Kau ni dahla kurus kering, bengap pulak tu."
"Hish geramnya aku.. Bodoh betul laa mamat nie!!"
"Bengong ar.. Buat sakit hati aku je."
"Apasal ko ni bongok sangat? Adoii la.."
Pernahkah anda mendengar kata-kata seperti di atas? Bayangkan, apakah perasaan orang yang dihamburkan kata-kata sebegitu rupa? Jika orang tu boleh menerima kutukan tidak beradab ini, maka kira okey lagi, mungkin dia menganggap itu adalah 'so called' gurauan. Tapi hati-hati. Adakah anda expect orang yang tersenyum/diam/layan itu sedang redha? Apakah semua orang di atas muka bumi ini boleh berlapang dada? Sedangkan itik ayam lembu kerbau pun boleh bergaduh, inikan pula manusia. Haiwan dan binatang akan terus bergaduh bila tidak puas hati, tetapi manusia tidak semuanya begitu. Manusia kadang-kadang lebih suka memendam.
Sekiranya orang yang memuntahkan perkataan ini adalah orang jahil, maka saya tidak hairan. Tetapi jikalau dia adalah seorang pendakwah atau seorang yang berjuang untuk Islam, saya tidak sedap hati. Ada sesuatu yang tidak kena. Di manakah akhlak percakapan seorang da'ie yang katanya berjuang?
Merosakkan dakwah
Kepada da'ie dan pejuang, jagalah tutur kata percakapanmu. Sesungguhnya kamu dikelilingi mad'u dan masyarakat yang memerhati. Sekiranya baik tutur katamu, maka baik jualah penerimaan mereka terhadap maudhu' dakwahmu. Sekiranya buruk tutur katamu, adakah kamu expect mereka akan mengikutimu, mencontohimu dan memandangmu dengan pandangan tinggi yang layak diberikan kepada daie? Sekali-kali tidak, bahkan mereka akan menjauhimu. Lebih teruk lagi, mereka akan menirumu utk bertutur buruk sepertimu. Jika begitu, dakwahmu sudah jauh menyeleweng! Kamu bukan menyeru manusia ke arah kesempurnaan akhlak, tetapi meracuni mereka dengan kebinasaan akhlak!
Merosakkan ukhuwah.
Ketawa mengilai, menjerit-jerit, bercakap dengan nada sangat tinggi, sumpah seranah, caci mencaci, maki hamun, mengumpat, senda mempersenda, memanggil orang dengan nama yang dibenci, perli memerli, ejek mengejek, bergurau tidak bertempat dan sebagainya. Tidakkah kamu bimbang kalau-kalau ada orang yang terasa, benci, terkedu, pendam di hati dan sebagainya? Astaghfirullah. Istighfarlah wahai pendakwah sekalian...
Jangan baca entri ini kalau anda tak baca ayat Al Quran di bawah. Perhatikan maksud ayat ini.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
-Al-Hujuraat ayat 11-
Apa guna kamu hafal ayat ini sekiranya kamu mengingkari intipatinya?
0 comments:
Post a Comment