Ustaz dan Ustazah
Pilihan : Baiki diri, Betulkan Orang Lain
Alhamdulillah, seinfinti kesyukuran dipanjatkan kepada
Allah taala yang Maha Pemurah serta Maha Penyayang kerana limpahan rahmat dan
kasih sayang-Nya, kita diizinkan untuk menghirup nikmat iman dan Islam untuk
kesekian kali pada tika dan saat ini.
Selawat serta salam dipanjatkan ke atas junjungan
besar Sayyidina Muhammad s.a.w, Rasul utusan terakhir bagi ummah akhir zaman
ini serta penghulu kepada sekalian anbiya’ kerana di atas usaha, penat lelah,
curahan keringat, dan titisan darah Baginda yang mengalir dek pengorbanan dan perjuangan
membawa risalah dan obor Islam, akhirnya ia sampai kepada kita pada hari ini.
Sahabat-sahabat murabbi sekalian,
Allah s.w.t menukilkan menerusi kalam-Nya di dalam
surah ‘Ali Imran, ayat 110: Kamu adalah umat yang terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang
munkar, dan beriman kepada Allah.
Ayat ini menceritakan pengiktirafan
ummah terbaik yang yang diberikan Allah taala kepada ummah yang pernah wujud
semenjak wujudnya alam ini. Walaupun terdapat sestengah tafsiran ulama’
mengatakan ayat ini ditujukan khas kepada para sahabat Rasulullah s.a.w, namun
di sana terdapat juga tafsiran yang menjelaskan pengiktirafan terbaik ini
merujuk kepada sekalian ummah Muhammad.
Gelaran ummah terbaik itu hanya akan
dicapai jika tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar dilaksanakan. Inilah
syarat yang ditetapkan menerusi ayat tersebut. Dan, inilah yang menjadi
perbezaan peranan kita berbanding ummah Nabi dan Rasul terdahulu. Mengimbau
kembali sirah bagaimana Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya
Nabi Harun sebagai pembantu dakwah Baginda,
Harun dilantik sebagai Nabi terlebih dahulu barulah tugasan dakwah itu
boleh dijalankan. Tetapi realiti kita pada hari ini, tidak perlu berjawatan Nabi
dan Rasul, menjadi manusia biasa sudah layak untuk menjalankan dakwah. Inilah
keistimewaan kita sebagai ‘ummah dakwah’!
Ustaz dan ustazah : Pilihan Allah
dalam Dakwah
Apabila kita berasa ragu-ragu dengan diri untuk menjadi
ustaz atau ustazah, pantaslah kita bertanya pada diri mengapa Allah pandukan
kita sebagai seorang pendakwah? Kadang-kadang kita berasa tidak mampu untuk
memikulnya, kemungkinan ini berikutan dengan zaman silam yang kita lalui di
sekolah menengah kita adalah seorang yang nakal, yang suka bersosial, yang suka
bercakap kasar dan kotor, berpakaian mendedahkan aurat, bergaul bebas dan
ikhtilat yang pelbagai rupa.
Namun, sebenarnya terdapat sesuatu pada dalaman diri
kita yang Dia mahu kita serlahkan sebagai seorang pendakwah dan berterusan
memperhebatkan kekuatan diri dalam berdakwah. Pada zaman kini, mad'u yang kita
hadapi adalah pelbagai perangai dan ragam. Fikirkan perkara ini sahaja tatkala kita
terasa goyah dengan mehnah sebagai seorang daie, insyaAllah semangat jihad itu
akan membara kembali. Jadi, bersyukurlah atas pilihan Allah ini kita menjadi
daie yang tergolong dalam golongan tempat rujukan dan penyelamat masyarakat.
Persediaan : Ilmu Pendakwah Bukan hanya pada Pedagogi
Mengikuti ijazah pendidikan, kita akan didedahkan
dengan pelbagai pengajaran yang berkaitan ilmu pedagogi. Hampir keseluruhan
kursus, ilmu inilah yang kita pelajari berbanding ilmu Islam itu sendiri. Justeru,
di sana terdapat suara yang mengatakan belajar di IPG tidak melayakkan sesorang
itu bergelar ustaz atau ustazah berbanding dengan ustaz dan ustazah lepasan
Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan yang sempat bertalaqqi dengan ulama-ulama
hebat dan mengutip banyak ilmu Islam ditambah bersanad dengan Rasulullah!
Sebenarnya, berada di tempat mana sekali pun, ia
bergangtung kepada kehendak kita dalam mencari Ilmu. Walaupun sepanjang kursus di
IPG kita mengikuti pengajaran Pedagogi, di luar kita perlulah bijak dalam menambah
koleksi Ilmu Islam dengan mencari kuliah-kuliah ilmu, mengikuti pengajian
kitab di pondok, mencari guru atau murshid yang dapat membimbing
kita, mengikuti usrah dan halaqah ilmu dan bermacam-macam lagi
sumber Ilmu. Tambahan lagi, realiti berada di Perlis terdapat banyak kelebihan
bagi pencari ilmu kerana negeri yang kecil menjadikan tempat-tempat kuliah ilmu
ini rapat-rapat dan dekat untuk dihadiri. Walaupun pengorbanan mencari ilmu sukar,
inilah yang dinamakan mujahadah untuk mendapat title ustaz dan ustazah
yang sebenar bukan hanya bergantung pada ilmu pedagogi semata-mata!
IPG Kampus Perlis : Medan Latihan Kader Dakwah
Suasana IPG yang dipenuhi pelbagai ragam dan watak
guru pelatih memberi gambaran kepada kita medan masyarakat sebenar. Di sana,
terdapat sahabat dan kawan kita yang gah dengan budaya couple, ikhtilat
lelaki dan perempuan yang keterlaluan, meninggalkan solat dan puasa, tidak
menutup aurat, jahil agama dan pelbagai masalah kronik lain. Inilah realiti
sebenar. Justeru, tugasan dakwah menuntut kita berdepan dengan mad’u
sedemikian.
Namun, menyeru kepada kebaikan itu sangat payah! Ya,
ia payah jika dilakukan berseorangan. Kita memerlukan kekuatan.Kekuatan itu
datang dengan kesatuan.
Di sinilah ayat Allah menjadi panduan kita, iaitu ayat
yang menyeru kepada berjihad/berdakwah secara kolektif (as-saf:4). Jika kita
bersatu, mudah untuk menyebarkan fahaman Islam dalam kalangan warga IPG.
Kaedahnya, qudwah kita perlu ditonjolkan dahulu iaitu dengan cara terdekat
melazimi solat secara berjemaah di Surau. Ketahuilah, jika semua saf dipenuhi
golongan kita, Surau Nurul Iman itu akan berjaya dimakmurkan. Dan, kesannya
pasti ada di kalangan guru pelatih lain terikut dengan dakwah bil hal (contoh
teladan) yang kita tonjolkan.
Seterusnya, melalui kekuatan contoh peribadi ustaz dan
ustazah ini ia akan memudahkan gerak kerja dakwah dalam IPG ini. Mad’u lebih
mudah menerima dakwah dengan thiqah yang dilihatnya. Dakwahlah mengikut
kemampuan dan kelebihan masing-masing. Ajaklah mereka pada Islam. Matlamatnya
biah solehah iaitu menjadikan Islam tersebar di seluruh penjuru IPG, insyaAllah.
Inilah medan latihan kita sebelum berdepan masyarakat sebenar.
Penutup
Segala kalam yang tercoret di sini menjadi muhasabah
untuk kita bersama, terutamanya diri penulis. Teliti dan perhati kembali betapa
hebatnya kuasa Allah meletakkan kita di posisi ini. Namun, dalam basahnya bibir
memuji takdir Allah ini perlulah untuk kita zahirkan rasa syukur itu dengan
melengkapkan diri kita dengan perlaksanaan praktikalnya, bukan teori
semata-mata.
Langkah terpenting ialah persediaan dari sudut kefahaman.
Carilah ilmu Islam untuk betul-betul melayakan gelaran ustaz atau ustazah pada
diri kita. Bukan hanya ilmu acuan untuk buku teks dan bilik darjah, tetapi ilmu
untuk memandu diri kita dan ilmu untuk mengubah warga IPG yang bermasalah dan
masyarakat yang semakin kronik pada zaman ini!
Seterusnya, dari sudut ukhwah kita mestilah hebat
mendahului kelompok lain. Perbezaan indivdu mestilah diraikan kerana komponen
yang berbeza ini yang akan melengkapkan sebuah jemaah yang syumul. Ayuh jemaah
ustaz dan ustazah, peliharalah hubungan dan ikatan antara kita, jangan
bermusuhan.
Akhir kalam, fahamilah peranan kita untuk
Islam. Usahalah menyumbang untuk Islam supaya kita turut tergolong dalam
kelompok yang berjuang memenangkan Islam untuk Daulah Islamiah khususnya di Malaysia,
dan Khilafah Islamiah secara amnya. Itulah kejayaan yang besar bagi seorang
daie!
Islah nafsak, wadh’u ghairak. =)
- Penulisan lama yang pernah tersiar di blog IMPI suatu ketika memegang jawatan dalam persatuan tersebut dahulu.
- Moga menjadi peringatan bersama, khususnya memahami hala tuju sekarang..
0 comments:
Post a Comment