KALIMAH SYAHADAH
Ajaran Allah atau ajaran Islam itu bermula dari kalimah syahadah. Ertinya dari satu perkataan dan kalimah atau dari satu ayat yang berbunyi: Maksudnya:
“Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Itulah yang dimaksudkan dengan kalimah syahadah. Pintu Islam adalah kalimah syahadah. Siapa yang mengucapkan dua kalimah syahadah, ertinya dia memeluk Islam atau dia masuk Islam. Agama Islam bertolak dari dua kalimah syahadah.
SYAHADAH IBARAT WADAH
Syahadah itu ibarat satu wadah. Ibarat satu bekas atau satu bakul. Dalam wadah itu ada isinya. Sudah tentulah isinya banyak. Tetapi yang terpokok ialah iman, Islam dan ihsan. Rupanya dalam wadah kalimah syahadah itu, isinya yang terpenting dan terpokok ada tiga iaitu iman, Islam dan ihsan. Iman dikatakan juga aqidah. Islam dikatakan juga syariat. Ihsan pula dikatakan juga hakikat atau tasawuf. Malahan banyak lagi istilah-istilah lain yang digunakan di sepanjang zaman bagi memperkatakan tentang iman, Islam dan ihsan. Ini akan diperjelaskan lagi di dalam bahagian-bahagian dan tulisan-tulisan yang seterusnya.
Iman itu pula, ia bukan seketul atau sebiji tetapi ia juga merupakan satu bekas atau wadah yang di dalamnya mengandungi banyak lagi hal-hal yang berkaitan dengan iman yang merupakan pakej iman. Di situ ada keyakinan, pegangan dan sebagainya. Bila dikatakan Islam, itu adalah syariat. Syariat pula tentulah banyak. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah, ada wajib dan ada sunat. Ada ibadah khususiah, ada ibadah umumiah, ada pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dakwah, pentadbiran dan lain-lain lagi. Begitu juga ihsan. Di dalam bekas atau wadah itu ada ilmu hakikat dan ilmu rasa. Yakni penghayatan kita pada Tuhan seperti rasa takut, cinta, redha, tawakal, bergantung harap, rasa hamba dan seterusnya.
SELEPAS AQIDAH – AMALAN SYARIAT (FEKAH) DAN HAKIKAT (TASAWUF) MESTI SERENTAK
Namun dalam hendak mempraktikkan syahadah atau dalam hendak merealisasikan tuntutan-tuntutan syahadah, tidak boleh diambil satu sahaja dari isi wadah syahadah tersebut. Tidak boleh diambil iman sahaja atau Islam sahaja atau ihsan sahaja. Mesti diambil semuanya sekali sebagai satu pakej. Kalau diambil satu sahaja, akan rosak. Ia bukan seperti kita beli barang di pasar. Hendak ikan, beli ikan sahaja. Hendak daging, beli daging sahaja. Hendak sayur, beli sayur sahaja. Ini perkara rohani dan maknawi yang mesti diambil kesemuanya. Setiap satu itu berangkai dan berkait antara satu sama lain. Lanjutan kepada itu, kita harus faham bahawa Dinul Islam itu adalah satu ajaran yang mencakup seluruh ruang hidup manusia lahir batin, dunia dan Akhirat. Mengaji ilmu Islam yang sangat luas ini tidak cukup kalau dibuat setakat beberapa jam sahaja dalam satu minggu sepertimana yang berlaku di sekolah-sekolah sekular sekarang ini.
Sebab itulah hari ini, ramai umat Islam yang tidak tahu betul tentang agama anutannya sendiri. Sekalipun mereka beranggapan mereka lebih tahu dan faham serta berautoriti kerana mereka lulusan dari universiti Islam, namun hakikat sebenarnya, mereka belum mengetahuinya. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, ajaran Islam itu selain daripada ilmu usuluddin atau tauhid (ilmu yang mengkaji tentang ketuhanan) yang menjadi asas kepada ajaran Islam, terdapat juga ilmu syariat dan ilmu hakikat. Disebut juga keduanya sebagai ilmu fekah dan ilmu tasawuf. Kedua-duanya termasuk perkara yang penting yang turut dituntut oleh Al Quran dan Hadis.
1. Ilmu Syariat
Bidang kajian ilmu syariat ialah tentang kehidupan lahiriah manusia. Definisi ilmu syariat itu ialah: Hukum-hakam yang datang daripada Allah, yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW terdiri daripada lima hukum iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus (mubah). Dengan hukum-hakam ini, syariat menentukan seluruh kehidupan ini ada yang mesti dibuat, yakni perkara-perkara yang wajib. Ada yang elok dibuat yakni perkara sunat. Ada pula yang mesti ditinggalkan iaitu perkara haram. Manakala yang makruh elok ditinggalkan. Terdapat juga sebahagian daripada kehidupan ini yang boleh dibuat dan boleh ditinggalkan, yakni perkara-perkara yang dikategorikan sebagai harus (mubah) hukumnya. Dengan kata lain, setiap apa saja bidang yang kita ceburi di seluruh aspek kehidupan seperti dalam sistem pendidikan, ekonomi, pertanian, kebudayaan, teknologi dan lain-lain sistem hidup, tidak akan terlepas dari lima hukum ini.
2. Ilmu Hakikat
Ilmu hakikat itu bidang kajiannya ialah tentang hal rohani atau hati nurani manusia atau mengkaji tentang sifat-sifat nafsu. Sifat-sifat nafsu itu berbagai peringkat yang terdiri daripada nafsu ammarah, awwamah, nafsu mulhamah, nafsu mutmainnah, nafsu radhiah, nafsu mardhiah dan nafsu kamilah. Termasuk juga di dalamnya perihal sifat-sifat gerakan serta dorongan hati. Definisi ilmu hakikat ialah rasa-rasa hati zauk atau syu’ur yang ada di dalam hati atau jiwa manusia yang sifatnya berubahubah dari satu bentuk rasa kepada bentuk rasa yang lain, bergantung kepada bentuk rangsangan-rangsangan lahir yang mendatangi manusia itu. Ada yang mahmudah dan ada yang mazmumah. Di antara rasa-rasa hati yang mahmudah (sifat positif) itu ialah ikhlas, cinta Allah, rasa kehebatan Allah, rasa gerun dengan Neraka, rasa berdosa, malu, rasa diawasi, kasih sayang, simpati,merendah diri, yakin, tawakal dan sebagainya. Sementara rasa-rasa hati yang mazmumah (sifat negatif) itu pula di antaranya riyak, ujub, sombong, pemarah, hasad, dendam, tamak, bakhil, penakut, jahat sangka dan lain-lain lagi.
Rasa-rasa hati yang telah disebutkan di atas sentiasa silih berganti menguasai hati atau roh. Oleh kerana itu, hati sentiasa berbolak-balik. Sebab itulah di dalam kitab, hati berbolak-balik itu dikatakan qalbun. Tidak dinamakan hati itu qalbun melainkan kerana sifatnya yang berbolak-balik. Qalbun itu maksudnya berbolak-balik. Hati juga wajib bersyariat iaitu menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Inilah yang dikatakan syariat batin. Syariat itu adalah perintah yang qat‘ie. Kalau tidak dibuat, boleh jatuh kafir. Hakikat pula adalah perintah aradhi (mendatang). Ia lahir dari perintah qat‘ie. Kalau tidak dibuat, boleh jatuh fasik.
TERTIB DALAM MENGAMAL AJARAN ISLAM
Jelaslah bahawa syariat dan hakikat sama pentingnya. Kita tidak boleh menolak salah satu dan mengambil salah satunya sahaja. Kedua-duanya mesti diamalkan serentak atau berjalan seiring. Oleh itu dalam siri tertib untuk mengamalkan ajaran Islam bolehlah disusun begini:
1. Syariat
2. Tareqat
3. Hakikat
4. Makrifat
Ertinya kita mulakan dengan bersyariat, kemudian bertarekat, seterusnya berhakikat dan akhirnya bermakrifat. Semuanya saling berhubungan. Hubungan antara satu dengan yang lain seolah-olah anak tangga pertama dengan anak tangga yang berikutnya, hinggalah selesai di anak tangga tertinggi sekali. Syariat Maksudnya, mula-mula kita memahami syariat iaitu peraturan-Nya, yakni mengetahui hukum-hakam. Mana yang wajib, mana yang haram, yang sunat, makruh dan mubah. Juga sah dan batal sama ada mengenai sembahyang, puasa, jihad, dakwah, ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi.
Tarekat
Kemudian apabila kita mengamalkannya bersungguh-sungguh dan istiqamah ertinya kita telah menempuh jalan-Nya iaitu yang dikatakan tarekat. Yakni mengamalkan apa yang diperintahkan dan meninggalkan yang dilarang secara serius. Jadi tidaklah salah kalau syariat itu disebut jalan. Cuma ditempuhi jalan itu hanya sekadar mengetahuinya terlebih dahulu. Bila sampai peringkat jalan tadi telah ditempuh atau digunakan, barulah dinamakan tarekat. Hakikat Syariat dan tarekat itu kalau dibuat dengan faham dan dihayati akan berlakulah nanti ahwal (perubahan jiwa) atau perubahan peringkat-peringkat nafsu. Misalnya perubahan rasa kehambaan, rasa cinta kepada Allah, rasa rendah diri kepada Tuhan, rasa tawakal, rasa penyerahan diri, rasa berani, rasa kasih sayang sesama makhluk, rasa redha, rasa sabar, rasa ikhlas kepada Allah dan mahmudah-mahmudah yang lainnya.
Atau kalau hendak dinisbahkan pada peringkat nafsu, prosesnya berlaku daripada nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah, bertahap-tahap sehinggalah ke peringkat kemuncak kebersihan nafsu iaitu nafsu kamilah. Orang yang mendapat ahwal (perubahan jiwa) secara istiqamah (tetap, tidak turun naik), inilah yang dikatakan telah mendapat maqam. Yakni dia mendapat darjat mengikut sifat mahmudah yang diperolehinya. Mana sifat batin yang kuat, itulah maqamnya. Kalau sabar kuat, itulah maqamnya.Maqam itu rasa, bukan ilmunya. Ada maqam sabar, ada maqam redha, maqam taubat, maqam tawakal dan sebagainya.
Biasanya ia berlaku bertahap-tahap. Umpamanya sabar, maqam tawakal, maqam redha sehinggalah kesemua sifat-sifat mahmudah itu diperolehi secara tetap (istiqamah). Boleh jadi ada yang mendapat secara serentak sekali sifat-sifat mahmudah itu. Mendapat kesemua maqam-maqam inilah yang dikatakan mendapat hakikat. Iaitu mendapat intipati Islam (ubbun). Erti lain maksud hakikat itu ialah batin Islam atau intipati Islam (lubbun). Bilamana hal-hal hakikat tadi dapat dialami secara kekal (istiqamah) dan berterusan, bahkan makin menebal dan subur, maka akan terbukalah nanti rahsia-rahsia ghaib atau rahsia Allah. Ini sangat sulit untuk digambarkan kecuali dirasai oleh orang-orang yang mengalami dan merasainya.
Macamlah lautan yang dalam penuh dengan pelbagai misteri. Bukan semua orang dapat mengetahui rahsia di dalamnya kecuali yang ahli tentangnya sahaja. Itu pun perlu dibantu dengan peralatan yang canggih, barulah dapat menyelami hingga ke dasarnya. Sehingga terbongkarlah berbagai rahsia yang tidak pernah diketahui oleh manusia lain selama ini. Kebanyakan orang hanya tahu tentang hal yang di permukaannya sahaja. Makrifat Hasil berhakikat pula kita akan mendapat makrifat. Iaitu sampai ke peringkat hal-hal hakikat dapat dialami secara istiqamah. Allah akan kurniakan satu peringkat kemuncak yang mana dapat mencapai ke satu tahap keyakinan yang tertinggi.
Di waktu ini, seseorang itu telah sampai ke peringkat makrifat, yakni dapat benar-benar mengenal Allah dan rahsia-rahsia-Nya. Gelaran untuk mereka ini ialah al ‘arifbillah. Orang yang mendapat makrifat, apa sahaja yang Tuhan jadikan atau lakukan padanya, dia faham maksud Tuhan. Dia faham dan tahu peranan Tuhan. Kalau dia kaya, dia tahu Tuhan mahu dia membela fakir miskin. Kalau dia berkuasa, dia tahu Tuhan mahu dia membela orang yang lemah dan tertindas. Orang yang mencapai maqam makrifat, macam-macam benda dia boleh dapat. Orang yang tidak faham akan kata dia syirik. Seperti kisah Al Hallaj yang berkata, “Ana ul-Haq.” Tuhan memperkatakan tentang diri-Nya melalui lidah Al Hallaj.
PERBANDINGAN SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT
Bandingannya adalah seperti berikut. Mula-mula kita semai sebiji benih. Kemudian ia tumbuh menjadi sebatang pokok. Pokok itu akhirnya berbuah dan buah itu bila masak ranum akan memberikan kita kesedapan rasanya, yang tidak dapat kita ceritakan pada orang yang tidak memakannya. Maka:
– biji benih itu umpama syariat
– menanam pokok itu umpama tareqat.
– buah itu umpama hakikat.
– rasa buah itu umpama makrifat.
Sebab itu dikatakan syariat menghasilkan tareqat. Tareqat membuahkan hakikat. Hakikat buahnya adalah makrifat. Semuanya saling lengkap-melengkapi, perlu-memerlukan, sandar-menyandar dan mesti jalan seiring. Yang lahir menggambarkan yang batin. Maka kalau dipisah-pisahkan, akan cacat dan rosaklah keislaman seseorang itu.
Imam Malik r.h.m berkata: Maksudnya:
“Barang siapa berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barang siapa bertasawuf (hakikat) tanpa fekah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”
Supaya lebih jelas lagi, eloklah dibuat beberapa contoh seperti berikut:
1. Berfekah tanpa tasawuf
Berfeqah tanpa tasawuf bermakna seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar, menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat.
Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing. Dibiarkan saja riyak, ujub, gila nama, ingin glamor, sombong, tamak, bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya. Inilah dia orang syariat atau orang yang berfekah sahaja. Pada pandangan mata lahir dia seorang yang sangat baik, kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah, orang ini masih berdosa yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan syariat batin yang diperintahkan oleh Allah. Dibiarkan sahaja hatinya dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah.
Seperti juga orang yang sembahyang tetapi tidak takut dengan Tuhan. Kalau ada tasawuf, selepas sembahyang mesti risau, bimbang, takut tidak beradab dengan Tuhan dalam sembahyang. Takut sembahyangnya Tuhan tidak terima. Bila sembahyang atau membuat ibadat-ibadat yang lain, mesti bertambah rasa hamba. Inilah buah tasawuf. Ibadah walaupun tidak timbul riyak dan tidak ujub tetapi kalau tidak rasa takut dengan Tuhan, hakikatnya tertipu. Boleh beribadah tanpa riyak dan ujub baru sekadar selamat. Bila dapat rasa hamba dan rasa bertuhan, itu baru dikatakan darjat. Lihat sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.”
(Riwayat At Tabrani)
Maka orang yang melanggar syariat batin ini, Imam Malik menjatuhkan hukum fasik. Yakni orang berdosa, kalau mati tanpa taubat akan masuk Neraka tetapi tidak kekal di dalam Neraka.
2. Bertasawuf tanpa fekah
Bertasawuf tanpa fekah bermakna seseorang yang menjaga hati sahaja, mengamal seluruh atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin) tetapi menolak dan meninggalkan syariat lahir semua sekali. Dia sangat menjaga hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat mahmudah tetapi tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan lain-lain lagi. Inilah orang yang berhakikat namanya dan menafikan syariat. Pada Imam Malik dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar. Bila mati tanpa taubat, akan dimasukkan ke Neraka dan kekal di dalamnya. Wal’iyazubillah. Dalam masyarakat hari ini banyak kita temui orang-orang yang memisahkan ajaran Islam dan beramal dengan salah satu darinya.
Ada yang bersyariat sahaja. Ada yang berhakikat sahaja. Bahkan ada yang meninggalkan kedua-duanya sekali. Hal ini sebenarnya menyimpang dari ajaran Islam. Islam yang sebenarnya bukan begitu. Ia mesti diamalkan serentak antara syariat dan hakikat. Bila diamalkan, dia akan memperolehi hasilnya iaitu makrifatullah. Seperti sebiji buah, ada kulit, ada isi dan ada rasa. Mana boleh kita pisahkan-pisahkan antara ketiga-tiganya. Semuanya mesti bagus, barulah kita mengatakan buah itu bagus. Kalau kulit saja busuk, tentu sudah ditolak orang kerana dikatakan buah itu tidak bagus. Kesimpulannya, Islam seseorang itu hanya akan sempurna kalau orang itu mengamalkan syariat, tarekat dan hakikat secara serentak. Maka layaklah ia digelar taslim, yakni tunduk lahir dan batin. Siapa yang tidak sedemikian halnya maka Allah menempelak dengan firman-Nya: Maksudnya:
“Mereka bercakap dengan mulut mereka tetapi tidak seperti apa yang ada di dalam hati-hati
mereka.”
(Ali Imran: 167)
Ciri-ciri ini menyamai sifat orang munafik, yang lahirnya lain, dalam hati pula lain. Moga-moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah SWT. Amin.
MELAHIRKAN SYIAR ISLAM
Syiar bukan perkara kecil. Tuhan jadikan gunung setinggi-tinggi dan segagah-gagahnya serta laut yang seluas dan sedalamdalamnya, itu adalah syiar Tuhan. Ia adalah tanda kehebatan dan kebesaran Tuhan. Islam juga ada syiarnya. Iman, Islam dan ihsan itu, kalau diambil dan dihayati kesemuanya, ia akan melahirkan syiar. Kalau seseorang itu mengambil dan menghayati iman, Islam dan ihsan maka akan nampaklah syiar-syiar Tuhan pada peribadi orang itu. Itu pada peribadi. Kalau berlaku pada kelompok manusia maka lagi terserlah syiar Tuhan pada kelompok manusia itu. Nampak indahnya pada pendidikan, pada ekonomi, pada kebudayaan, pada pentadbirannya, pada ibadah dan pada akhlaknya. Nampak indah dan nampak kebesaran dan kekuasaan Tuhan. Sebab bila tiga perkara ini diterima dan dihayati akan nampak cantik.
Bagaimana pendidikan yang nampak cantik? Guru dan murid, saling hormat-menghormati. Murid seperti anak dan guru, macam seorang ayah yang sangat sayang dengan anak-anaknya. Dalam rumah tangga pula, apabila tiga perkara ini diterima dan dihayati, akan lahir harmoni dan berkasih sayang. Nampaklah anak hormati ibu bapa, isteri taat, suami bertanggungjawab dan sama-sama beribadah. Dalam masyarakat, nampak pula syiar pada ekonomi di mana berlakunya bertolak ansur dan khidmat, ada kasih sayang antara satu sama lain, penjual perlu pada pembeli dan pembeli perlu pada penjual. Nampak hidup yang begitu indah dan cantik. Nampak dalam masyarakat berlaku kasih sayang. Lahir perpaduan, kesatuan, kerjasama dan bekerjasama.
Begitu juga pada pentadbiran. Nampak indahnya pentadbiran. Adil dan saksama. Begitulah seterusnya di sudut-sudut lain. Kerana orang yang berjaya merangkumkan dalam hidupnya iman, Islam dan ihsan, ibarat orang yang makan, nampak sihat dan badan kuat. Tidak terkena penyakit dan tidak sakit. Hidup selesa. Itulah dinamakan syiar. Syiar dapat dilihat oleh mata pada keindahan hidup. Dapat melihat kebesaran Tuhan dalam kehidupan manusia. Sebab itu Tuhan berfirman: Maksudnya:
“Barang siapa membesarkan syiar-syiar Allah, sesungguhnya itu datang dari hati yang bertaqwa.”
(Al Hajj: 32)
Apabila syiar mampu ditegakkan, itulah jalan menuju taqwa. Bila satu kelompok, satu puak atau satu negara berjaya menegakkan syiar, itu tanda mereka menuju taqwa. Allah akan datang kan berbagai bantuan, berkat dan rahmat, dan Allah sendiri akan mengalahkan musuh-musuh mereka. Maka akan tercetuslah apa yang Tuhan firmankan: Maksudnya:
“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.”
(Saba: 15)
Islam dan ihsan diambil dan dihayati, ia akan melahirkan taqwa. Kalau satu sahaja atau dua sahaja yang diambil dan dihayati, maka ia tidak akan membawa kepada taqwa. Iman sahaja tanpa Islam (syariat) dan ihsan, atau Islam sahaja tanpa iman dan ihsan, atau ihsan sahaja tanpa iman dan Islam tidak akan membawa kepada taqwa.
Kenal Tuhan Dahulu Barulah Syariat-Nya
Di dalam ajaran Islam, mengenal Tuhan lebih dahulu
adalah perkara yang pertama dan utama
Selepas itu barulah mengenal syariat-Nya pula
Tujuan mengenal Tuhan
agar hamba-hamba-Nya di kalangan manusia
cinta kepada-Nya
Pepatah Melayu ada berkata:
Tidak kenal maka tidak cinta
Percaya sahaja adanya Tuhan tapi tidak kenal Tuhan
sudah tentu cinta tidak berbunga
Tidak cinta kepada Tuhan
syariat-Nya orang tidak akan menghormati
Mari kita mengenal Tuhan
agar kita cinta kepada-Nya
Tuhan adalah Allah yang mencipta dunia Akhirat
dan seluruh isinya
Mencipta manusia bahkan mencipta segala-galanya
Dia adalah Maha Berkuasa, Maha Mengetahui
Maha Melihat, Maha Mendengar
Maha Berkehendak dan kehendak-Nya
tertunai segala-galanya
Tuhan adalah mengadakan dan mentiadakan
mematikan dan menghidupkan
Menghukum sama ada di dunia mahupun di Akhirat
kerana keadilan-Nya
Tuhan adalah segala-galanya
Dialah yang memberi makan dan minum,
Dialah yang menyakitkan dan menyembuhkan
Dia juga menyenangkan dan menyusahkan
memiskinkan dan mengkayakan
Menjatuhkan dan menaikkan seseorang
atau sesuatu bangsa
Memberi rahmat dan nikmat
memberi niqmah dan bala bencana
Mendidik, mengasuh, menjaga dan memberi keselamatan
Memberi petunjuk dan menyesatkan
sesiapa yang Dia suka
Tapi semuanya berlaku
dengan ketentuan dan hukuman-Nya
Siapa yang masuk Neraka adalah dengan keadilan-Nya
Siapa yang masuk Syurga adalah dengan rahmat-Nya
Tuhan adalah Zat yang Maha Esa
tidak ada bandingan dan tandingan
Tidak ada penyamaan dan penyerupaan
Maha Suci daripada penyerupaan
dan Maha Suci daripada dapat dilintaskan
Hakikat Zat-Nya Dia sahaja yang mengetahui
Tiada di kalangan makhluk-Nya yang mengetahui
Sekalipun para malaikat yang suci daripada dosa
dapat mengetahui
Kuasa atau Qudrat-Nya bukan dengan tenaga
kehendak-Nya bukan dari perasaan-Nya
Tuhan tidak ada perasaan macam manusia
Yang berkuasa dan berkehendak adalah Zat-Nya
Begitu juga melihat, mengetahui, mendengar
adalah Zat-Nya
Yang mempunyai sifat-sifat itu semuanya
Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Maha Qahhar dan Jabbar
Dipetik daripada :
0 comments:
Post a Comment