Ikhlas. Ia memerlukan penghayatan. Ibarat memberi hati
seratus peratus pada Allah, yang hakikatnya hanya Dia yang tahu sejauh mana
bulatnya hati itu. Bila kita bercakap dan bertindak elemen ikhlas ini sangat
penting, ia jantung pada badan, ia akar pada pokok. Pandai bercakap, mestilah
pandai juga untuk memaknakan apa yang dicakapkan, ia buah daripada buah-buah
ikhlas.
Seringkali bila kita berusaha untuk bulatkan hati itu,
bendasing masuk meracuni dan mengubah tahap ikhlas itu. Cantiknya ikhlas itu
jika bendasing itu dapat ditepis sejauh-jauhnya. Di sinilah peranan syaitan
dalam mencorak buruk dan busuknya nilai ikhlas itu. Cubalah hazafkan ia.
Ingatlah, semuanya datang daripada Allah. Tidak ada satu
zarah pun kesan datang daripada usaha kita. Kita bukan pemberi manfaat, dan
bukan juga pemberi mudharat. Nilailah diri sendiri, setakat mana kita menghayati
Hebatnya Allah dan Agungnya kuasa Dia dalam menjadikan sesuatu. Subhanallah,
Maha suci Allah. Kita makhluk yang hina dari kejadiaan mani, tapi bila ada
ikhlas ia menjadi nilaian dan pandangan Allah, Tuhan kita. Bayangkan, Pencipta
kita memandang dan prihatin pada kita, Allah..indahnya.
Kita tidak boleh memiliki semua kerana bukan semua perkara
Allah jadikan sesuai untuk kita. Di sinilah, kita kena bijak dalam melandaskan
hati kita betul-betul bulat dan ikhlas kepada Allah dalam menerima. Jadi,
berprasangka baik pada Allah itu indah. Husnu dzhon pada qada' dan qadar Allah
itu penguat pada diri kita. Kebiasaannya, kita marah, merungut dan membenci
pada sesuatu yang bukan ditakdirkan. Jangan, ia bukan buah yang berbuah
daripada pokok ikhlas, ia rosak. Buah yang busuk dan berulat tidak boleh di
makan. Jangan kerana su'ul zhon kita, semua rahmat menjauhi kita.
Ikhlas boleh membuahkan cinta agung. Cinta kepada Allah
Yang Satu. Ia Pencipta, Pemberi rezeki, Penghidup, dan Peneman kita. Allah,
cinta-Nya jika kita peroleh kita pasti inginkan ianya selama-lamanya kekal,
hidup dalam jiwa kita untuk terus subur. Cinta Allah, Ingin Allah, ingin jumpa
Allah, merasakan semuanya datang daripada Allah jika hati bergemerlapan dengan
ikhlas. Subhanallah, hebatnya penangan ikhlas! Kurniakan kami Ikhlas itu Ya
Rabb!!....
semua milik Allah
nafi kuasa kita
takdir tetap pada kita
jangan jauh terima
jangan sangkal
lemah itu kita
jahil itu racun bisa
cinta lain tuhan jangan
cinta itu kurnia
untuk Dia
maknakan ia
yang jernih
suci
jangan sia-siakan
cinta Allah, Allah Maha Hebat.
0 comments:
Post a Comment