Praktikaliti Tarbiah




Ada orang yang sentiasa menggunakan kesibukan sebagai alasan. Alasan tidak dapat datang majlis-majlis pengajian..tidak dapat datang usrah..tidak dapat datang mesyuarat..dan macam-macam lagi. Ada juga kerana kesibukan jadi alasan tidak dapat beramal..solat tidak berjamaah..tinggal zikir ma'thurat..tidak ada masa untuk Al Quran...juga tidak dapat dapat bangun malam bertahajjud. Tambah lagi ada juga buat alasan kerana tanggungjawab perjuangan ..terabai langsung amal-amal fardi. Alasan yang datang dari nafsu dan kerendahan himmah seorang yang mengaku pejuang..!

Justeru..tarbiyyah bukan semata-mata fikrah. Tarbiyyah bukan semata-mata kekuatan hujjah. Tarbiyyah bukan semata-mata ilmiyyah...namun ianya adalah proses perubahan melalui pengalaman beramal dengan ilmu..berpegang dengan fikrah..juga pengalaman mengendalikan diri dalam berhadapan arus kehidupan yang penuh dengan kesibukan dan tanggungjawab perjuangan...

Tarbiyyah adalah satu proses merasai pengalaman..bagaimana rasanya berpegang teguh dengan Islam sebagai cara hidup..bagaimana rasanya bila beramal dan merasai lazat beramal..bagaimana rasanya bila berjuang dan merasai pahit getir perjuangan...bagaimana rasanya susah payah perjuangan dan bersabar dalam bersusah payah. Oleh itu ..jika pernah rasa senang maka kena rasa juga susah..jika pernah rasa menang maka kena rasa juga kalah..jika pernah rasa kuat maka kena rasa juga lemah. semua itu memberi pengalaman merasai sunnah dan realiti perjuangan. Barulah seorang pejuang itu menjadi matang dalam tarbiyyahnya...

Firman Allah Azza wa Jalla :

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأسأ والضرأ وزلزلوا

حتى يقول الرسول والذين أمنوا معه متى نصرالله ألآ ان نصرالله قريب

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya `Bilakah lagi datang pertolongan Allah' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir".

Al Baqarah : 214

Oleh itu ya abnaie....kukuhkan amalan mu..terjunlah ke medan perjuangan..tinggalkanlah alam mimpi fikrah dan idealisma mu...nescaya antum bakal menjadi pejuang aqidah dan fikrah yang sebenar ..menjadi pencinta mati syahid demi syurga Allah yang tinggi..

Nukilan nasihat : Abi Muhammad Nur 





Impian


Bersimpuh bersama sahabat seperjuangan - gambar daripada blog akh ehsan

Ini adalah entry pertama bagi tahun 2014. 

Ada yang bertanya, apa cita-cita besar untuk dicapai pada tahun ini ?

Entah. Aku tidak merancang sesuatu yang besar.

Kalau ada pun, sekadar meneruskan harapan dan cita-cita tahun sebelumnya yang tak berjaya dicapai.

Cuma, aku nak target untuk buat kebaikan dengan banyak sepanjang tahun ini.

Biarlah di pengakhiran hidup, aku dapat mati ketika sedang asyik bergelumang dengan kebaikan khususnya di dalam amal Islami.

Ya, aku nak mati ketika melakukan kerja dakwah dan tarbiah.

Sebagaimana al-marhumah Siti Hajar dan Ammar.

Aamantu billah, thummastaqomu.




Polemik




Langit malam merekah. Titisan demi titisan mutiara jernih jatuh ke bumi. Nampaknya malam ini hujan lebat menjadi sahabat setia menemaniku untuk terus menulis...jari-jari makin pantas menari pada papan kekunci ini.

Entah. Binggung kepala belum hilang lagi. Hujan mengalir deras dengan irama yg membingitkan telinga tatkala mencecah atap rumah tidak mengalihkan fokusku pada kebinggungan ini.

Fikiranku tertumpu kepada perbualan ringkas beberapa jam tadi.

"Enta balik kampus bila?"

"InsyaAllah minggu depan, kenapa akhi?"

"Ana ada hal penting nak bincang. Balik nanti, jumpa ana." 

Tegas. Tak pernah naqib usrahku tiba-tiba call begini. Siap maklum ada something yg penting nak ajak berdiskusi lagi. Dalam kepala ini, bermacam persoalan yg berlegar. Andaian kepada polemik yg tercetus sebelum2 ini mungkin antara perkara penting tersebut. Aduh, sudahla aku nak fokus kepada core bussines yg lebih utama, terheret juga dalam permainan polemik ini.

Sedikit sebanyak ini perkara yg membingungkan aku dari tadi.

Sikit-sikit masalah. Sikit-sikit berpolemik.

Dulu, sahabatku pernah berpesan supaya jangan highlight sangat masalah apabila kita bekerja dalam jemaah. Ia membantutkan kerja utama kita. Kalau setakat ambil tahu dan buat satu solusi, itu dah memadai. Kadang-kadang masalah tak perlu diselesaikan semua. Ada jenis timbul dan lenyap begitu sahaja tanpa kita memberatkan kepala untuk fikir. Biar masa menjadi penentunya.

Polemik? Semenjak dulu lagi..ia tak berkesudahan. Aku dah malas fikir dan bagi cara penyelesaian. Ia tetap macam tu. Polemik apa? Ah..malas nak cerita..panjang. 

'Ala kulli hal, buat masa sekarang..Fokus kerja dakwah tarbiah ini betul-betul. Sesungguhnya, kerja-kerja itu lebih banyak dari waktu yg ada sekarang ini...al-wajibat aksaru minal awqat.

InsyaAllah minggu depan aku akan balik perlis.

Mohon doa.

Moga sampai dengan aman.

Berpolemik lagi. :)





Konflik



Menjadi seorang pemimpin akan mengakibatkan kita terjerumus ke dalam konflik. Baik konflik itu datang dari luaran mahupun dalaman, seorang pemimpin yang bijak harus bersedia mengatasinya bagi mengelakkan gerakan yang dipandunya terhenti dan mati.

Pernah sahaja puluhan organisasi terdahulu hancur bukanlah disebabkan kuatnya pukulan musuh luar, tetapi disebabkan dimakan anai-anai perosak secara dalaman. Sejarah Turki Uthmaniah menceritakan gerakan the Young Turk & kealpaan sebahagian pemimpin dengan kemewahan pada zaman Sultan Abdul Hamid II menjadi ‘anai-anai’ yang merosakkan sebuah khilafah. Ini adalah contoh konflik dalaman yang berlaku ditambah parah dengan bantuan konflik luaran.

Dalam situasi ini, jika pemimpin tidak berani bertindak dan mengambil risiko, pasti masalah tidak akan selesai. 

Maka solusi bagi kelangsungan sesuatu gerakan, pemimpin tersebut perlu meredah konflik yang berlaku dengan hikmah, bukannya lari meninggalkan masalah. Antara maksud hikmah di sini adalah, keputusan yang perlu dilakukan seorang ketua itu perlulah mementingkan maslahat utama dan dalam masa yang sama tidak merugikan pihak berkepentingan. Ia ibarat menarik rambut di dalam tepung - rambut dapat, tepung tidak berselerak.

Saya datangkan contoh, apabila timbul konflik anggota organisasi buat hala tuju sendiri dan tidak mengikut matlamat organisasi, pemimpin perlu membetulkan mereka. Dalam pada masa yang sama, tindakan itu perlu dibuat tanpa menyebabkan ukhwah yang dibina selama ini rosak. 

Fahamkan kembali kepada mereka hala tuju jamaie bersama. Ikat juga mereka dengan rukun organisasi yang menjadi tunjang asas bertahannya gerakan. Taat dan wala' mesti diberi pada arahan tersebut.

Tapi bosss..diorang ada kefahaman (fikrah) sendiri, manhaj sendiri, hala tuju ‘yang katanya lebih sahih’ sendiri, wasilah sendiri, macam mana nak betulkan???”

“Dah cuba buat cara tadi?”

“Dah. Sampai berbuih mulut kami jelaskan, mereka tetap berkeras !”

........

Inilah antara contoh ratusan konflik bakal ditempuh.

Ia perlu diselesaikan segera.

Allahu musta'an. :)


Cara Faham



Dalam satu diskusi, sahabat saya bertanyakan makna fikrah. Lalu antara kami ada yang menjawab kefahaman, idea, pemikiran dan lain-lain. Semua jawapan betul, cuma saya tertarik definisi seorang teman:

"Fikrah adalah praktikal cara kita faham. Kalau kita berfikrah Islamiah, ia adalah perilaku faham kita pada Islam. Bahasa mudah, fikrah adalah perkara yang menentukan pembawakan kita."

Ada orang faham Islam sebagai agama ritual solat puasa sahaja. Ada yang faham sebagai budaya seperti nikah dan baca yaasin jenazah semata. Ada pula faham separuh-separuh (juzu') serta ada option, yang dirasa best untuk diamal diambil..yang berat tak kena dengan hati ditolak.

Definisi Islam pun sudah berbeza bagi setiap orang. 

Bukan salah guru, bukan salah kitab (manhaj), bukan juga salah penyampaian, tetapi salah diri sendiri dalam memahami. Buktinya, seorang guru dan sebuah buku teks yang sama diajarkan dalam kelas yang sama, tetapi jawapan murid-murid berbeza antara satu sama lain.

Begitu juga bagi yang mentakrifkan fikrah Islam dalam perjuangan. Ada yang berdakwah seputar kelompok mereka, menyanjungi syeikh2 mereka, menyeru kepada jalur 'fikrah' mereka semata, tidak lebih dari itu.

Dalam usul 20 (rukun faham), Al-banna mendefinisikan Islam sebagai Negara dan Tanah Air, pemerintahan dan umat. Ia adalah akhlak, kekuatan, kasih sayang dan keadilan. Ia adalah pengetahuan, undang-undang, ilmu dan kehakiman. Ia adalah kebendaan, harta benda, usaha dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah. Ia adalah tentera dan fikrah. Islam juga merupakan aqidah murni dan ibadah.

Jom satukan fikrah !



Catatan ringkas: Anak Muda & Masa Depan Politik Negara



Saya selesai menonton rakaman video sebuah wacana, menampilkan KP Pas yang baru, saudara Suhaizan Kayat, YB Nurul Izzah (MP Lembah Pantai), dan On Kia Ming (MP Serdang).

Mata dan telinga saya memfokuskan point-point idea yang keluar daripada mulut ketiga-tiga ahli panel. Cumanya, saya lebih berminat nak dengar pandangan KP PAS. Daripada patah perkataan yang keluar daripada mulut beliau, kita dapat menilai gagasan idea yang ingin dibawanya dalam DPPM penggal 13-15 ini. Gagasan idea tersebut juga adalah gambaran halatuju sayap kanan PAS untuk masa akan datang.

Generasi-Y

Orang muda generasi-Y sifatnya terbuka, bebas, tidak suka politik(attach & partisan) dan menolak doktrinisasi. Tambahan, mereka adalah generasi yang kaya maklumat, dan gemar protes serta mempersoalkan sesuatu perkara. Ia satu cabaran bagi kerja rekrutmen. Bagi sayap kanan parti PAS, Pemuda mesti reti membaca sifat generasi-Y ini bagi merekrut orang muda menjadi pendokong parti. Ini adalah soalan asas bagi wacana Orang Muda & Masa Depan Politik Negara.

Bagaimana kaedah mencetak generasi-Y ini? Jawapan umum saudara Suhaizan, PAS akan memposisikan kepelbagaian lapisan bakat pemuda ini mengikut post masing-masing. Apa yang saya faham daripada idea ini, Suhaizan perlu bijak membuat engagement dengan semua lapisan muda yang mesra PAS. Contohnya, kelompok muda sosialis, ortodoks, progresif dan lain2 jalur peminat gerakan Islam tertua Malaysia ini. 

Suhaizan juga menyatakan faktor ‘kedinamikan’ tarbiah itu perlu disemak semula dan dibaiki lagi. Saya tak pasti bagaimana maksud dinamik pendidikan (tarbiah) itu ingin diterjemahkan. Harapannya, moga mengekalkan dasar dan tidak menjadi backfire kepada parti.

Di dalam wacana ini, DAP dan PKR juga mengetengahkan idea Rekrut & Pendidikan Politik parti mereka masing-masing seperti sekolah politik, parlimen mahasiswa dan lain-lain. 

Menarik sebenarnya hujah-hujah daripada wacana ini. Tetapi saya tak berkesempatan untuk mengingati semua. Sekadar menulis beberapa point yang dirasakan penting. Nantilah, saya akan nukilkan balik dapatan idea-idea ini untuk post akan datang.




Maju Terus DPPM 13/15 !


Tiga jalur berbeza Ustaz Khalil (ulama'), Suhaizan (aktivis) dan Ir Khairil (profesional).

November adalah bulan Muktamar PAS pusat. Bagi penggal kali ini, berlaku pemilihan pucuk pimpinan parti. Dan alhamdulillah semalam, selesai proses demokrasi parti ini yang menerbitkan keputusan peralihan kepimpinan baru bagi youth wing (DPPM), manakala DMPP masih mengekalkan status quo kepimpinannya.

Tahniah dan takziah kepada yang terpilih. Selamat menjalankan tugas yang diamanahkan. Saya sekadar pemerhati diluar parti memerhati perjalanan muktamar kali ini dengan penuh kepuasan. Puas kerana perbahasan ini memberi pengalaman dan tasawwur bagaimana sebuah parti berorientasikan Islam melakukan muhasabah pergerakannya dari peringkat akar umbi hinggalah tahap tertinggi DPPM.

Salute buat para perwakilan.

Sayap Pemuda Era Suhaizan

Dewan Pemuda sangat dekat dengan saya. Bukanlah bermakna saya ahli parti. Saya sekadar orang luar yang memerhati, baik perjalanan pemuda UMNO dan juga pemuda PAS. Kerana itu, sebagai orang muda saya melihat kepimpinan baru yang memimpin sayap terpenting parti ini turut memberi kesan kepada golongan muda kerana ia melibatkan landskap politik yang sangat mempengaruhi hidup.

Perjuangan isu orang muda, dakwah menarik tangan marhein kepada Islam, corak tarbiah generasi-y dan lain-lain perkara menjadi tuntutan pemuda adalah antara contoh core bussines DPPM. Begitulah antara perkara basis suhaizan dan line up pemuda perlu laksanakan kepada golongan muda.

Harapan saya, paculah sayap pemuda ini bukan sekadar menyedari PAS adalah parti politik, tetapi juga gerakan dakwah dan tarbiah.

Kita adalah syabab Islam.

Siiru ‘ala barakatillah.





Menang PRK Bukan Bermakna Menang Agenda Islam


Kemenangan Pro Mahasiswa atau Pertubuhan Islam Universiti
Bukan Kemenangan Islam
Pilihan raya kampus adalah wadah politik anak muda yang berjiwa besar (sewajarnya) dalam mendepani warga kampus dan masyarakat. Sehinggakan ramai juga yang menduduki dunia politik tanah air hari ini adalah hasil didikan politik kampus.
Bulan Oktober dan November adalah “Demam PRK” (barangkali) bagi seluruh kampus tanah air. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan tarikh akhir November sebagai tarikh terakhir melaksanakan pilihan raya kampus di seluruh kampus.
Kebiasaannya di kampus akan berlaku pertentangan antara pihak pro mahasiswa dengan aspirasi, cuma baru-baru ini berlaku kelainan apabila pembina berpendirian akan menghantar calon untuk bertanding.
Sedia maklum, pro mahasiswa akan diwakili oleh mereka yang berfikiran dan berpandangan Islamik berdasarkan pembawakan imej calon mereka.
Saya ingin mengajak kita berfikir berkaitan satu pemikiran yang beranggapan sekiranya pro mahasiswa menang maka Islam telah menang atau bakal menang. Seperti suatu ketika apabila pilihan raya umum Mesir dimenangi oleh Ikhwan al Muslimin, maka telah tersebar ke serata dunia bahawa Islam telah menang.
Seperti biasa apabila menangnya pro mahasiswa gegak gempita mereka adalah bertakbir; Allahulakhbar! Juga tidak terlupa laungan keramat; Student Power! Laungan atau kalimat ini tidaklah bermasalah cuma pada pemikiran yang beranggapan Islam menang sekiranya pro mahasiswa di kampus menang.
Islam bukanlah milik hakiki pro mahasiswa atau persatuan Islam universiti. Benar, mereka yang menggerakkan persatuan tersebut tetapi bukanlah milik mereka secara keseluruhan kerana mereka punyai tanggungjawab menyantuni warga kampus dan masyarakat. Yang mana warga kampus dan masyarakat bukanlah semata-mata menganuti agama Islam; Hindu, Buddha, Kristian, Konfusius, Sikh dan pelbagai lagi.
Tanggungjawab tersebut adalah sebenar-benar Islam perlu ditonjol dan dilaksanakan. Bukan hanya laungan tetapi berhenti selepas fasa pilihan raya kampus. Kumpulan atau individu yang memenangi kerusi hilang dalam arus budaya ketidakilmiahan kampus. Menang dihebohkan tetapi gagal menjiwai dan memaknai apa itu warga kampus dan masyarakat. Lalu setahun berlalu pergi tanpa mendidik warga kampus dan masyarakat secara ilmiah dan terancang. 
Gegak gempita tidak diterjemahkan dengan gerak kerja yang berstruktur dan sistematik. Perancangan untuk mengubah budaya politik wajah kepada politik intelek atau kesedaran politik matang gagal direncanakan dengan baik. Akhirnya, setiap kali pilihan raya kampus yang akan distrategikan adalah muka yang cantik dan kacak.
Saya berpendirian bahawa agama mampu membawa manusia ke arah yang lebih baik, atas dasar agama yang sebenar (rahmat sekalian alam) tetapi kerisauan saya adalah manusia menggunakan agama demi melariskan kepentingan kelompok mereka. Tanpa sedari pengundi atau yang memilih mereka bukan hanya individu yang seagama dengannya tetapi wujud juga daripada yang berlainan agama.
Pilihan raya kampus bukan hanya milik individu yang beragama Islam tetapi adalah milik seluruh warga kampus yang berbilang agama. Tanggungjawab yang diberikan hasil kepercayaan merentasi dinding atau tembok agama dan bangsa.
Muhammad, Martin Luther, Nelson Mandela, dan Mahatma Gandhi antara nama besar yang berjuang meruntuhkan tembok persempadanan yang membezakan warna kulit atau perkauman sehingga terdapat yang mendapat ancaman bunuh dan dibunuh serta dipenjara. Nilai yang diperjuangkan mereka merentasi geografi dan zaman sehingga menyebabkan nilai itu kekal dipegang dan diamalkan.
Islam adalah sebuah agama yang mementingkan ketelitian dan kepintaran dalam merangka strategi untuk memakmurkan alam. Surah as-Saff ayat empat menyuruh hambanya agar membela agamanya dalam keadaan yang teratur (berbaris) dan banyak ayat menyuruh manusia berfikir menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi untuk memelihara alam.
Penyelesaian kepada masalah umat manusia pada hari ini, bukanlah semata-mata berpidato kita perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah tanpa punyai pendetilan secara terperinci. Perlu mempunyai kumpulan yang merancang, merencana dan melaksanakan seterusnya membudayakan aktiviti atau program ke arah mencapai matlamat.
Islam tidaklah akan menang hanya semata-mata kemenangan pro mahasiswa yang majoriti dianggotai oleh umat Islam. Ia sewajarnya menzahirkan dan mengangkat nilai-nilai dalam Islam; amanah, integriti, tepati masa, bersangka baik atau nilai yang sarwajagat boleh fahami dan terima.
Islam akan tetap menang tanpa wujudnya pro mahasiswa atau pertubuhan Islam universiti (sekiranya yakin) tetapi bukan dengan haru biru melainkan secara terancang dan berobjektik. Bukanlah semata-mata memenangi pilihan raya kampus sudah layak mengatakan Islam menang. Sesungguhnya kemenangan Islam itu perlu dibayar dengan harga yang tinggi. – 12 November, 2013.



Qum Fa Anzir !

 
 
"Leadhership is action, not a position."
 
Sepanjang terlibat dengan kepimpinan dan organisasi, ungkapan ini selalu diingatkan kepada saya. Jika semata-mata memimpin sekadar mengisi kuota kekosongan jawatan, ia bukanlah seorang pemimpin.
 
Kepimpinan itu adalah memperjuangkan idea. Individu yang kaya dengan idea, adalah mereka yang layak diposisikan sebagai pemimpin. Idealisme adalah pemangkin kepada kebertanggungjawaban dan tindakan (action). Tidak punya idea, maka kakulah organisasi itu.
 
Matlamat yang jelas menelurkan idea, manakala idea mencorak tindakan.
 
Bangkit, berilah peringatan! (al-muddathir: 2) 
 
Coretan ringkas
12 Nov 2013
4:05 pm.
 
 
 


Ingat Janji Kita !



Wahai Rijalud dakwah,
Marilah kita ingatkan kembali akan janji kita kepada Allah!

Bukankah kita telah berjanji untuk turut beramal bersama dakwah dalam rangka membela syariat-Nya serta berdakwah kepada-Nya?

Bukankah kita telah berjanji setia kepada Allah untuk mendengar dan taat dalam mentaati Allah, Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya dengan bergabung dalam dakwah samada :

a.      Dalam keadaan bersemangat mahupun malas.
b.      Dalam keadaan mudah mahupun sukar.

Bukankah kita telah berjanji kepada Allah untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berjihad di jalan-Nya serta berjanji untuk mendengar dan taat kepada pimpinan sekuat kemampuan yang ada :

1.      Dalam keadaan suka mahupun tidak suka.
2.      Dalam perkara yang bukan maksiat.

Ingatlah janji setia kita itu dan kemudian hisablah diri kita.

Apakah kita sudah berusaha menjadi Rijalud dakwah yang sesungguhnya?

Iaitu Rijal yang :
  1. Memahami dan meyakini fikrah Islam yang murni.
  2. Sentiasa ikhlas.
  3. Selalu meniatkan ucapan, perbuatan dan jihadnya untuk Allah.
  4. Mencari ridha dan mengharap pahala-Nya.
  5. Tidak memandang kepada kekayaan, kemegahan, kehormatan atau gelaran kebesaran.
Apakah kita sudah berusaha keras untuk :

1.      Mempersiapkan diri untuk beramal?
2.      Memperbaiki diri?
3.      Membina rumah tangga?
4.      Membimbing masyarakat?
5.      Membebaskan tanah air dari pengaruh kekuatan asing?
6.      Memperbaiki pemerintahan sehingga benar-benar Islamik?
7.      Mengembalikan kewujudan umat Islam di persada antarabangsa dengan     mengembalikan khilafah dan persatuan umat?
8.      Menebarkan dakwah ke seluruh penjuru bumi?

Bagaimanakah :

a.   Gelora jihad di hati kita?
b.   Ketabahan kita untuk sentiasa beramal dan berjihad bagi mencapai tujuan?

Apakah :

1.  Kita masih bersedia melintasi waktu, tahun demi tahun dan terus dalam  keadaan seperti itu hingga kita bertemu Allah?
2.  Masih ada pengaruh fahaman lain dalam fikrah kita, padahal fikrah Islam  kita merupakan fikrah yang paling mulia, lengkap dan tinggi?

Sudahkah rasa persaudaraan terjalin erat di antara kita?

Di mana ruh dan hati kita diikat dengan aqidah?

Masih terpeliharakah kepercayaan kita kepada kepimpinan dengan sepenuhnya akan kemampuan dan keikhlasannya, sehingga membuahkan kecintaan, penghargaan, penghormatan dan ketaatan?

Wahai Rijalud dakwah, apakah kita sudah berusaha keras membentuk diri menjadi batu bata yang kukuh bagi bangunan dakwah, yakni dengan menjalankan kewajiban-kewajiban sebagai seorang Rijalud dakwah?

Cuba kita ingati semula syiar kita.

“Kesetiaan untuk janji kita, Menyumbang untuk dakwah kita”

Allah tujuan kita
Rasulullah tauladan kita
Al-Qur’an pedoman hidup kita 
Jihad adalah jalan juang kita 
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kita yang tertinggi






Fikrah Reformis - bahagian 2


Rejuvenasi PAS - antara koleksi bacaan berat yang dibeli pada pertengahan 2012

Sambungan daripada : Fikrah Reformis - bahagian 1


Buku 'Rejuvenasi PAS' adalah sekual daripada tulisan 'Menuju PAS baru' oleh Dr Mujahid Yusof Rawa. Ia adalah buku yang sarat dengan teori, dan idea aplikasi merobah PAS kepada jenama yang baru, lebih remaja dan lebih relevan pada masakini.

Saya selesai membaca keseluruhan buku tersebut september 2012 lepas sebelum ia berpindah tangan kepada seorang sahabat (hadiah istimewa). Secara umum, idea yang digarap menerusi rejuvenasi PAS ini adalah baik untuk menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan yang sentiasa ‘hijau’ mendepani zaman menerusi pengalaman dan unjuran masa depan PAS di pentas politik.

Walaubagaimanapun, bagi pendapat saya idea rejuvenasi PAS ini perlu dikritik dan dijawab. Sebagaimana kita menerima untuk bersetuju, kita juga perlu bersedia untuk tidak bersetuju. Bagi saya, idea yang dilakarkan di dalam buku ini, seakan ‘mempertikai’ kepimpinan ulama’ yang sekian lama menaungi gerakan Islam terbesar di Malaysia ini. Oleh kerana konsep ini hendak digantikan dengan kepimpinan Islam - berkompetensi dan integriti - (even bukan jalur ulama’) – dalam bahasa mudah semua orang layak menjadi pemimpin utama PAS, ianya menimbulkan polemik pertembungan puak (ulama vs profesional) yang tak berkesudahan.

Saya tidak berniat untuk mengupas dengan details tentang kandungan buku ini. Cukup sekadar semua orang membaca dan menilainya sendiri. Kita adalah golongan muda yang tidak seharusnya jatuh ke dalam perangkap label melabel tanpa hujah atau bukti (semberono). Tetapi sifat pemikiran golongan muda, kita mestilah mengkaji dan menilai. Melabel pun mesti dengan hujah dan fakta. Pokoknya menilai dan menghukumlah dengan neraca kebijaksanaan. 'Ala kulli hal, saya akan datangkan beberapa buah fikiran penting berdasarkan penilaian saya terhadap idea utama buku ini. Sudilah untuk membaca dan menilainya pula.

Antara Progresif dan Konservatif

Saya menyokong kewujudan banyak kelompok di dalam sesebuah organisasi. Ia melengkapi antara satu sama lain. Baik golongan profesional yang kaya dengan kemahiran duniawi, ia mestilah digabungkan dengan kepakaran ulama’ dalam memandu urusan duniawi dengan ukhrawi. Ia saling berkaitan, tiada dikotomi. Tetapi, bagi saya secara peribadi apabila melibatkan bab mengutamakan pemimpin utama (baca: presiden, ketua kumpulan) saya komited meletakkan biarlah ulama’ berada di posisi tersebut sebagaimana ibrah kisah jalut dan talut dipenghujung juzu’ kedua di dalam al-quran. Kumpulan Islam mesti dipandu oleh orang yang faham Islam secara menyeluruh.

Sesuatu kumpulan Islam yang terjun ke dalam arena politik mestilah bertindak sebagai gerakan massa jika hendak kekal lama di arus perdana pada hari ini. Jika politikus atau gerakannya gagal membaca unjuran dunia politik hari ini serta tidak bijak menyesuaikan diri berdepan dengan arus perdana masakini, ia akan jauh ditinggalkan. Tindak tanduk kumpulan ini mestilah menjuarai tuntutan arus perdana, dalam bahasa mudahnya kumpulan ini mesti progresif dan kekal relevan.

Bagaimana dengan konservatif ? Satu aliran untuk terus mengekalkan cara dan style lama dalam bergerak. Mereka selalunya dilihat keras pada tuntutan dan pendekatan baru pada hari ini. Dalam bahasa yang lebih mudah, jika dalam kumpulan politik mereka adalah golongan lama dan veteran. Persoalannya, salahkah ‘penganut’ aliran konservatif ini ?

Secara peribadi, saya melihat konservatif dan progresif tidak perlu menjadi pertikaian jenama di dalam gerakan Islam. Kita dituntut untuk berfikir dan memandang jauh ke hadapan. Tambahan lagi, zaman ini bukan sahaja zaman reformasi cara berfikir, tetapi ini adalah zaman reformasi tindakan ! Persoalannya, jika kita adalah progresif – menjadi gerakan massa, mendepani arus perdana dengan pendekatan yang agak terbuka – kita mestilah membawa gerakan ini tanpa mengabaikan prinsip fundamental gerakan. Mungkin ini yang menjadi pegangan utama golongan konservatif yang dikatakan ‘jumud’ dan tertutup itu.

Pokoknya, ia bukan bab kejumudan. Ia adalah perihal berpegang teguh pada prinsip tanpa dicemari hingga longgar dan dalam pada masa yang sama, pendekatan dan strategi kita mesti segar – sesuai waqie zaman masa kni. Ini kekuatan yang perlu ada bagi sesebuah kumpulan Islam khususnya apabila terlibat di dalam sepak terajang dunia politik.

Fikrah Al-Haddamah

Kembali kepada tajuk entry bahagian kedua ini, ‘fikrah reformis’. Pemikiran tajdid/islah untuk berubah dan merobah suasana itu perlu wujud di setiap zaman. Bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang mafhumnya, pada setiap 100 tahun akan dibangkitkan mujaddid untuk membaiki (islah) agama. Persoalan utama di sini, siapakah mujaddid (reformis) abad ini yang perlu kita ikuti ? Dan bagaimanakah jalur pemikiran beliau ?

Samada seseorang itu benar reformis, atau bukan reformis, selidiki jalur pemikirannya. Jika reform (baca: mengubah) sesuatu al-asolah kepada yang lebih buruk itu dikatakan reformis, saya lebih cenderung mengatakan beliau membawa fikrah asing masuk ke dalam kumpulan Islam bertujuan menjadikan prinsip asalnya berubah, berbanding menambahbaik agama dan kumpulan Islam tersebut.

Saya mendefinisikan fikrah asing / pemikiran yang bercanggah dengan al-quran dan as-sunnah itu sebagai fikrah yang rosak (fikrah al-haddamah). Sekadar membawakan contoh, antara nama pemikiran ini adalah seperti liberalisme, komunisme, islamis demokrat, sosialisme, neo-sekluarisme, dan pecahan-pecahan jalur pemikiran berpusatkan post islamisme. Mungkin ramai pengkaji falsafah mahupun ideologi tidak akan bersetuju dengan label saya ini. Namun, terpulanglah. Saya terbuka untuk diperbetulkan berdasarkan hujah dan sumber.

Beberapa contoh aliran pemikiran ini saya pernah sentuh dalam entry bahagian pertama lepas. Realitinya, ia berlaku dalam gerakan Islam kini. Dunia hari ini penuh dengan serangan pemikiran. Musuh Islam tidak pernah letih dari berhenti menyerang. Orientalis mengkaji Islam untuk dilemahkan. Liberalis mengkaji al-quran dan wahyu untuk ditafsirkan secara bebas. Manakala, sosialis pula ada yang menyerang dan menjatuhkan islamis yang mendokong kuat cita-cita syariah.  Gerakan ghazwah fikr ini wujud baik di luar atau di dalam kumpulan itu sendiri.

Maka, dengan tegasnya saya mengatakan bahawa seseorang itu hanya benar dikenali reformis jika dapat memimpin kumpulan Islam ini dengan fikrah yang tulen, teguh prinsip memperjuangkan syariah Islam, dan mendepani dunia hari ini sesuai dengan pendekatan massa.

Penutup

Konklusinya, penulisan saya kali ini membawa kepada beberapa buah fikiran berkaitan pemikiran para 'reformis'. Apabila saya mengetengahkan idea sebegini yang kelihatan dominan kontranya pada disagree kepada pembaharuan, bukanlah bermakna saya bersikap paranoid dan jumud. Saya menerima tarbiah untuk konsisten berpegang teguh pada fikrah Islam yang asal (baca al-asolah), dan berfikir dalam kerangka siyasah yang lebih luas dan terbuka dalam pembaharuan. Inilah konsep kerangka pemikiran mujaddid yang sedang saya bina. Konsep lebih utama, cetusan idea ini bukan untuk melahirkan mufakkir semata-mata, tetapi lebih daripada itu untuk menjadi seorang amilin !

Boleh untuk tidak bersetuju pada idea-idea ini, nyatakan hujah untuk saya baiki dan tambah baik. Salam reformasi. 

Sekian, terima kasih.





Optimis Pada Diri !



Saidina Umar Al-Khattab r.a sebelum masuk Islam adalah merupakan seorang samseng yang digeruni. Sebut sahaja dosa apa yang tidak pernah beliau lakukan, hampir kebanyakkanya menjadi rutin beliau. Tetapi apabila masuk sahaja Islam, beliau diangkat darjat oleh Allah s.w.t sehingga bergelar amirul mu'minin yang hebat dan sangat takutkanAllah.

" Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam ". 

Ini adalah antara ungkapan beliau yang terkenal, sentiasa membuatkan kita bangga menjadi muslim dan sentiasa menyedarkan kita akan tuntutannya.

Pernah dalam satu pertemuan, naqib usrah menasihati aku based on kisah Khalifah Ar-Rasyidin kedua ini. Contentnya mengenai kepimpinan Islam. Alkisahnya, hati kecil aku merungut mengenai ketidaksanggupan menggalas jawatan dan memimpin atas alasan banyak dosa dan kekurangan menguasai diri serta aku tak mampu menerimanya.

Lantas, si naqib yang dekat dan memahami hati mad'u hadir datang mengubat. Kebetulan, kisah saidina Umar ini tepat pada protes kecilku. Kata naqib, jika enta selalu fikir pada kekurangan diri, setiap orang ada lemah dan kurangnya. Cuma, cara kita tonjolkan watak itu yang menutup kekurangan. Lihat pada kisah Saidina Umar pada sebelum dan selepas Islam. Beliau ada kekurangan, tapi taubat dan hidup matinya untuk Islam mengangkat darjat diri. Lebihkan potensi dan kelebihan pada diri enta, automatik ia akan menutup kekurangan. Tambahan pula, kepimpinan Islam itu wajib digalas dan disambung. Kita adalah mata rantai perjuangan. Optimislah !

Ringkas nasihat beliau. 

Ia sungguh melapangkan dada ini. 

Belajarlah untuk menjadi yakin dan berwatak sehebat Saidina Umar. Sesungguhnya, di dalam diri kita ada singa yang sedang tidur dan perlu dikejutkan.

Buka mata, dan terus melangkah untuk Islam. 

Terima kasih akh. :)

2:07 a.m.



Hidup.


vandetta - gambar hiasan.

"Aku hidup bukan untuk manusia. Hidup aku untuk Allah."

Waktu menunjukkan jam 2:17 pagi. Malam ini aku belum dapat lelapkan mata. Seharian berdepan dengan detik-detik hidup yang ada kala manis untuk dikenang, pahit untuk ditelan, dan pelbagai lagi ceritera suka duka yang sentiasa menjadikan hidup ini penuh warna.

Aku merenung pada satu perkara yang dinamakan ujian. Apabila ujian datang, manusia biasanya akan tersentak kaku seketika. Waktu itu, fikiran akan pantas berfikir panjang mencari hikmah disebalik ujian yang diberi. Jangan bersedih apabila ujian menimpa kita. Apa yang pasti, di sana ada terselit hikmah yang akan mendidik dan meninggalkan kesan baik pada kita.

Antara ujian yang biasa menimpa kita adalah kejian dan cacian manusia di sekeliling. Baik ia datang dari sahabat terdekat mahupun musuh. Saat ini jika kita dihina kerana kebaikan yang kita lakukan, maka bersabarlah. Manusia tidak akan pernah berasa senang dengan kebaikan orang lain. 

Kita perlu memiliki satu mindset yang mana kita yakin dengan kerjabuat kita, percaya kerja kita betul, dan teruskan kerja itu hingga selesai hanyasanya semua yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah, bukan kerana manusia. Tak perlu untuk bersusah hati dengan hinaan manusia. Allah lebih tahu apa yang ada di dalam hati kita. Teruskan kebaikan yang dilakukan.

Jadi, inilah yang aku maksudkan hidup untuk Allah. 

Coretan ringkas, sekadar luahan. Moga bermanfaat. ;)
Sekian.



Fikrah Reformis - bahagian 1



Buku "Wacana Pemikiran Reformis" & "Islam and Secularisme"

Sejak beberapa bulan lepas, saya gemar mengkaji beberapa istilah yang mewarnai artikel para reformis anak muda masa kini. Perasaan membuak-buak untuk mengetahui kuat, kerana sejujurnya setiap kali baca, saya tidak faham apa yang dibaca. Sifat inkuiri (ingin tahu) mendorong saya mengumpul artikel yang berkaitan dan menganalisis menjadi satu maudhuk yang difokus :

"Pemikiran baru, tajdid & islah".

Beberapa gagasan idea menarik minat saya, khususnya apabila ia melibatkan politik. Medan politik adalah satu game. Ia kaya dengan ijtihad dan idealisme yang segar. Politikus yang berjaya menguasai persepsi dikira pemenang game ini. Maka, platform yang paling dekat untuk diaplikasikan idea ini terlebih dahulu semestinya parti/organisasi/jemaah. Jika ingin menggapai kemenangan permainan politik, pengislahan parti itu diutamakan.

Beberapa artikel dan buku yang mengetengahkan idea baru ini timbul dengan banyak. Pemikiran baru dengan ideologi yang pelbagai nama banyak diwacanakan. Namun, bukan semua idea saya tangkapmuatkan hingga mudah saya agungkan ia. Artikel yang dibaca, perlu juga dianalisis dan dinilai. Di sini, pentingnya kita teguh berpegang pada prinsip ketika membaca. Mudah untuk dilabel/digelar, saya namakan aliran pemikiran yang sedang saya ikuti ini sebagai fikrah 'neo-sekularisme'.

Kontradiksi "Wacana Pemikiran Reformis"

Saya diperkenalkan oleh seorang sahabat pada buku bertajuk "wacana pemikiran reformis". Satu buku yang menghimpunkan artikel oleh penulis intelek terbitan islamic renaissance form (IRF). Idea dan wacana yang diketengahkan di dalam ini menarik, isi-isinya banyak menfokuskan islah dan rejuvenate.

Sepintas lalu, penulisannya seakan baik untuk merefomasikan gerakan dan sistem mengikut cabaran dunia masa kini. Tetapi, makin jauh dan banyak saya membaca koleksi artikel tersebut khususnya penulisan Marwan Bukhari, akal dan fikrah saya menolaknya. Ia kontradik dengan apa yang saya fahami.

Sebagai contoh, istilah firaunisme yang beliau gambarkan pada ulama' yang memerintah negara adalah bercanggah dengan apa yang saya fahami. Kenapa disamakan firaun dengan ulama' ? Tambahan lagi, part yang paling mengecewakan saya adalah beliau menafikan kewujudan negara Islam (daulah islamiyyah) atas alasan ianya berkonsepkan ditaktor serta teologi (suara dari Tuhan) yang menghapuskan kebebasan manusia bersosial !

Baik, berbalik kepada istilah neo-sekularisme yang saya nyatakan sebelum ini. Melalui penelitian saya, idea-idea yang dinukilkan di dalam buku tersebut adalah sebahagian daripada jalur pemikiran neo-sekularisme ini. Dalam definisi yang mudah, sekularisme adalah konsep memisahkan agama, dan neo adalah istilah yang digunapakai pada sesuatu idea lama dihidupkan dalam bentuk baru. Neo-sekulasime adalah konsep memisahkan agama dalam bentuk baru iaitu melalui perjuangan Islam secara serpihan, mencampuradukkan hak dan batil (westernisasi), dan perjuangan Islam tanpa syariah. Banyak pandangan yang jika di google, ramai islamis menyokong pemikiran ini. Hujah mereka, kita berhadapan dengan demokrasi yang mencengkam, perlukan idea ini dan gerakan Islam yang tidak menggunapakai idea sebegini akan mundur kebelakang.

Saya mengerut dahi. Apakah kerana meraikan demokrasi, prinsip perjuangan asal diubah ? Kenapa perlu menggabungkan elemen batil (sekular) dalam menegakkan Islam ?

Saya tinggalkan persoalan-persoalan tersebut di sini. Saya akan cuba menulis balik sambungan tulisan ini pada entry berikutnya, dengan penjelasan yang lebih panjang dan terperinci, insyaAllah...

p/s- era post-modernism adalah zaman hujjah.

bersambung........


Jatuh.


daie yang tersungkur jatuh.

Tidak banyak pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama. Lebih-lebih lagi apabila berbicara mengenai pengalaman dunia dakwah dan tarbiah.

Terasa tidak layak untuk menggelarkan diri pejuang. Jauh sekali menempa title murabitun pada pandangan Tuhan.

Namun, hati kecil ini sentiasa terusik. Rindu dengan era awal mengenal perjuangan dahulu. Jika ingin diselongkar himpunan pengalaman, mungkin di sana ada kisah yang boleh dikongsi berbanding pengalaman masa kini.

Boleh jadi benar juga teori lekukan organisasi dalam buku 'rejuvenasi pas' , apabila semuanya pernah singgah di puncak, akan ada era lekukan melengkuk ke bawah (zaman kejatuhan, iman, semangat, dan pengorbanan). seperti era dark age selepas renaissance, dan era sekularisme selepas khilafah, kita pasti akan melalui zaman kejatuhan itu. hidup ini umpama roda. 

Apa yang penting, iltizam kita bersama perjuangan, serta dakwah dan tarbiah perlu sentiasa ada, walau apa pun terjadi. Mafhum sabda Nabi, "faduru ma'al Islam (berputarlah bersama Islam...) "

Jatuh bukanlah bermakna tidak boleh bangkit.

Kita perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjulang kembali kekuatan iman di kemuncak. Semangat jihad perlu dibakar semula. Kefahaman untuk berkorban mesti dijana kembali. 

Jika era awal dahulu, diri sanggup menahan nafsu dari menguliti keseronokan dunia, mengapa sekarang tidak gagah seperti dahulu ? Jawapanya sama seperti tadi, ia terkandung di dalam elemen iman dan jihad. Jauhi keseronokkan yang seumpama serigala, memakan biri-biri sekiranya leka dan lalai. 

Bangkitlah, kerja kita banyak. Jangan melayan sangat perasaan dan bisikan jahat syaitan yang ingin merosakkan kita yang pernah bergelumang dalam kerja dakwah dan tarbiah ini. Rasulullah s.a.w sangat merindui kita, penyambung mata rantai perjuangan baginda.

Berubahlah sekarang, atau menanti rebah !



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular