Full time Daie

2012 adalah tahun yang ‘membesar’ bersamaku. Aku belajar sesuatu daripada perjalanan qada’ dan qadar tahun ini. Benarlah kata ramai orang, pengalaman mematangkan. Berguru dengan pengalaman, ia adalah rezeki yang tertulis untuk kita, ianya datang daripada Allah. Pengalamanku tidaklah banyak, tetapi cukup untuk aku tulis, bagi kepuasan diri sendiri.

Hingga post ini ditulis, aku berada dalam pertengahan 2012. Maknanya, sudah 6 bulan daripada tahun ini berlalu. Bermacam-macam perkara yang dilalui khususnya perkara melibatkan keterlibatanku dengan dakwah dan tarbiah, membentuk persepsi dan fikrah aku hingga kini.

TAKLIFAN : ANTARA UJIAN DAN AMANAH

“Enta tak terlibat apa-apa persatuan di IPG ke?”
“Tidak, ana ahli biasa. Guru pelatih di IPG Perlis.”

Hidup berjawatan memang best. Dengan adanya jawatan dan terlibat dalam persatuan, orang akan kenal kita. bila berjawatan, orang akan cari kita, puji kita. Bila program berjaya, orang akan kagum pada kita. Tapi sebaliknya pada orang yang tak berada dalam persatuan dan tak berjawatan, dia tak famous, hanya jadi rakyat biasa, orang tak kenal.

Itulah realiti. Ujian besar rupanya bila berjawatan ni. Seakan mencari pandangan manusia. Maksiat hati akan ada kalau tak mampu faham matlamat taklifan jawatan. Mengejar jawatan untuk menaikkan nama dan mengagungkan diri. Nauzubillah, minta dijauhkan.

Tahun 2012, aku hidup seperti era foundation semester 1 PPISMP dahulu. Kehidupan yang tidak disibukkan dengan meeting lewat malam, buat kerja2 persatuan yang penuh teknikal, mencari dana untuk program, memanjat ke jabatan2 IPG untuk bertemu pensyarah dan lain2 kerja yang memenatkan. Itu realiti kerja persatuan yang sudah tak berlaku kepadaku sepanjang tahun ini. Seperti di era semester 1, kehidupan terasa ringan, hanya 3k berlegar dalam kamus hidup – kuliah,kafe, dan katil!

Aku, PGPI dan Dunia Dakwah

Sebenarnya, aku rindu pada berpersatuan. Aku rindu pada Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI), persatuan Islam pertama yang aku sertai. Di sinilah aku belajar banyak perkara. Di sini juga, ilmu yang aku dapat, tidak aku dapatinya di dalam bilik kuliah. Ia mengtarbiah aku mengaplikasi teori usrah dan buku fikrah. Mudahnya, melalui PGPI aku mula mengenali apa itu dakwah dan tarbiah!

Teringat sewaktu zaman awal terlibat dengan PGPI,  ‘kecut perut’ berada dalam saf pimpinan bersama para pelatih yang hebat. Walaupun perbezaan umur jauh, hingga aku berbahasa abang dan kakak bersama mereka, tidak sesama sekali mereka lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Di situ aku belajar, semangat orang muda tak boleh meluru laju kedepan tanpa dipimpin orang lama. Bergelumang dengan kerja dakwah dan tarbiah bersama mereka seperti usrah, liqa’, dan program dakwah yang pelbagai sangat memberi kesan kepada aku.

DAKWAH SEPANJANG MASA

Tiada jawatan bukan bermakna taklifan dakwah terhenti. Hakikatnya, setiap yang mengaku muslim, mengucap kalimah laa ilah illa Allah dia adalah pendakwah. Tak perlu berjawatan untuk menyatakan hak Allah, suruhan dan tegahan Islam,  ia kewajipan setiap muslim. Akan tetapi, aku tak nafikan peranan jawatan, kerana orang akan lebih ‘memandang’ apa yang dicakapkan jika pendakwah itu ada kuasa.

Membangunkan dakwah tidak perlu secara direct, cukup sekadar menjadi orang di belakang tabir. Aku lebih suka dan mudah akan posisi ini. Sekali kaki kita dah berada di jalan perjuangan, kita kena gerakkan elemen2 di dalam itu. Ada orang tanya, macam mana nak definisikan intima’ dengan Islam? Pelbagai definisi diberi, tetapi intima’ bukan bererti masuk Islam, bukan juga menganut Islam, dan menggabungkan diri dengan Islam juga masih belum bagi erti yang mendalam.

“Bagi ana, intima’ ini adalah enta bernafas dengan nafas Islam. Jika enta bernafas Islam, enta tak akan tunggu dan tunggu, tetap berjuang walau apa keadaan sekalipun, sama ada berpangkat atau tak, kerana setiap hembusan nafas enta itu adalah nafas Islam!”

Jadi, tiada alasan untuk tidak berjuang. Menyumbang untuk Islam itu adalah taklifan setiap muslim. Janganlah tidak berjawatan itu menjadi alasan dan penyebab untuk kita malas berkhidmat untuk Islam. Kita bagi setakat apa yang kita mampu. Itulah ertinya aku menganut Islam!





saf pimpinan 2010, bersama golongan awwalin..a.muhamin, a.asyran, a.fizi, dan kakak2 mujahidah, dan sohabat2.. :)
era 2011, berada dalam saf paling hadapan..platform belajar, belajar, dan belajar..ada peningkatan..haha  

the muhibbins.. :)
era 2012, dah jadi alumni. waktu ni jadi fasilitator lah konon. hehe. suka tengok adik2, muka baru, pelapis dakwah. :') 











































Banyak post di laman tekno-daie ini aku tulis hasil daripada pengalaman, pemerhatian dan setiap kejadiaan yang aku lalui. Suasana dan orang sekitar adalah subjek yang mempengaruhi penulisanku. Tulisan ku bukanlah ilmiah, memungkinkan tiada input dan ilmu yang dapat diambil di sini, yang banyak hanyalah luahan dan pendapat.  Apa yang aku rasa, aku tulis ikut persepsi dan dan pandangan akal aku.

Sekadar melakar. :')











Tempias Barakah Auliya'ullah


Perancangan asal selepas pulang dari bekwoh abe min, aku nak terus balik ke Terengganu. Tetapi, alang-alang dah berada di kelantan, sahabat2 ku ajak untuk bermusafir di sini selama beberapa hari. Niat utama untuk menziarahi beberapa orang tuan guru dan makam ulama' tersohor di sini, moga ada barokah dan nur tempias pada hati yg kelam ini.

Kami bermalam di Besut pada malam selepas walimah abe min dan kak ina. Sohabatku sungguh terkesan dengan tarbiah muhibbin kepada dirinya. Aku yang tak berapa muhibbin ni banyak belajar dan memerhati tempias tarbiah itu. Destinasi pertama kami ke Gunung, Bachok Kelantan.

Di sana, kami berkesempatan untuk bertemu dengan Pok Su Mid Gunung. Ulama’ yang cukup tersohor bukan sahaja di negeri Serambi Mekah ini, tetapi di daerah Kedah di sana nama beliau cukup ramai kenali, khususnya kepada yang mengikuti pengajian dengan Baba Zul As-Syatiri Pondok Sungai Dedap Yan. Pada daurah kitab di kelantan tahun lepas, aku sempat mengikuti pengajian kitab Muniatul Musolli syarahan Pok Su Mid. Kata anak muridnya, rakaman mp3 kuliahnya tidak dibenarkan, kalau rakam juga, mp3 itu boleh rosak atau kosong tanpa bunyi. Itu antara tegahan dan larangan, secara adabnya kena ikut dan mungkin ada sebab tertentu.

Tiba kami di sana dalam waktu zohor dan berkesempatan solat bersama Pok Su Mid. Alhamdulillah, hajat kedatangan kami dari jauh untuk menerima taujihat dan nasihat secara khususi kesampaian. Banyak mutiara ilmu daripada beliau menyiram hati yang tandus dan gersang ini.

Nasihat beliau, sifat nasihat kalau tak terguris dan tak buat kita terasa itu bukan nasihat yang berkesan. Jadi, telanlah nasihat walaupun ianya pahit. Ke mana sahaja kita pergi, kita kena bawa iman kita. Bila iman kukuh, datanglah apa sahaja ujian, kita tak akan jatuh. Allah nak uji kita ini, banyak cara, antaranya dengan datangnya nikmat. Itu juga ujian yang ramai orang tak upaya hadapi. Kita kena ingat, berada di dunia ini hanya sekejap, yang lebih kekal adalah akhirat. Jadi gunakan dunia dengan baik untuk dapat akhirat. Itu antara tausyiah yang dapat aku ingat.



Usai daripada menziarahi Pok Su Mid, kami berangkat ke Kubang Kerian. Di sana, kami mencari tempat dimakamkan seorang ulama’ kelantan yang cukup terkenal bukan sahaja di tanah Melayu malah di seluruh alam Melayu, iaitu Tok Kenali. Kami sampai di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali dalam jam 4 petang. Sosok tubuh ulama’ hebat ini banyak karamahnya. Kebiasaanya dalam mana-mana aku mengikuti pengajian kitab turath (kitab melayu lama), banyak syarahan kitab daripada tuan guru mengaitkannya dengan Tok Kenali. Diceritakan kehidupannya bukan sahaja seorang alim ulama’ yang tinggi melangit ilmunya, malah juga seorang ulama’ pejuang Islam, ulama haraki. Di zamannya, beliau antara yang tergolong dalam kalangan anti-penjajah.

Banyak karamah yang masyhur disebut tuan guru sekarang mengenai waliyullah ini. Dah nama pun wali Allah (jagaan Allah), Allah menjaganya hingga alam juga turut menjaganya. Mulutnya masin, firasatnya benar. Antaranya, belia pernah bercakap mengenai tentera jepun, golongan mata sepet akan menjajah tanah melayu. Firasatnya benar, beberapa tahun selepas itu jepun datang menjajah. Dan, banyak lagi karamah ada padanya kerana kemuliaan dan ketinggiannya di hadapan Allah.



Selepas menziarahi makam dengan membaca beberapa potong ayat al-quran sebagai adab berziarah, kami menumpang doa dengan kemuliaan dan barakah Tok Kenali. Amalan ini bukan sesuatu yang janggal, ianya sesuatu yang syar’ie dan berdalil atas nama tawassul.

Kami menuju ke sebuah kampung yang agak jauh dari perkuburan Islam Tok Kenali. Di sana, kami menziarahi seorang ulama’ yang masthur (tak dikenali), yang masih hidup selama 125 tahun. Beliau adalah seorang anak murid kepada tuan guru Syeikh Said (kalau tak silap namanya) seorang yang tergolong dalam kalangan auliya’ullah juga di kelantan zaman silam dahulu. Mulutnya tak pernah putus daripada subhanallah, astaghfirullah dan beberapa zikir. Walau usia sudah lewat, tetapi batang tubuhnya tetap gagah, boleh berdiri dan berjalan dengan sendiri tanpa bantuan tongkat. Amalannya, solat berjemaah tidak pernah langsung ditinggal. Sehinggakan ketika kami sampai (lebih kurang waktu maghrib), beliau tengah bersiap untuk solat berjemaah, dan tempat tidurnya di balai soh yang jemaah gunakan untuk solat. Allah, ulama’ yang istiqamah dalam kebaikan, dipanjangkan umurnya. Hidup cukup barokah. Kami juga berkesempatan berdoa dan menumpang limpahan karamah dan keberkatan Tuan Guru beliau di makamnya yang berada bersebelahan dengan balai soh, sebuah bilik kecil yang hanya menempatkan makam beliau, dan nampak masih baru.

Permusafiran kami diteruskan pada keesokkan harinya. Kami menuju ke Kuala Terengganu pada tengahari. Tempat yang bakal kami ziarahi adalah makam Tok Ku Pulau Manis & Tok Ku Paloh, dua nama auliya’ullah yang tak asing lagi di bumi Terengganu ini. Kami menuju ke Kampung Pulau Manis, Serada Terengganu. Sepanjang perjalanan dan tibanya kami di makam beliau, hujan lebat membasahi bumi. Makam beliau yang juga dikenali sebagai Syeikh Abdul Malek berada dalam sebuah tempat yang agak besar beserta makam keturunannya yang mulia.



Aku berasa pelik ketika memerhati dari jauh makam tersebut. Terdapat lebih kurang 8 orang sedang berkumpul bersebelahan makam seperti sedang berusrah. Rupanya mereka berada di situ kerana mengikuti pengajian kitab daripada tuan guru di sana. Jemaah pengajian kitab ini datang daripada Kedah dan sedang bermusafir ke seluruh malaysia. Aku dan sahabat-sahabat lain sempat mengikuti syarahan kitab waktu itu. Kitab yang ditalaqqi itu adalah kitab Hikam, karangan Ibnu ‘Atoillah As-Sakandari, sebuah kitab yang cukup mahsyur dan hebat, bukan semua orang mampu mensyarahkan isi kitab ini. Tuan Guru yang sedang mensyarahkan kitab tersebut bukan dari kalangan biasa. Setiap baris dihuraikannya cukup mendalam, ibarat terbentang di depan mata lautan ilmu yang luas sedang dibaca.

Seingat aku, syarahannya banyak mengisahkan keseluruhan maksud kitab hikam ini, baru peringkat mukaddimah. Kulit kitab kepunyaan beliau juga lusuh, seumpama kitab kuning itu sudah berpuluh tahun usiannya. Kata beliau, kitab hikam ini terdiri daripada pokok ilmu terpenting islam yang merangkumi usuluddin (ilmu mengenal Allah dengan akal), ilmu syariat/feqah, ilmu tasauf (ilmu mengubat hati) dan ilmu makrifat (ilmu mengenal Allah dengan hati). Hasil gabungan ilmu-ilmu ini maka terbitlah kitab hikam ini. Hikam yang disyarahkannya adalah hikam jawi, kitab yang telah dialih ke bahasa melayu oleh tuan pengarang Syeikh Abdul Malek. Kerana itulah, jemaah pengajian kitab ini bertalaqqi di makam tuan syeikh kerana ingin mengambil barokah yang mengalir daripada tempat dan kitab yang dipelajari itu.

Tambah beliau lagi, kitab hikam ini dikarang oleh waliyullah, bahasa-bahasa hikam (hikmah) yang terkandung di dalam kitab ini adalah terjemahan bahasa yang mudah difahami manusia, ia datang daripada hati tuan pengarang. Ilham daripada Allah untuk mengajarkan hambanya hikam itulah yang dipancarkan kepada hati tuan pengarang kitab, maksudnya, ia bukan ayat atau matan kitab yang biasa penuntut turath pelajari. Kerana hakikat itulah, tidak semua para guru boleh mensyarah maksud sebenar hikam ini. Kata seorang murid daripada jemaah tersebut usai daripada tamat pengajian, “ana dah lama mencari guru yang boleh mensyarah dengan baik hikam ini, alhamdulillah ana bertemu dengan dia, sudah beberapa tahun ana ikut bermusafir dan bertalaqqi bersama”. Alhamdulillah, Allah pertemukan kami dengan kalangan solihin.

Sebelum jemaah tersebut berangkat pulang daripada makam Tok Ku Pulau Manis, sempat tuan guru mereka berpesan kepada kami untuk berdoa dan bertawassul di makam ini. “kita bukan minta doa kepada tuan syeikh (Tok Ku), tetapi kita minta kepada Allah dengan menjadikan beliau yang daripada auliya’ullah sebagai recommendation. Barakah mengalir melimpah-limpah daripada makam tersebut, alang2 sampai di sini pohonlah doa dan kutip barokahnya.” Kami sempat menitipkan beberapa doa dan permohonan kepada Allah dengan barokah dan kemuliaan wali Allah di bumi Pulau Manis ini.



Kami berangkat ke Kampung Paloh. Di sana, terdapat makam seorang wali besar di Terengganu, Tokku Paloh. Karomah dan kemuliaannya menjadikan namanya terus disebut-sebut hingga kini oleh penduduk sekitar. Makam beliau ditempatkan di tempat paling tinggi daripada kubur penduduk di situ. Pintu masuk ke makam tersebut dikunci bagi menggelakkan berlaku amalan pemujaan dan perbuatan khianat orang yang menziarahi tempat tersebut. Kunci dibuka oleh tuan penjaga makam yang juga salah seorang daripada silsilah keturunan Tok Ku Paloh. Peluang untuk menziarahi makam tersebut kami gunakan untuk berdoa. Keadaan makam tersebut masih elok dan berbau harum. Sungguh, Allah muliakan jasad wali-Nya semasa hidup ataupun sesudah meninggal.



Permusafiran dan ziarah kami berakhir pada waktu maghrib. Cadangnya ingin bertemu Tuan Besar, yang juga cucu kepada Tok Ko Paloh, tetapi keadaan sudah lewat dan tidak mengizinkan. Sahabat-sahabat lain terpaksa bergegas pulang ke Besut untuk rehat dan persiapan balik ke Perlis keesokannya. Permusafiran aku kali ini, moga dikira amal kebaikan di sisi Allah. Aku belajar banyak dengan sahabat-sahabatku manhaj muhibbin dan sufi haraki bagi ahli gerakkan ini. Perjuangan para muharrik pada zaman alam Melayu dahulu lebih hebat dan gah. Hubungan mereka sangat akrab dengan Allah, kerana itulah Islam dan hukumnya bertapak hebat di Tanah Melayu. Moga kaki ditetapkan di atas jalan ini dengan dipandu oleh para masyaikh dan tuan guru serta alim ulama’ yang ikhlas berjuang, aku juga ingin menerima tempias mereka. Barakallah!


p/s - terima kasih azrul izzat (ketua wali), syameer, syafiq saad, dan hasbi siddiqui, hamdi rezab dan (tak lupa kpd) faris ikhwan  ^^








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Popular